.

Friday 7 October 2011

"SURAU TUHAN UMNO" | LDP Tampil hulur derma... Mana pemimpin UMNO ??

PARTI Liberal Demokratik (LDP) yang sebelum ini dilabelkan sebagai ‘duri dalam daging’ Barisan Nasional ekoran kelibat pemimpin parti berkenaan berseteru dengan pemimpin BN Sabah, kini membuktikan mereka ikhlas bersama BN kerana pihak yang pertama tampil menghulurkan derma kepada Tabung Madrasah Al-Gayah Nur Salam di Kampung Lamak Bukit, Silam, 20 kilometer dari Lahad Datu.

Timbalan Ketua Bahagian LDP Silam, Chong Su Vun, yang melawat tapak Madrasah berkenaan setelah membaca Sabahkini.net kelmarin, tampil menghulurkan derma ikhlas bagi meringankan beban penduduk kampung membangunkan madrasah berkenaan.

“Kita tidak berniat untuk menghina atau mencampuri hal ehwal agama Islam tetapi demi menunaikan tugas kita sebagai manusia, sedih kenapa perkara sebegini boleh berlaku di negeri kita, apatah lagi ramai ahli LDP beragama Islam meminta kita membantu sedaya yang termampu,” kata Chong selepas menyampai derma peribadi dan derma LDP yang disampaikan melalui Imam Rawatib bertauliah, Haji Jimlok Zakaria.

Bagaimanapun Chong agak kesal kerana majlis berkenaan cuba dihalang oleh Haji Wahab Nonong (PATI yang didakwa menghalau Imam dan merampas Surau) yang mempertikaikan tujuan Chong datang mencampuri urusan pertikaian tanah antara beliau dengan pihak yang menaja pembinaan madrasah baru, Nina Bte Gayah.

“Kita jelaskan kepada Haji Wahab, LDP tidak ingin mencampuri urusan pertikaian tanah adat berkenaan, tetapi kita hanya mahu hulurkan derma kepada jawatankuasa madrasah kerana ahli beragama Islam LDP malu melihat agama mereka dipersenda oleh pemimpin yang tidak mahu bantu rakan seagama mereka; sampai terpaksa sembahyang di surau daif ini,” kata Chong yang juga Ahli Majlis Daerah Lahad Datu.

Dalam hubungan ini, Chong menggesa agar Haji Wahab tidak mencampur adukkan kepentingan diri dengan kepentingan agama disebabkan isu agama amat sensitif dan boleh menimbulkan huru hara jika tidak ditangani dengan baik.

“Bagi pihak LDP, niat kita ikhlas kerana kita bukan sahaja bantu penganut agama Islam, malah penganut agama lain juga kita bantu dan saya harap jangan politikkan bantuan ikhlas kami,” ujar Chong lagi yang menyeru semua pihak agar tampil menderma bagi membolehkan penduduk Lamak Bukit menyiapkan rumah ibadah mereka.

-MUHAMMAD HAIKAL HALIM

sabahkini.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist