WALAUPUN penggunaan dakwat kekal akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen, ia tidak ada makna jika ‘hantu’ masih ada jari.
“Ini kerana nama mereka ada di dalam daftar pemilih, walaupun mereka bukan penduduk tetap,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan.
Katanya, walaupun pendedahan dan bukti dibuat oleh PAS dan Pakatan Rakyat mengenai daftar pemilih, namun sikap ‘pekak badak’ yang ada kepada orang suruhan Umno di SPR masih tidak berubah.
“Mungkin inilah cara kerja jahat mereka untuk merampas Selangor dengan cara tidak demokratik,” ujarnya.
.
“Tidak ada makna kalau menggunakan dakwat kekal jika ‘hantu-hantu’ ini boleh mengundi kerana hantu moden ini ada jari dan kad pengenalan,” katanya lagi.
Oleh itu, katanya reformasi pilihan raya mesti dibuat secara menyeluruh.
“Ertinya tidak guna jika dakwat kekal digunakan sedangkan hantu-hantu ini boleh mengundi walaupun mereka bukan warga negara,” katanya.
Beliau menambah, jawapan daripada SPR untuk membodohkan rakyat apabila pendedahan itu dibuat, maka ia menyalahkan penolong pendaftar.
“Kenapa Datuk Wan Ahmad hendak melepaskan diri? Kenapa SPR tidak menolak borang tersebut?” soalnya.
Beliau juga bertanya berapa ribu borang yang diisi oleh penolong pendaftar parti yang ditolak oleh SPR dengan alasan yang berbagai.
Ini, katanya satu lagi bukti memang Datuk Wan Ahmad adalah budak suruhan Umno. (HARAKAHDAILY)