.

Monday, 24 October 2011

Husam Musa saman blogger "ruangbicarafaisal" RM500.000

Kota Bharu - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini semalam berhubung kes saman malunya berjumlah RM500,000 terhadap blogger yang didakwa menyiarkan artikel memfitnahnya, dua tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menuntut ganti rugi itu terhadap Mohd Faisal Rohban Ahmad, 37 berikutan penyiaran artikel bertajuk ‘Husam & Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta’, di ruangbicarafaisal.blogspot.com pada Sabtu 3 Oktober 2009.

Antara kenyataan fitnah itu termasuk menyatakan plaintif sengaja berkonspirasi dan berkomplot dengan satu pihak ketiga untuk memberi 4,000 hektar tanah kawasan balak kepada seorang pihak ketiga bernama Tamrin Ghaffar.

Balak itu cuba dijual kepada seorang tauke dengan harga RM25 juta. Pembahagiannya pula adalah plaintif sebanyak RM10 juta, pihak ketiga pula RM10 juta dan Pas Pusat RM5 juta.

Plaintif mendakwa keseluruhan artikel tersebut juga sengaja memfitnahnya dengan mengatakan kawasan balak berkenaan tidak dapat dijual dengan harga RM25 juta dan hanya dijual dengan harga RM15 juta dan wang tersebut dibahagikan; plaintif mendapat RM5 juta, pihak ketiga RM6 juta dan Pas Pusat RM3 juta.

Artikel itu ternyata mahupun tersirat menuduh secara melulu bahawa plaintif adalah seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai serta menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Ketika memberikan keterangan, Husam menegaskan artikel itu secara terang terangan memfitnahnya dan menafikan dakwaan itu kerana beliau bekerja keras untuk menjaga keharmonian rakyat Kelantan.

“Saya kecewa, malu, tertekan kerana artikel fitnah itu yang merosakkan nama baik saya. Kesannya saya malu kerana dipandang serong masyarakat. Saya juga tertekan kerana ramai pihak yang bertanyakan perkara itu sehingga saya sukar fokus kepada kerja.

“Kesan akibat penyiaran artikel itu masih wujud berikutan masyarakat masih memandang serong dan ada sesetengah pihak yang masih memetik artikel berkenaan dan menyiarkannya sehingga kini,” katanya ketika menjawab soalan peguam belanya, Hisham Fauzi.

Menurutnya, tuntutan saman itu dibuat bagi memberi pengajaran setimpal kepada defendan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dan teladan kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah seseorang.

Peguam bela defendan, Adzly Abdul Manas mempertikaikan kesahihan maklumat diberikan pihak ketiga yang membantu plaintif mendapatkan latar belakang Mohd Faisal Rohban termasuk nombor telefon, alamat dan pekerjaannya.

“Akibat artikel itu setujukah Datuk jika dikatakan kesan-kesan seperti tidak boleh fokus kerja, tertekan, dipandang serong yang dialami adalah rekaan. Tuntutan jumlah ganti rugi itu juga banyak,” katanya dalam soal balas terhadap plaintif.

Dalam jawapannya, Husam berkata, sepatutnya Adzly sebagai peguam bersimpati terhadap nasibnya.

Saksi pihak plaintif yang hadir memberi keterangan semalam, Mohammad Syahfahrin Ali Rajkumar Abdullah, 40 yang menyerahkan notis saman itu kepada defendan di kediamannya di Selangor, 31 Mei tahun lalu.

“Saya diarahkan plaintif untuk ke rumah defendan, ketika tiba di rumahnya, saya dapati defendan terkejut apabila diberitahu tujuan kedatangan saya lalu beliau hubungi polis dan rakannya. Beliau juga mengaku bernama Mohd Faisal Rohban dan membaca notis writ saman yang saya berikan. Saya juga sempat mengambil beberapa keping gambar defendan menggunakan telefon bimbit saya,” katanya yang mendakwa rakan plaintif dan tinggal di Dun Salor.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 12 dan 13 Disember ini sebagai tarikh sambung bicara kes itu.

Blogger berkenaan dijangka hadir memberi keterangan pada tarikh itu bersama dua saksi lain. -SH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist