Sunday, 30 October 2011

SU Agung: Ahli PAS kena terima sistem dua parti jika mahu tumbang BN

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil dalam waktu terdekat, PAS menegaskan sistem dua parti pasti akan menjadi kenyataan di negara ini dalam waktu terdekat dan ia sangat penting untuk mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN).

PAS kini menganggotai Pakatan Rakyat yang dibentuk secara formal selepas pilihan raya umum 2008. Dua rakannya ialah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat - dalam tempoh enam bulan akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjangkakan sistem dua parti akan menjadi realiti sekitar lima tahun lagi dan paling lewat 10 tahun dari sekarang.

Sehubungan itu kata beliau, kewujudan sistem itu berdasarkan perkembangan dan tuntutan semasa, tetapi bergantung kepada kesediaan ahli-ahli PAS sendiri untuk menerimanya setelah mereka memahami dengan jelas mengenai perkara tersebut.

Mustafa berkata keadaan sekarang masih tidak mengizinkan untuk diwujudkan sistem itu kerana masih terdapat di kalangan ahli PAS sendiri yang tidak bersedia untuk menerimanya.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku disebabkan sesetengah ahli PAS masih tidak memahami keperluan sistem dua parti ekoran kegagalan mereka memahami tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini meskipun ada pelawaan Umno untuk mewujudkan kerjasama politik dan mengadakan kerajaan perpaduan, PAS tetap menolak tawaran itu, sebaliknya berjanji akan kekal bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Kerjasama itu membawa kepada kemenangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain Kelantan pada 8 Mac 2008. Pakatan Rakyat yang memperoleh 84 kerusi juga menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Mustafa setersunya berkata perkembangan ke arah kewujudan sistem dua parti telah pun berlaku di negara ini dan ia tercetus hasil kerjasama politik antara PAS dan parti Melayu Semangat 46 (S46) pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

“Sistem dua parti merupakan perkara penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat kerana dengan itu akan lebih memudahkan usaha bersama untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya.

“Dengan adanya sistem dua parti barulah PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat boleh menggunakan lambang satu parti seperti yang dilakukan oleh parti-parti dalam BN yang hanya menggunakan lambang BN ketika menghadapi pilihan raya,” katanya dipetik Harakahdaily.

Mustafa berkata, kerjasama politik antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat tidak seharusnya menjadi pertikaian ahli-ahli PAS kerana ia berasaskan hukum syarak.

“Sebelum diadakan kerjasama itu, pucuk kepimpinan tertinggi PAS telah pun ‘bermerah mata’ membincangkannya secara mendalam berhari-hari, termasuk membawa kepada perbincangan bersama ulama-ulama Islam di seluruh dunia yang berada dalam gerakan Islam,” katanya.

Konsep tahaluf siyasi kata beliau, adalah salah satu strategi atau pendekatan yang diambil oleh PAS dalam politik untuk menang dalam pilihan raya dan ia berbeza sama sekali dengan dasar perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Jelas beliau, perkara itu perlu difahami dengan mendalam oleh setiap ahli PAS agar tidak menimbulkan kekeliruan mengenainya, apatah lagi sehingga boleh melemahkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini.

“Tapi walaupun tidak faham, ahli-ahli PAS tetap juga wala dengan pemimpin. Itulah sifat terpuji yang ada pada ahli-ahli PAS. Sungguhpun begitu, jika tidak faham kenalah bertanya kepada pemimpin. Paling tidak, bertanyalah kepada pesuruhjaya PAS di negeri masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengarahkan bahagian penerangan PAS agar menerangkan keperluan tersebut kepada ahli-ahli parti bagi membolehkan konsep tahaluf siyasi difahami oleh ahli-ahli PAS di segenap peringkat./TMI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)