Friday, 16 September 2011

SABAH DIJAJAH MALAYA....??

MENCARI CAHAYA DI CELAH JERIJI MERDEKA

Oleh : MUTALIB M.D

GUNJING (Umpatan) yang mendesing keterlaluan terhadap sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini, 16 September 2011, adalah percubaan untuk mencari cahaya di celah jeriji merdeka yang dihijab oleh tabir dosa pemimpin silam; sehingga aura kemerdekaan seperti meratapi penaklukan sebuah tanah jajahan baru oleh Malaya.

Rakyat Sabah kehilangan jejak bertapak yang dipadam oleh sejarah berhubung 20 Perkara dan Perjanjian Malaysia yang tidak mempunyai sebarang locus-standi untuk menuntut sebuah kerajaan autonomi, kerana mengikut Undang-Undang Antarabangsa, 20 Perkara hanyalah ‘Memorandum’ atau permintaan dan bukannya ‘Perjanjian’; manakala Perjanjian Malaysia secara automatik TERBATAL dan TIDAK SAH apabila Brunei tidak menandatanganinya dan Singapura menarik diri.

Hanya Perlembagaan Persekutuan sahaja dokumen bertulis, digubal dan disahkan Parlimen Malaysia yang boleh dijadikan sandaran; namun Tafsiran ‘Persekutuan’ di dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu dan bukannya Persekutuan Malaysia. Lalu di mana letaknya Sabah dan Sarawak?

Tidak ada pemimpin Sabah yang masih hidup mengetahui siapa yang melakukan dan meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri dan Persekutuan pada 1976 bagi menurunkan status Ketua Negara Sabah @ Gabenor Sabah daripada ‘YANG dI-PERTUAN NEGARA’ kepada ‘Yang di-Pertua Negeri’.

Kedudukan Sabah dan Sarawak semakin terperosok jauh ke dalam sangkar demokrasi dan demarkasi kemerdekaan apabila Akta Malaysia 1963 menurun taraf Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura sebagai ‘NEGERI BARU’ dan bukannya ‘NEGARA’ seperti yang didakwa pemimpin politik Sabah.

Mengikut Fasal 1, Akta Malaysia 1963;

“…………For the purpose of enabling North Borneo, Sarawak Malaysia and Singapore (in this Act referred to as "THE NEW STATES") to federate with the existing States of the Federation of Malaya (in this Act referred to as "the Federation"), the Federation thereafter being called Malaysia, on the day on which the new States are federated as aforesaid (in this Act referred to as "the appointed day") Her Majesty's sovereignty and jurisdiction in respect of the new States shall be relinquished so as to vest in the manner agreed between the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, the Federation and the new States.”

Transformasi Kemerdekaan yang dilakukan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bukan sahaja mewartakan 16 September sebagai Cuti Umum di seluruh negara, malah mengiktiraf ‘HARI MALAYSIA’ yang selama ini menjadi punca perbalahan antara ahli politik Sabah dan Malaya; tidak memberikan banyak makna kerana layanan ‘Kasta Kelas 3’ masih berlaku ketika Sabah digelar sebagai ‘Fixed Deposit’ Kerajaan Barisan Nasional.

Keengganan Najib melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah dan Sarawak menyebabkan senario iklim politik Malaysia masih dalam dimensi yang berbeza; sedangkan tanpa sumbangan (BN) 24 kerusi parlimen dari Sabah dan 30 kerusi dari Sarawak, Najib adalah Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat pada hari ini!

Sebagai rakyat Sabah yang menghirup udara merdeka yang dicemari ketidak adilan, saya beranggapan bahawa Kerajaan ‘1Malaysia’ Najib masih mencari cahaya di lorong gelap politik perkauman untuk terus melanyak Sabah sebagai sebuah tanah jajahan yang semakin kaya dengan kuasa ekonomi kerana mendapat Rating AAA, ketika kedudukan Malaysia hanya pada rating A-.

Kerajaan Persekutuan semakin tidak jujur kerana setelah pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS), ditubuhkan pula Jabatan Pembangunan Negeri yang diletak di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri; dibebankan lagi dengan Kementerian atau Jabatan yang beroperasi sendiri mengkendurikan peruntukan di Sabah, tanpa pengetahuan dan restu kerajaan negeri Sabah.

