KUALA LUMPUR, 11 Nov ― Khairy Jamaluddin mempertahankan penyaluran dana hampir RM10 juta daripada projek National Feedlot Corporation (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sambil berkata, tiada unsur penyelewengan dalam pembelian hartanah itu sebaliknya ia merupakan satu bentuk “pelaburan yang paling selamat.”
Sehubungan itu Ketua Pemuda Umno ini menegaskan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi telah membuat tuduhan tidak berasas untuk memesong rakyat berhubung isu NFC.
“Semalam mereka cuba memesongkan rakyat dengan tuduhan penyelewangan dana bagi membeli apartmen One Menerung, Bangsar yang dikatakan hak milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Perkara ini mudah disensasikan kerana jika dilihat sepintas lalu pasti ramai akan tanya apa kaitan projek NFC dengan pelaburan hartanah? PKR mungkin rasa teruja dengan hujah mereka tapi saya ingin tegaskan bahawa tuduhan tersebut jauh terpesong, bak jauh panggang dari api,” kata Khairy (gambar) yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan.
Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata NFC telah membayar RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC), sebuah syarikat milik kepunyaan keluarga Shahrizat.
Apartmen mewah di One Menerung itu direkodkan oleh NFC, projek ternakan lembu yang dikurniakan kepada keluarga Shahrizat, sebahagian daripada “pinjaman” RM83 juta disalurkan kepada NMLC.
“Mereka kata akaun pinjaman RM250 juta bagi projek ini diteliti dengan ketat. Adakah kondominium ini bagi lembu untuk tinggal,” kata Saifuddin semalam.
Saifuddin berkata sebanyak RM9,758,140 telah dipindahkan dari akaun NFC di CIMB cawangan di Taman Tun Dr Ismail di sini kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009 sebagai bayaran penuh hartanah itu.
Satu aduan juga dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai perkara tersebut.
Khairy menjelaskan kajiannya juga menunjukkan memang benar NLMC telah membeli apartmen One Menerung tetapi “pelaburan ini dibuat dengan dana yang telah disalurkan kepada NFC dari akaun pinjaman khas yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.”
“Daripada sumber ini, NFC telah memindahkan sebanyak RM81.2 juta kepada NLMC,” katanya.
Kata beliau, antara tugas dan skop kerja NLMC ialah proses operasi penyembelihan, proses pengasingan daging dan tulang, pembungkusan serta penghantaran di samping berperanan membeli hasil daripada ladang-ladang satelit apabila ladang-ladang ini beroperasi.
“Dalam tuduhan asal, PKR sebut NLMC ini cuma membuat kerja pemasaran bagi NFC. Jelas di sini tuduhan itu tidak berasas memandangkan skop menyeluruh yang diberi kepada NLMC yang memerlukan perbelanjaan operasi yang besar. Sebab itu, NLMC diperuntukkan RM81.2 juta untuk menampung kos operasi,” katanya.
Isu berkaitan NFC menjadi kontroversi ekoran pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru ini.
Malangnya kata Khairy, projek NFC telah mengalami kelewatan operasi dan ia bukannya disebabkan oleh pengurusan NFC.
Antara sebab kelewatan sepertimana dijelaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar di Parlimen Selasa lalu ialah kerajaan tidak ada peruntukan yang mencukupi untuk membangunkan ladang-ladang satelit.
“Apabila ladang-ladang ini tidak dibangunkan sebahagian dari duit yang ada pada NLMC tidak dibelanjakan. Kerajaan juga masih tidak dapat membina pusat penyembelihan yang menepati piawai antarabangsa sepertimana perjanjiannya dengan NFC,” katanya lagi.
Oleh itu kata beliau, apabila kelewatan ini berlaku, maka pihak pengurusan NFC berdepan dengan keputusan penting.
“Apakah mereka hanya biar duit yang diberi kepada NLMC itu dalam akaun semasa yang tidak memberi pulangan yang besar sambil menunggu ladang-ladang satelit dan EQA dibangunkan atau mereka melabur duit itu dan mendapat pulangan sambil menunggu masalah kelewatan operasi tersebut diatasi?” katanya.
“Kalau dibiar sahaja duit itu dalam akaun semasa, bukan sekadar ia tidak membawa pulangan tetapi dengan iklim ekonomi dunia yang melihat fenomena inflasi atau kenaikkan harga barang, nilai sebenar duit ini mungkin terhakis.
“Sebagai contoh mudah, kalau NLMC membeli lembu dari ladang-ladang satelit hari ini, kosnya mungkin lebih murah dari pembelian yang dibuat tahun depan disebabkan kenaikkan harga barang dan komoditi. Jadi apabila semua ini tidak dapat dibeli dan ditangguhkan, sudah menjadi tugas pengurusan untuk memikirkan apa mereka nak buat dengan duit tunai yang ada dalam akaun semasa itu,” kata beliau sambil menambah, pihak pengurusan telah membuat keputusan bahawa pelaburan yang paling selamat, yang memberi pulangan yang besar, yang boleh dijual apabila duit diperlukan untuk operasi adalah aset hartanah.”
Kata Khairy, sudah pasti mereka telah mencari projek perumahan yang berkualiti tinggi dan popular agar pulangan NLMC dalam bentuk sewa dan juga kenaikkan harga apartmen itu lebih besar dari pelaburan lain seperti akaun simpanan tetap.
“Difahamkan, apartmen berkenaan telah pun disewa dan mula memberi pulangan kepada NLMC. Nilai apartmen tersebut juga telah naik sejak dibeli NLMC,” katanya lagi.
Khairy juga berkata “mungkin ada yang bertanya, kenapa duit dari SLA yang dikawal selia oleh kerajaan disalurkan kepada NFC sekiranya ada kelewatan operasi?”
Katanya, harus diingat bahawa projek ini dimulakan dalam iklim ekonomi dunia yang tidak menentu dan krisis kewangan dunia telah memberi kesan kepada perbelajaan kerajaan yang disusun semula mengikut keutamaan rakyat.
“Saya yakin kerajaan telah meluluskan penggunaan pinjaman dari SLA kepada NFC mengikut perancangan awal tanpa apa-apa kelewatan kepada operasi NFC.
“Tetapi apabila keadaan ekonomi dunia dan negara menjadi lebih mencabar, adalah menjadi wajar untuk kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaannya dan inilah yang menyebabkan kelewatan operasi NFC seperti dijelaskan di atas,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Rembau ini seterusnya berkata walaupun penjelasan tersebut amat logik dan munasabah khususnya dari sudut perniagaan di mana pelaburan dibuat sambil menunggu kelewatan projek yang disebabkan faktor di luar kawalan NFC dan NLMC, PKR akan tetap mempolitikkan isu tersebut.
“Dan, tidak akan menerima penerangan yang diberi. Tetapi walau apa pun tohmahan palsu yang diberi oleh PKR, kebenaran alam kes ini sudah terang lagi bersuluh bagi mereka yang tidak prejudis.
“Dalam kes apartmen One Menerung, pengurusan NFC dan NLMC telah membuat keputusan untuk melabur duit yang masih tidak dapat diguna disebabkan kelewatan operasi supaya mendapat pulangan,” katanya./TMI