.

Tuesday 7 February 2012

Awas Jerat Pilihanraya ! : Mahkamah Wang Ringgit


TRIBUNAL TANAH ADAT HANYA JERAT PILIHANRAYA?


Oleh: HAMZAH ABDULLAH

SUDAH 7 hari sehingga saat ini, isu tanah adat dan hak Anak Negeri yang dinafikan pemilikan ke atasnya bergema kembali di dada akhbar tempatan Sabah. Pengarah Jabatan Tanah, Datuk Osman Jamal bersilat lidah dalam simposium di UMS.

Orang politik, dari PBS yang pernah mentadbir Sabah, sehinggalah kepada orang yang berkelulusan undang-undang membahas mengenai isu berkaitan hak masyarakat Anak Negeri dalam memiliki tanah di bumi sendiri.

Seperkara penting yang disepakati ialah pengeluaran Sijil Anak Negeri telah disalahgunakan sehingga individu dari Hong Kong, Taiwan dan Jepun pun memiliki Sijil tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh Datuk V.K.Liew, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam kenyataannya yang tersiar dalam akhbar tempatan bertarikh 5 Februari, 2012.

Natijah dari pemalsuan identiti ini ialah Anak Negeri asal telah hilang hak asasi mereka kerana orang Hong Kong, Taiwan dan Jepun terkenal dengan kekayaan mereka, sehingga bukan sahaja mereka mampu melakukan manipulasi membeli tanah-tanah berstatus NT, tetapi mereka juga boleh membeli 'pegawai-pegawai' berpengaruh di dalam Jabatan Tanah, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri serta jabatan-jabatan lain yang berkaitan dengan penukaran hakmilik tanah NT.


Saya suka memperingatkan rakyat Sabah, khususnya Anak Negeri bumi Sabah, individu dan orang-orang politik yang berkepentingan boleh bercakap apa saja mengenai pelbagai seksyen dalam Ordinan Tanah Negeri Sabah. Mereka boleh melalut dan bersyarah mengupas segenap sudut seksyen-seksyen yang terdapat dalam Ordinan tersebut.

Tetapi percayalah, mereka inilah sebenarnya yang telah mengkhianati amanah yang telah dipikulkan ke atas bahu mereka yang sepatutnya melindungi Hak Asasi Tanah Adat Anak Negeri Sabah.

Saya mencabar individu-individu ini, baik Osman Jamal, Henrynus Amin dari PBS dan mereka yang konon serius menuntut diadakan 'Tribunal Tanah Adat', supaya memulakan langkah pertama yang meyakinkan rakyat Sabah. Mereka mesti buktikan supaya arahan dikeluarkan oleh pejabat Peguam Negara bagi mendakwa keluarga KWAN yang telah menipu kerajaan Malaysia, sebagaimana yang pernah didedahkan dalam Videoklip Sabahkini.net sebelum ini.

Arahan juga mesti dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri bagi membatalkan Sijil Anak Negeri yang telah dikeluarkan kepada keluarga KWAN kerana asal usul mereka sebenarnya adalah dari Fujian, China.

LHDN juga mesti segera merampas hasil yang diperolehi secara haram di atas kuari tanpa lesen di Silam yang telah beroperasi selama lebih 25 tahun yang dilakukan oleh keluarga KWAN.


Jabatan Alam Sekitar mesti segera bertindak merampas semua alat-alat dan jentera yang masih terdapat diatas kuari tersebut dan medakwa mereka di mahkamah kerana telah melakukan pemusnahan besar-besaran ke atas alam sekitar dibumi Lahad Datu!!

Osman Jamal mesti menjelaskan bagaimana Kwantas Plantation Sdn Bhd. boleh dianugerahkan tanah seluas 80.910 hektar di Koyah, Daerah Kinabatangan dengan nombor geran 095318513 dan 095318531 sedangkan ramai Anak Negeri tempatan di Daerah Kinabatangan ada yang sudah mati menunggu jawapan permohonan tanah mereka yang tiada penghujungnya.

Kemudian yang anehnya individu bernama Kwan Ka Fatt, Kwan Wing Lan, Kwan Shuk Lan, Kwan Bik Lan, Kwan Shing Keong dan Kwan Leong Hang masing-masing telah juga dianugerahkan seluas hampir 15 ekar setiap individu.

Isu berkaitan tanah adat ini tidak lebih daripada hanya sebagai jerat pilihanraya yang menjadikan rakyat pribumi Sabah sebagai mangsanya. Cukuplah dengan sandiwara UMNO/BN dan mereka yang menjadi pengkhianat kepada rakyat pribumi Sabah. Marilah kita bertekad agar tidak lagi termasuk dan terjatuh kedalam jerat mereka yang bakal menjadikan kita menderita untuk tempoh jangkamasa yang panjang./sabahkini.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist