.

Monday 2 November 2009

JAIS bebaskan bekas Mufti Perlis | Nizar News

(mStar Online) - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi kerana dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Sementara itu dalam sidang media selepas dibebaskan, Dr Asri bagaimanapun menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi.

"Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu.

"Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Mohd Asri menganggap penangkapannya itu telah dirancang sejak awal.

"Saya menganggap ini adalah usaha tangkapan terpilih kerana mereka memang target saya, ini (tangkapan) yang bertujuan kerana saya percaya ditempat lain juga pasti ada perhimpunan atau majlis-majlis yang sama seperti ini.

"Tapi oleh kerana mereka tahu di sini saya berhimpun, lalu mereka membuat operasi di sini," katanya.

Dalam pada itu beliau turut kesal dengan tindakan anggota JAIS sewaktu menguruskan operasi berkenaan.

"Tindakan JAIS tak serasi, bukan saya nak suruh mereka hormat saya, tapi sekurang-kurangnya mereka juga tahu saya bekas Mufti kerana negeri Perlis," katanya.

Diminta mengulas mengenai tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS kepada guru agama yang ingin mengajar di Selangor, Mohd Asri berkata: "Saya ingin beritahu, JAIS ni, ketika saya menjadi mufti Perlis, mereka mengatakan semua mufti boleh mengajar di Selangor melainkan Mufti Perlis.

"Bayangkan kalau mereka tanya saya mengapa tak pohon tauliah... ketika saya ada jawatan mufti pun mereka mengecualikan saya daripada memiliki ruang bercakap dalam negeri Selangor."

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi Bernama berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.


*** SERTAI PROGRAM HEBAT INI... SILA KLIK, TQ ***


.

1 comment:

  1. Tok Guru Nik Aziz yang punyai ilmu agama yang lebih tinggi dr Dr Asri pun penah tidak dibenarkan mengajar di seluruh Selangor semasa BN dulu atas sebab2 tauliah kononnya.

    Jadi apa nak pelik sangat kalau Dr Asri tak dapat?

    Satu lagi, ramai yang kaitkan anda (Dr Asri) dengan ajaran atau fahaman Wahabi. Tentu yang mendakwa ada asas-asasnya . Mungkin tingkah laku, lontaran minda dan apa saja yg dihamburkan oleh Dr Asri menggambarkan perkara itu.

    Kepada Dr Asri, kalau betul kamu nak perjuangkan Islam, bukan diluar sana tempatnya. Sudah2 la tu mencari glamour. Orang semacam kamu tempatnya adalah bersama PAS, bukannya diluar PAS.

    http://www.pemudakemehe1.blogspot.com

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist