Pengarahnya, Marzuki Hussin berkata, Jais sedang mengesan bekas artis berusia 47 tahun itu dan akan menahannya untuk membantu siasatan berhubung kes menyampaikan ceramah tanpa tauliah.
“Kita akan tahan Bob Lokman jika didapati beliau berada di Selangor dan kita yakin dapat menahannya dalam tempoh terdekat,” katanya.
Terdahulu Bob yang popular dengan lirik lagu Isabella nyanyian kumpulan Search yang ditulisnya ditahan ketika menyampaikan tazkirah dan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah masjid di Sungai Lui, Hulu Langat.
Bob Lokman sepatutnya hadir memberi keterangan ke pejabat Jais keesokannya, tetapi beliau gagal berbuat demikian sehinggalah waran tangkap terhadapnya dikeluarkan.
Bob Lokman kemudiannya dalam satu kenyataan berkeras tidak akan hadir ke pejabat Jais untuk memberi keterangan malah rela menunggu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan sanggup menerima hukuman yang bakal dikenakan sekiranya tindakannya itu dianggap sebagai satu kesalahan besar.
Dalam pada itu, Bob Lokman ketika dihubungi berkata, dia tidak dihubungi Jais untuk dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Bagaimana saya hendak pergi beri keterangan sedangkan saya tidak dihubungi Jais, malah nombor telefon bimbit saya juga tidak diambil mereka (Jais).
“Malah sekiranya dihubungi sekalipun, saya memang tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain pada hari tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, dia kini berada di Kemaman, Terengganu untuk berdakwah sebelum dijangka pulang ke rumahnya di Sungai Buloh, Selangor hari ini.
Ketika ditanya berhubung reaksinya sekiranya ditahan Jais, Bob Lokman berkata, semuanya bergantung kepada keadaan.
“Semua itu bergantung pada keadaan kerana saya tidak tahu nak kata macam mana, tetapi semuanya bergantung pada kehendak Tuhan,” katanya./Sinar Harian