Thursday, 13 October 2011

PANAS !!! : MENTERI KKLW SEPERTI PENCURI!

Oleh: THAMPPAREQ KITOES

PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Kalamatoi, Kemabong, Andawai Ansumor, 55, menggesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) agar tidak menyisihkan Wakil Rakyat di Tenom (Adun Kemabong dan Ahli Parlimen Tenom) dalam apa apa juga perbincangan, berhubung perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di Tenom.

Katanya, beliau dan penduduk Tenom bimbang, jika kedua dua wakil rakyat yang ada di kawasan ini tidak dilibatkan sama dalam sebarang perbincangan, kemungkinan pembangunan yang bakal dilaksanakan kelak itu tidak menepati sasaran yang tepat dan menjadi projek Gajah Putih sahaja.

“Kami mahu kerajaan laksanakan pembangunan di kawasan yang tepat, khususnya kerja-kerja menaiktaraf jalanraya yang hanya diketahui lokasinya oleh wakil rakyat kami dan bukan sekadar letak projek itu ikut kehendak pegawai atau menteri KKLW atau agennya secara rambang sahaja,” kata Andawai yang mengakui akhirnya rakyat Tenom juga yang rugi.

Trend seumpama itu, kata Andawai, hanya mendorong rakyat kecewa terhadap sikap BN kerana membelakangi kuasa wakil rakyat yang dipilih rakyat, sedangkan lokasi pelaksanaan pembangunan yang dicadangkan kepada wakil rakyat, tiba-tiba sudah berubah ke kawasan lain yang tidak munasabah langsung.

Andawai seterusnya menegaskan, bahawa mengikut perancangan awal, tiga buah perkampungan iaitu Kg Sugiang Ulu, Kg Lintubong- Kalamatoi dan Kg Ulu Baru Jumpa telah bersetuju dan menurunkan tanda tangan di hadapan Adun Kemabong Datuk Rubin Balang untuk membenarkan tanah-tanah mereka dijadikan laluan jalanraya baru.

Namun tegasnya, pelaksanaan projek tersebut turut tergendala kerana peruntukan yang ditunggu-tunggu tidak ada dan difahamkan sudah dialihkan ke kawasan lain iaitu di kawasan laluan antara Kemabong ke Kem Sejuk menuju ke Sipitang; sedangkan selama ini kawasan tersebut tidak berpenghuni.

“Kalaulah KKLW tidak menyisihkan wakil rakyat, sudah pasti masalah sedemikian tidak akan berlaku kerana sudah tentu perundingan perlu dijalankan sebelum pelaksanaan sesuatu projek,” tegas Andawai yang kesal dengan sikap KKLW.

Beliau menambah, masalah ‘break-down communication’ telah menyebabkan kedaifan infrastruktur jalanraya semakin serius, kerana pelaksanaan projek tidak menepati sasaran kerana KKLW melaksanakan projek mengikut permintaan pegawai atau kroni dan bukannya permintaan rakyat Tenom.

Tambahnya Andawai lagi, rakyat Tenom tidak melarang, malah mengalu-alukan pemimpin pusat melawat kawasan mereka, khususnya Menteri KKLW, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, tetapi biarlah secara beradat dan bukannya seperti pencuri!

Wakil rakyat mereka iaitu Datuk Rubin Balang dan Datuk Raime Unggi, kata Andawai wajib dilibatkan sama supaya apa juga keperluan pembangunan yang mendesak, boleh dicadangkan dan dibincangkan bersama.

“Kami tidak mahu, Pegawai dan Menteri KKLW memandai-mandai merancang pembangunan di kawasan kami, malah seolah-olah pegawai terbabit mengambil alih kuasa yang ada pada kedua-dua wakil rakyat kami,” tegas Andawai./sabahkini.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)