.

Monday, 9 January 2012

Liwat II: Mahkamah Tetapkan Anwar Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membuat keputusan tidak bersalah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan di sini pagi ini.

Hakim mahkamah, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan barisan pembelaan, mahkamah tidak dapat menjamin seratus peratus intergriti bekas DNA yang digunakan di dalam kes.

Menurutnya lagi, mahkamah juga tidak boleh sabitkan kesalahan tertuduh dengan bergantung kepada keterangan saksi pertama pendakwaan sahaja.

“Justeru, mahkamah memutuskan tertuduh tidak bersalah,” sebelum terus bangun dan meninggalkan kamar mahkamah.

Anwar, 63, sebelum ini diarahkan membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Seta Kasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kewujudan DNA Lelaki Y dari sumber air mani di dalam salur rektum Saiful menerusi dua pakar Jabatan Kimia, Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon.

DNA Lelaki Y didapati sepadan dan disahkan sebagai milik Anwar oleh kedua-dua pakar setelah merujuk kepada sampel DNA Anwar yang diambil melalui berus gigi, sehelai tuala “Good Morning” dan sebotol bekas air mineral ketika Ketua Umum PKR itu ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008.

Hakim Zabidin memutuskan Anwar untuk membela diri berhubung kes pada 16 Mei tahun lalu setelah mendapati tiada sebab padanya untuk menolak segala bukti dan keterangan saksi yang dikemukakan barisan pendakwaraya.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN/my news hub





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist