Wednesday, 11 November 2009

Asri berminat sertai Pas: Harun | Nizar News

SHAH ALAM – Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin pernah meluahkan minat untuk menyertai Pas memandangkan perjuangan parti itu selari dengan pendiriannya dalam menyebarkan ajaran Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, beliau yakin Pas menjadi pilihan Asri untuk berpolitik sekiranya usaha menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan halangan.

"Dia nak masuk (Pas) dah. Semasa pertemuan dengannya sebelum ini, saya pernah mengajaknya menyertai Pas agar dia tidak berjuang sendiri, sebaliknya memperjuangkan Islam bersama parti. Nampaknya beliau berminat.

“Saya ingat dia hanya bercakap dengan saya, tetapi sekarang dia dah terbuka mengatakan kesediaannya menyertai politik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berminat dengan perjuangan Pas sejak sebelum menjadi Mufti Perlis lagi.

“Masa jadi Mufti Perlis dahulu, dia memang sayang Pas. Masa jadi pensyarah universiti pun dia sayang dengan Pas. Masa jadi penceramah agama pun begitu. Saya yakin sekarang pun begitu.

“Saya pernah mengatakan dia layak masuk Pas memandangkan parti ini berjuang menegakkan Islam syumul, tidak seperti UMNO. Maka Pas adalah parti yang paling sesuai dengannya,” katanya.

Ditanya apakah beliau menjangka Asri menyertai parti itu dalam masa terdekat, Harun berkata beliau tidak pasti kerana Asri sendiri belum membuat keputusan.

“Saya selalu berhubung dengannya dan kami (pemimpin Pas) juga pernah bertemu untuk mengajaknya secara terbuka menyertai parti,” katanya.

Dalam pada itu, kesediaan Asri untuk menyertai politik sebagai langkah terakhir, disambut baik oleh beberapa pemimpin UMNO dan Pas.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Asri wajar menyertai politik kerana suaranya lebih didengar oleh semua pihak.

“Saya rasa beliau lebih selesa untuk menyuarakan pandangan sekiranya menyertai dunia politik dan sama ada parti mana yang menjadi pilihannya terpulang kepada Asri.

“Jika dia (Asri) menyertai Pas, beliau perlu memohonnya terlebih dahulu untuk menjadi ahli dan pimpinan Pas akan pertimbangkannya untuk menjadi sebahagian daripada kami,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Ditanya mengenai adakah Asri akan diberi jawatan sekiranya menyertai Pas, Salahuddin berkata:“ Itu kita akan pertimbangkan kemudian. Jika berminat, beliau perlu isi borang dahulu."

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan mengalu-alukan Asri menyertai UMNO sekiranya berminat menyertai politik.

“Kita harap beliau sertai UMNO kerana beliau turut memberi sokongan terhadap perjuangan UMNO dan memahami mengapa dasar-dasar UMNO dilaksanakan sedemikian rupa,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Asri berminat menyertai UMNO, pemimpin UMNO sedia menimbang keahliannya

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5983024.asp
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)