Salah satu Kementerian yang mewarisi sikap ‘penjajah, rakus dan boros’ JPPS ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang bertindak bagaikan sebuah Kerajaan Negeri yang mempunyai ‘Ketua Menteri’ sendiri apabila Menteri KKLW mempunyai kuasa mutlak membelanjakan peruntukan NKRA dan projek pembangunan untuk Sabah tanpa perlu mendapat restu atau izin Ketua Menteri Sabah dan Kabinet Negeri.

Keghairahan KKLW gagal ditampan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana segala keputusan dibuat secara kolektif di antara Lembaga Tender KKLW, Kementerian Kewangan dan Menteri KKLW; sehingga tidak ada ruang untuk SPRM menjalankan siasatan rapi; apatah lagi semua tender terbuka atau tertutup dilakukan secara ‘telus’ kerana dipamerkan di laman web KKLW.

Namun bak kata pepatah, benda yang kecil boleh mempengaruhi sesuatu yang besar dan jerat tidak mungkin lupakan pelanduk. Menteri KKLW yang sebelum ini tidak serik apabila Kerajaan Negeri Sabah mengembalikan peruntukan pembangunan RM600 juta yang disalurkan terus ke Pejabat Daerah tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri Sabah; kini terpana dengan kebijaksanaan SPRM mengesan jejak kegiatan penggubahan wang haram melalui projek ‘Top-Up’ KKLW.

Pelestarian Ikrar Integriti Korporat antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi merealisasikan misi kerajaan selari dengan inisiatif kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu membanteras rasuah; telah berjaya memerangkap KKLW.

Sebagai sebuah agensi teknikal unggul di Malaysia, TNB melalui anak syarikatnya, TNBES turut menyertai tender Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa II di Pulau Banggi melalui tender bernombor KKLW.T.67/2011 bersama 38 syarikat lain dan menawarkan harga kedua terendah iaitu RM55,520,848; namun amat malang kerana KKLW menganugerahkan tender berkenaan kepada syarikat ‘BUKAN BUMIPUTERA’ (Usaha Serimas Sdn.Bhd) yang merupakan penender yang ke 26 terendah bernilai RM81,475,281.42.

Dengan komitmen bersama SPRM, TNB wajib melaporkan Skandal Tender BELB ini yang dibayangi unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran dana awam kerana sebagai Jabatan Teknikal, TNB meletakkan harga berpatutan, termasuk keuntungan 25 %.

Julat harga RM25,954,433.42 merupakan satu pembaziran yang besar dan rasuah secara terang-terangan melalui tindakan Lembaga Tender KKLW dan Menteri KKLW memberikan kontrak berkenaan kepada sebuah syarikat kroni dan proksi menteri yang tidak mempunyai pengalaman dan dana untuk menyiapkan projek berkenaan.

Sebelum ini, TNBES yang melaksanakan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa I di Pulau Banggi dengan kos RM21 juta sahaja dengan melantik Usahasama Shapadu Properties Sdn Bhd dan Berestu Corporation Sdn Bhd untuk kerja Sivil dan Bangunan dan Unimodal Sdn Bhd, Restu Indah Sdn Bhd dan Power Technologies Sdn. Bhd untuk kerja bangunan.

Pembohongan KKLW sebelum ini bahawa spesifikasi penggunaan bateri asid plumbum dalam semua Projek Solar Hibrid BELB telah terdedah kerana semua dokumen tender disediakan oleh Juruperunding KKLW dan bukannya TNB seperti yang didakwa sebelum ini.

Contoh yang diberikan ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional dan Menteri Kabinet Persekutuan kini semakin terdesak sehingga terpaksa merompak ‘rakyat Sabah’ melalui projek ‘Top-Up’ kerana harga kontrak dilonjakkan di antara 50 hingga 250% daripada harga anggaran asal; bagi mencari dana politik untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijadualkan pada 11.11.11; tetapi belum menemui titik temu yang rasmi.

Jika KKLW telah menyerlahkan pembohongan dan menyamun peruntukan dengan begitu ketara, bagaimana dengan Kementerian lain seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerjaraya dan sebagainya yang menjadikan Sabah sebagai ‘Mesin Mencetak Wang’ ketika rakyat Sabah dilabel sebagai ‘Termiskin di Malaysia’?/sabahkini.net


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)