.

Thursday 15 December 2011

SBPA diperkenalkan secara tergesa-gesa?

KUALA LUMPUR – Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya diberi pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk penjawat awam sendiri.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata antara platform konsultasi ialah persatuan perkhidmatan awam, Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan Majlis Bersama Kebangsaan (MBK).

“Kita juga mengambil kira pengalaman dan masalah yang dialami oleh penjawat awam sendiri di peringkat agensi, misalnya soal gaji maksimum, kenaikan pangkat dan kenaikan gred… perkara ini semua kita kaji.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengumumkan perkara ini pada pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober. Sekarang Disember, esok kertas opsyen baru akan diedar, jadi ini bukan tindakan tergesa-gesa tetapi telah diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam program Dialog yang disiarkan RTM1 malam Rabu.

Abu Bakar, yang menjadi tetamu program secara langsung itu, berkata demikian ketika menjawab soalan Ibrahim Busu melalui laman Facebook, yang berpendapat SBPA diperkenalkan secara tergesa-gesa dan tanpa konsultasi mencukupi.

Beliau berkata skim SBPA diperkenalkan sebagai langkah pertama di bawah Pelan Induk Persaraan yang bertujuan menambah baik perkhidmatan awam.

Menjawab soalan berhubung kebimbangan sebilangan penjawat awam yang khuatir diberikan nilai prestasi rendah di bawah SBPA, Abu Bakar menjelaskan kerajaan telah menetapkan bahawa tidak ada sesiapa yang akan teraniaya di bawah skim baru itu.

Beliau berkata penjawat awam yang memperoleh nilai prestasi di bawah 69 peratus akan dibuat penilaian semula oleh panel yang bakal ditubuhkan.

“Panel ini akan kaji apakah markah penjawat awam yang mendapat 69 peratus ke bawah pada 2012 ini merupakan pencapaian yang konsisten dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Kalau nilai prestasinya sama, maka memang penjawat awam itu berprestasi rendah, tetapi jika itu pertama kali dia mendapat nilai prestasi seperti itu, maka panel akan membuat kajian tertentu dan akan kemukakan cadangan.

“Antaranya, kalau markah mereka rendah tahun depan mungkin disebabkan masalah peribadi, kita beri kaunseling dulu. Kalau penjawat awam itu tidak sesuai dengan jawatan sedia ada, kita boleh cuba pindah ke jawatan lain,” katanya.

Sekiranya panel mendapati penilaian yang dibuat oleh ketua seseorang penjawat awam itu kurang adil, penilai baru akan dilantik bagi menilai semula prestasi penjawat awam berkenaan.

Penilaian prestasi penjawat awam hanya akan diambil kira bermula tahun depan, iaitu apabila penjawat awam memilih untuk menerima SBPA, katanya.

Perhubung tanggapan pelaksanaan SBPA akan menutup peluang kenaikan pangkat mereka yang berada dalam perkhidmatan awam, Abu Bakar berkata dasar pelantikan terus dan ‘cross-linking’ dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertujuan menarik tenaga pakar untuk menyertai perkhidmatan awam tanpa menjejaskan peluang kenaikan pangkat bagi mereka yang sudah berada dalam perkhidmatan.

“Dasar ini diperkenalkan agar seiring dengan dasar kerajaan mengenai pakar yang kembali ke tanah air kerana kerajaan mendapati ramai warganegara Malayia yang berkhidmat di luar negara, dan mereka ini mempunyai kepakaran tertentu.

“Penyertaan mereka dalam perkhidmatan awam bukan untuk merebut peluang pengurusan. Jika pakar diperlukan, tidak ada masalah untuk kita mewujudkan jawatan untuk diisi oleh pakar tanpa menjejas peluang mereka yang berada dalam perkhidmatan,” katanya.

Abu Bakar juga menegaskan kemasukan pakar luar itu adalah alternatif terakhir sekiranya tidak ada tenaga pakar dalam perkhidmatan awam sendiri.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pemansuhan kira-kira 29,000 jawatan ekoran penyusunan semula dalam perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata langkah itu tidak akan menyebabkan mana-mana penjawat awam digugurkan atau dibersarakan.

“Apa yang berlaku ialah selepas perjawatan disusun semula ekoran SBPA, kita dapati banyak jawatan lama yang tidak lagi relevan seperti pengendali mesin, pencari fail dan jawatan-jawatan ini tidak diisi setelah sekian lama, sebab itu kita mansuhkan jawatan ini,” katanya.

SBPA akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2012 dan penjawat awam diberi pilihan sama ada menyertai skim itu, atau sebaliknya.

Borang opsyen akan mula diedarkan esok. – BERNAMA

1 comment:

  1. bagi saya, sekiranya skim baru ini baik untuk semua mengapa tidak diselaraskan kepada semua pegawai kerajaan?? mengapa perlu pegawai kerajaan buat keputusan sendiri di dalam hal ini?mengapa kami pegawai diberi pilihan samada nak atau tidak?? mengapa kami perlu tandatangan?? seolah-olah meletakkan risiko kepada kami sekiranya kami tandatangan...huh..lagi pula mengapa sekiranya benda ni benar2 baik untuk kami, berilah kami peluang lebih lama untuk menyemak dan meneliti kandungan SBPA sebelum buat keputusan, bukan secara tiba-tiba?? saya yakin 99% pegawai2 kerajaan tidak memahami langsung apakah sebenarnya SBPA...

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist