.

Tuesday 18 October 2011

Bersih 3.0 jawapan terbaik?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang membazirkan masa, wang ringgit dan tenaga. Namun,

apalah pilihan yang ada kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Tumpuan kini terpaksa dikerahkan untuk menyediakan padang permainan sama rata dan peraturan gelanggang yang lebih adil, berbanding persiapan untuk "bertarung" itu sendiri.


Segala kelebihan memihak parti pemerintah yang menguasai kerajaan persekutuan, yang menguasai segala sumber, jentera dan kemudahan, dan dengan itu boleh merencana serta melaksanakan apa juga taktik kotor untuk memintas Pakatan Rakyat.


Ketika kempen penerangan pihak oposisi bertembung pelbagai kesukaran, misalnya pemberian permit, kemudahan lokasi, sabotaj ketika berceramah, dan dinafikan liputan media, pada masa yang sama Umno-BN bukan sahaja terus selesa menguasai saluran televisyen, radio dan akhbar harian, malah mereka turut mengambil alih posisi "pengadil permainan".

Begitulah yang sering berlaku selepas mereka dikejutkan dengan keputusan pilihan raya yang memeranjatkan. Lihatlah operasi jahat selepas PRU 1999, khususnya persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pendaftaran pemilih. Pengalaman kehilangan kuasa, meskipun setakat peringkat negeri, cukup memeritkan Umno.

Pastinya kita belum lupa tragedi di Terengganu sehingga kerajaan PAS ditumbangkan pada 2004. Senarai daftar pemilih cukup meragukan. Ramai yang mengundi lebih daripada sekali dan bertebaran "pengundi hantu". Khabarnya, kini bekas Menteri Besar, Idris Jusoh, terlibat dalam perancangan menawan negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, khususnya Selangor, melalui "kaedah Terengganu" itu.

Ketika rakyat tidak puas hati dan marah dengan sistem demokrasi yang pincang, disusuli dua kali demonstrasi besar-besaran di ibu kota, terbaru 9 Julai lalu, rupanya ia tidak cukup untuk menyedarkan pemerintah bahawa mereka perlu lebih serius dan jujur melakukan reformasi besar-besaran ke atas proses pilihan raya. Kalau pun ada perubahan, ia sekadar percubaan kosmetik untuk mengelirukan tanggapan umum.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 - bersihkan senarai pengundi, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minimum 21 hari, perkukuh institusi awam, hentikan rasuah dan tamatkan politik kotor - seperti tidak dipedulikan. Macam-macam daleh dijadikan perisai.

Kuasa mewajarkan segalanya buat Umno. Apatah lagi bagi orang seperti Najib Razak dan Noh Omar yang mengetuai Umno Selangor. Khazanah negara dipunggah semahunya untuk bekalan "membeli dan menyogok pengundi" dalam PRU13, tetapi sebelum itu, jalan pintasnya terbentang luas dengan memanipulasi senarai pemilih, terutama di kawasan yang menyaksikan BN kalah tipis. Di Selangor, sasarannya adalah kerusi Dun majoriti Melayu.

Ya, perit sekali menyertai pilihan raya di sebuah negara sedang membangun yang begitu rendah ranking ketiga-tiga indeks penting, iaitu demokrasi, kebebasan akhbar dan rasuah, seperti Malaysia. Usaha Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Exco Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, untuk membuka ruang demokrasi lebih kondusif wajar dipuji.

"Jika konspirasi Umno bersama SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), dengan kerjasama pihak polis ini tidak dapat kita gagalkan, saya rasa BN dapat tawan balik Selangor. Dan BN pun nampak confident," kata seorang AJK PAS Pusat.

"Daripada kita menunggu sehingga selepas PRU13 untuk sekali lagi berarak di jalan raya, dan mungkin sudah terlambat ketika itu, kerana dibimbangi amarah rakyat sukar dikawal, maka adalah lebih baik kita cetuskan Bersih 3.0 sekarang," saya mencadangkan.

Berdasarkan komen anak-anak muda dalam facebook, saya perhatikan mereka cukup kecewa dengan siri pendedahan tidak berkesudahan tentang skandal Mykad dan juga sindiket pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

"Itu yang baru kita temui, entah macam-macam lagi konspirasi jahat Umno yang belum terdedah, apa ditunggu lagi? Bersih 3.0 jawabnya," tulis seorang bekas pemimpin mahasiswa. "Ya, banyak lagi kaedah yang mereka gunakan, dan sebahagian besarnya mungkin dibenarkan undang-undang. Tengok sajalah begitu ramai yang Umno daftarkan sebagai pengundi baru tahun ini," saya membalasnya.

Anak-anak muda yang tidak berpuas hati itu mereka merujuk berita serbuan Pemuda PAS Pusat yang mengepung 240 pendatang asing, yang didakwa diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pemilih di sebuah resort di kawasan sekitar Putrajaya baru-baru ini. Kegiatan itu dikatakan berjalan rancak sejak akhir September lalu dan dibimbangi berterusan hingga Disember ini, dengan andaian PRU13 mungkin Februari atau Mac 2012.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Khairuddin Othman dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti wujud pergerakan bas-bas yang membawa pendatang asing - yang didakwanya untuk diberi kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi - yang dikesan berlaku hampir setiap hari.

"Kita memang ada bukti sahih, kita ada sumber dalaman yang mengesahkan ia melibatkan 10 hingga 15 buah bas. Modus Operandi itu dibuat secara terang-terangan membawa pendatang asing dengan bas," katanya, sambil menambah pendatang berkumpul di beberapa lokasi antaranya Paya Jaras, Hentian Sungai Buloh dan Hentian Serdang. Awal tahun ini PAS Selangor pernah menyerbu dua tempat berasingan dan menemui bukti.

Operasi seumpama itu bukan perkara baru. Ia pernah dilakukan di Sabah, terutama bagi menjatuhkan kerajaan PBS. Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman khabarnya pernah mengesahkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu dikeluarkan di Sabah untuk tujuan pilihan raya.

Amat wajar sekali lagi tekanan ke atas SPR dan pemerintah diteruskan, kempen seluruh negara dipergiatkankan, dan pendedahan disebarluaskan, namun cukupkah sekadar itu? Pemimpin Umno akan bersikap "pekak badak" menunggu PRU13 bagi menjayakan misi mereka.

Harakah turut diasak untuk memainkan peranan lebih proaktif menangani kemelut meruncing ini. "Takkan kita nak biarkan disembelih hidup-hidup begitu saja, seperti berlaku 2004, di Terengganu dan Kedah. Harakah kena fikirkan sesuatu," seorang pembaca mendesak.

Saya dapat menduga jawapan yang dikehendakinya tetapi belum mampu mengungkapkannya lagi ...

Bagaimanapun, seorang lagi pembaca dari Kedah mengingatkan dalam emel, sambil minta saya siarkan dalam kolum ini: "Janganlah kita terlalu sibuk melayan kerja jahat Umno-SPR-JPN sehingga melupakan tugas asasi mendekati rakyat akar umbi. Wakil-wakil rakyat kita mesti turun padang, jangan sombong, usah peraga kehidupan mewah, bantu orang susah yang meminta, ringan tangan berbakti.

"Jangan guna alasan takda peruntukan untuk elak menyantuni orang. Cari dana kebajikan walaupun sedikit. Di negeri Pakatan, mudahkan orang ramai mendapatkan bantuan, termasuk daripada kerajaan pusat. Sekali lagi, jangan ego dan besarkan diri." Selanjutnya baca sini

1 comment:

  1. gua, dulu lagi cakap.
    cakap banyak tak guna.
    anjurkan segera bersih 3.0
    ke seluruh negara serentak.
    1. kangar
    2. alor setar
    3. pulau pinang
    4. ipoh
    5. kota bharu
    6. kuala terengganu
    7. kuantan
    8. kuala lumpur
    9. shah alam
    10. putrajaya
    11. seremban
    12. bandar melaka
    13. johor bahru
    14. kuching
    15. kota kinabalu
    kita ramai2 tengok, macam mana polis nak tangani.
    berapa gelen air kimia mereka sembur.
    berapa tan bom asap mereka tembak.
    berapa pedemontrasi masuk jail.
    berapa pedemontrasi masuk hospital.
    berapa pedemontrasi kena pukul.
    berapa pedemontrasi maut, minta2 yang ini janganlah.

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist