.

Friday 13 November 2009

Harga MyKad RM8000 | Nizar News

Impian menggunung untuk bergelar rakyat Malaysia menyebabkan segelintir warga asing sanggup membayar sehingga RM8,000 bagi membeli MyKad palsu bermutu tinggi dari sindiket yang menjualnya bagi memperoleh keuntungan lumayan.

Difahamkan, sindiket berkenaan menggunakan taktik dengan mengubah suai MyKad tulen yang dicuri dengan menukarkan gambar pemilik asal dengan gambar pelanggan dan dilakukan dengan cukup teliti bagi mengelak penipuan terbabit disedari.

Selain memasarkan MyKad palsu berkenaan, sindiket turut dikesan berupaya menghasilkan lesen memandu palsu negara ini.

Kewujudan sindiket yang menjual dokumen penting negara terbabit dibongkar selepas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membenteras kegiatan memperdagangkan MyKad palsu di kalangan pendatang asing.

Hasil siasatan dilakukan, polis memberkas seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun di sekitar kawasan Jalan masjid India, di sini.

Dalam serbuan jam 9 malam kelmarin, suspek yang dipercayai ahli sindiket pemalsuan dokumen penting berkenaan tidak sempat melarikan diri sebaik ditahan polis.

Suspek yang ditahan cuba menyamar sebagai warga tempatan apabila menunjukkan MyKad dengan mendakwa tinggal di Lembah Jaya Utara, Ampang, di sini.

Namun, tindak tanduk suspek yang mencurigakan akhirnya mendedahkan rahsia sebenarnya yang menggunakan MyKad palsu selain mengaku dari Indonesia.

Hasil soal siasat dilakukan, suspek mendakwa membeli MyKad palsu itu daripada seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Basri dengan bayaran RM8,000.

Menurutnya, pihak polis yang melakukan pemeriksaan pada tubuh suspek sejurus selepas soal siasat dilakukan menemui empat keping lesen memandu negara ini yang turut dipercayai dokumen palsu.

“Siasatan polis mendapati MyKad palsu berkenaan bermutu tinggi berikutan gambar ukuran milik suspek yang ditahan ditampal dengan sempurna. Polis percaya, MyKad terbabit milik individu lain sebelum ia ditukar pada bahagian gambar manakala maklumat individu dan alamat dikekalkan.

“Polis yang melakukan siasatan dengan bantuan pihak Imigresen mendapati suspek yang ditahan berkenaan tinggal secara haram di negara ini selepas visa miliknya tamat sejak November 2006.

“Susulan itu, suspek diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kewujudan MyKad palsu mudah dikesan berikutan kebanyakan anggota polis kini dilengkapi alat pembaca butiran MyKad, sekali gus meningkatkan keupayaan dan keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan MyKad palsu dimiliki rakyat asing.

Sementara itu, pihak Jabatan pendaftaran Negara (JPN) yang cuba dihubungi mendakwa pelbagai langkah kini dipertingkatkan bagi memastikan MyKad tidak menjadi ‘alat’ dagangan pihak tertentu untuk dipalsukan sebelum dijual kepada pihak ketiga. -HM

Sumber : Sabahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist