Sunday, 22 November 2009

Husam undur? | Nizar News

Oleh Azran Fitri Rahim

KB: Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan yang merupakan satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan yang dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Abdul Ariffahmi yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan menantu Nik Abdul Aziz.

Namun Pas Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, perkara itu hanya khabar angin dan mereka tidak mahu mencampuri isu yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena dengan politik.

Sumber memberitahu, hasrat Husam untuk berundur telah dikemukakannya kepada Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan pada pertemuan empat mata Selasa lalu.

“Husam bertemu dengan Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat atau menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku dalam PMBK dan penjelasan itu diterima, tetapi hasratnya untuk meletakkan jawatan ditolak.

“Nik Abdul Aziz telah mengumumkan Husam cuti selama lima hari bermula hari ini pada mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kelantan di kediaman rasminya, JKR 10 pagi tadi. Beliau (Husam) tidak hadir pada mesyuarat ini,” kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, sebuah portal berita melaporkan Husam mendakwa wujud konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri dengan mencetuskan perbalahan di antara beliau dengan Nik Abdul Aziz.

Malah khabar angin menyatakan bahawa Mursyidul Am Pas itu sedang menimbangkan untuk menggugurkan Husam daripada barisan Exco Kelantan ekoran isu pemecatan Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK minggu lalu.

Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat sebagai antara orang kanan Husam.

Sumber itu berkata, dalam tempoh cuti tersebut, Husam juga akan menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

“Husam sebelum ini beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya beliau menjadi liabiliti kepada parti.

“Tetapi khidmat beliau masih diperlukan dalam membantu Nik Abdul Aziz mentadbir negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaki menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin.

Katanya, Pas Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena soal politik.

“Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini).

“Kita tidak pernah membincangkan soal ini, sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar,” katanya. / Mingguan Malaysia

Sumber : KLpos.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)