.

Saturday 17 October 2009

Umno Ibarat KAPAL PECAH ! | Nizar News

UMNO PASTI TERTOMOIH

Oleh : Bilah Rotan

Berakhirlah sudah Persidangan Agung UMNO 2009. Najib berbangga kerana ahli-ahli UMNO sudah insaf. Anehnya, retorik murahan itu tidak selari dengan ucapan klise para pembahas dalam persidangan itu. Nampak benar ahli-ahli UMNO tidak intelektual. Hal inilah yang menyukarkan perubahan dilakukan terhadap kapal bocor bernama UMNO itu.

Jika anda menonton Analisis Awani yang disiarkan pada petang Jumaat (16.10.2009), tahap pemikiran yang rendah diserlahkan oleh Fuad Zakarshi dan Raja Nong Chik.


Fuad hanya tahu ampu-bodek bosnya. Tiada perkara baharu yang dilontarkannya selain unsur itu. Entah mengapa dia menyerang DAP (sebuah parti yang mantap) sebagai tidak demokratik. Dia seharusnya sedar bahawa UMNOlah yang tidak demokratik sehingga terpaksa pinda perlembagaan. Langkah yang dibuat oleh UMNO itu telah didahului oleh PKR. Raja Nong Chik pula terus mengulang-ngulang kerja buatnya bagi menunjukkan dia bekerja untuk rakyat. Apabila didesak oleh pemudah cara yang nampaknya lebih berupaya jika dibandingkan dengannya, dia terhegeh-hegeh kerana tidak boleh memberikan penjelasan yang jitu. Imej hodoh pemimpin UMNO terpancar pada mereka berdua. Asakan dari Dr. Abu Hassan langsung tidak diberi respons. Mungkin kedua-duanya rasa terpukul dengan asakan itu dan memilih jalan selamat untuk mengelakkan kemaluan yang lebih besar.

Kewujudan fenomena itu menyebabkan orang yang berada di luar UMNO menganggap UMNO hanya bersandiwara dalam persidangan agung itu. Bagaimana ahli akar umbi hendak memahami perubahan yang diharapkan kalau para pemimpinnya sendiri gagal menghayati wacana yang dilontarkan? Pada masa yang sama, wacana yang dilontarkan presiden UMNO itu bukanlah tinggi sangat nilainya. Hampir semua perkara yang disentuh bersifat picisan dan meniru konsep-konsep yang sudah dilaksanakan pembangkang. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana meyakini cara yang dilakukan pembangkang itu berhasil menarik sokongan massa. Terbuktilah bahawa UMNO sudah benar-benar kebingungan sehingga tidak mampu menzahirkan idea sendiri yang segar.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, mampukah UMNO berubah? UMNO berhasrat menjadikan semua ahlinya ikhlas. UMNO berhasrat menjadikan semua ahlinya sebagai sukarelawan. UMNO berhasrat menjadikan semua ahlinya tidak menganggap UMNO sebagai parti cari makan. UMNO berhasrat menjadikan partinya mempunyai ahli yang paling ramai. UMNO berhasrat untuk memberi lebih peluang kepada ahli-ahli wanita. UMNO berhasrat menarik golongan muda menyertainya. Itulah angan-angan Mat Jenin UMNO.

UMNO PARTI NASIONALIS YANG SEKULAR

Pemimpin tertinggi UMNO mengesahkan perkara ini. Setiausaha Agung UMNO memberitahu wartawan bahawa UMNO ialah parti nasionalis. Presiden UMNO mengatakan bahawa semua ahli UMNO perlu kembali kepada falsafah UMNO yang asal. Pegangan ini dimantapkan lagi dengan tiadanya aktiviti yang diatur untuk menjadikan ahli-ahli UMNO sebagai orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Hadis, baharulah mereka bencikan rasuah, tidak mengganas dalam kempen pilihan raya, dan berbuat sesuatu tanpa memohon pembalasan. Tiada seorang pun agamawan dalam UMNO yang bercakap soal menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya. Oleh sebab itu, UMNO tidak berhak memarahi sesiapa sahaja yang menuduhnya menolak Islam.

Kata-kata tawaduk, tasawwur, ikhlas dan lain-lain yang berkonotasi Islam hanyalah mainan bibir orang UMNO. Budak tadika pun boleh menyebutnya kalau diajar setiap hari. UMNO perlu sedar bahawa ikhlas dan tawaduk tidak akan datang tanpa amanah. Sebab itu Allah jadikan amanah sebagai sifat terpuji Nabi Muhammad Sollallahu alaihi wasallam. Orang yang amanah tidak sentuh rasuah. Orang yang amanah tidak gila kuasa seperti pemimpin UMNO yang merampas kuasa di Perak. Orang yang amanah tidak akan memperkudakan SPR, PDRM, SPRM, dan mahkamah untuk mengekalkan kuasa. Orang yang amanah tidak tidak akan merampok Tanah Simpanan Melayu. Orang yang amanah tidak akan menganiaya 3 juta pelajar melalui PPSMI. Orang yang amanah tidak akan mengurung orang lain tanpa bicara melalui ISA.

UMNO tidak perlu bercakap tentang ikhlas dan tawaduk jika menabur berlambak-lambak wang dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum. Selagi UMNO menganggap bantuan yang diberi semasa kempen pilihan raya itu sebagai tanda prihatin kepada rakyat, lupakanlah tawaduk dan ikhlas itu. Sudah terang lagi bersuluh perbuatan itu tidak ikhlas. Jika UMNO benar-benar ikhlas, bantulah golongan miskin sehingga mereka boleh berdikari, bukannya lepas beri beras beri beras lagi supaya mereka terus miskin dan dapatlah mereka digula-gulakan lagi apabila ada pilihan raya.

Adakah UMNO tidak faham beza antara tanggungjawab dan bantuan kepada rakyat? Kerajaan yang memerintah perlu menjalankan tanggungjawabnya sepanjang masa, bukan simpan duit rakyat kemudian tabur masa pilihan raya. Tujuan pilihan raya adalah untuk membolehkan rakyat memilih parti mana yang memberi tawaran terbaik untuk kemaslahatan mereka. Sebab itu diadakan manifesto. Itu yang dibuat oleh negara maju. Berpandukan aktiviti semasa pilihan raya, Malaysia tidak pun termasuk sebagai sebuah negara membangun. Malaysia adalah negara mundur yang masih mempraktikkan amalan demokrasi tahun 1960-an!

UMNO PARTI RASUAH

Pindaan perlembagaan UMNO yang menggandakan jumlah perwakilan yang akan memilih pemimpin diduga akan membanteras gejala rasuah politik. UMNO terus bermain-main dengan angka yang mereka sendiri tidak kaji dengan teliti. Dengan jumlah perwakilan yang dikatakan banyak itu dan sifat penjarah dalam diri ahlinya yang tidak pernah diusahakan pembersihannya melalui tarbiah, rasuah akan terus bermaharajalela dalam UMNO.

Kita genapkan jumlah perwakilan itu 150,000 orang. Si penjarah ini hendak mendapatkan sokongan 60% daripadanya, baru 9,000 orang. Dia akan merasuah 9 ribu orang itu sebanyak RM5,000.00 seorang. Tentulah dia memerlukan RM45 juta. Sukar benarkah dia hendak menyediakan wang sebanyak itu. Isa Samad didakwa diapit oleh dua orang taikun sebagai sponsor. Susah sangatkah nak tambah seorang lagi taikun? Satu taikun bagi RM15 juta, tiga taikun bereslah wang rasuah tu. Taikun senang-senang sahaja bagi RM15 juta kalau pulangannya melalui projek berjumlah berbilion ringgit. Harus diingat bahawa sesiapa juga yang mendapat 9,000 undi pasti menang!

Seorang calon bagi RM5,000.00. Bayangkan 3 calon bagi jumlah yang sama. RM15,000.00 adalah satu jumlah yang besar bagi perwakilan yang terdiri daripada pembantu am rendah, kerani, peniaga kecil, ketua kampung, siak, petani, penternak, nelayan, dan sebagainya. RM15,000.00 juga besar bagi pegawai baru berkelulusan universiti yang terpaksa membayar pinjaman PTPTN yang melambak-lambak apatah lagi pemaju, pemborong, dan kontraktor yang sedang menghadapi masalah. Lingkuplah integriti negara! Bermaharajalelalah perasuah menyonglap duit rakyat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

UMNO FOR ALL DAN KONSEP 1MALAYSIA

UMNO menciplak tag yang digunakan oleh PAS. Tindakan kurang cerdik ini menandakan keterdesakan UMNO terlalu meruncing dan kelemasan sehingga kepunyaan orang pun dicuri sesuka hati. UMNO for All tidak layak digunakan oleh parti perkauman itu, kecualilah namanya ditukar dari United Malays National Organization kepada United Malaysian National Organization. Tentunya mereka enggan berbuat demikian kerana terpaksa memohon maaf kepada Allahyarham Dato' Onn, tokoh yang meninggalkan UMNO kerana enggan membuka pintu kepada kaum lain.

UMNO diserang sawan babi apabila terus-terusan mendendangkan kemenangan di Bagan Pinang sebagai penanda sokongan terhadap Najib yang melontarkan gagasan 1Malaysia. Begitu taksubnya UMNO terhadap Najib. Bagaimanakah UMNO boleh melenyapkan sikap ampu-bodek dalam parti mereka? Sifat inilah yang tambah menjahanamkan UMNO. Gagasan yang sampai hari ini bertaraf "tidak masak" itu ditatang dan dijaja semahu-mahunya. Barangkali UMNO lupa rakyat kebingungan kerana diasak gagasan yang tidak pernah ada usaha untuk ditakrif dan didokumentasikan itu. Agenda negara wajib mempunyai ciri-ciri kesahihan, kemantapan, dan kebolehturutan.

KESIMPULAN

Cukuplah dengan sanggahan-sanggahan itu untuk kali ini. Banyak lagi sikap tidak cerdik yang dapat dibahaskan melalui fiil para pemimpin UMNO yang mereka sendiri serlahlah dalam perhimpunan itu. Kesemuanya akan didedahkan dari masa ke masa untuk menginsafkan golongan massa yang selalu ditindas oleh parti karat ini. _ http://bilahrotan.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist