Saturday, 24 October 2009

Teoh dibunuh: Exco lapor polis, mahu suruhanjaya diraja

SERI KEMBANGAN, 24 Okt : Exco Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah hari ini membuat satu laporan polis berikutan pendedahan terbaru mengesahkan 80 peratus pembantunya mendiang Teoh Beng Hock mati dibunuh bukan terjatuh.
Laporan dibuat di balai polis Seri Kembangan pagi ini mendesak pihak polis menyiasat kes ini dari sudut kes pembunuhan bukannya bunuh diri atau mati mengejut.

"saya berasa sangat kecewa, pihak polis menyiasat kes ini daripada sudut bunuh diri sejak awal. Sudut ini telah menghadkan skop siasatan polis dan telah melepaskan peluang emas untuk mencari bukti. Adakah pihak polis sengaja mahu melindungi SPRM pada hari pertama," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan.

Beliau juga menuntut supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan segera dan menghentikan Inkues yang didakwa tidak telus dan membazirkan wang rakyat.

"Jangan bazirkan wang rakyat, keluarga dan juga pegawai-pegawai, kerajaan pusat harus tubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini.

"Saya lihat inkues ini berjalan dengan tidak baik, dan tidak telus, mereka hanya menyiasat berdasarkan laporan polis dan patologi tempatan, itu telah mengecewakan rakyat." katanya lagi

Beliau turut mendakwa terdapat sesetengah pihak cuba untuk menyembunyikan kisah sebenar disebalik kematian Teoh ini.

Rakyat Malaysia katanya mahu melihat keadilan ditegakkan dan Teoh tidak boleh mati sia-sia sahaja.

"Ini peluang untuk pihak polis membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh menjalankan tugas dengan profesional dan bebas," katanya lagi.

Patologi terkenal antarabangsa dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand Rabu lalu telah memberi keterangan sebagai saksi pakar di Inkues mengenai kematian Teoh dan membuat kesimpulan kematian mendiang disebabkan dibunuh.

Ianya berikutan tanda bulat di leher Teoh dipercayai dicekik, retakan pada tengkorak mendiang bukan akibat terjatuh dan kecederaan pada dubur Teoh juga akibat dicucuk dengan objek sebelum terjatuh.

Teo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam dipercayai jatuh daripada tingkat 14 bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, pada 16 Julai 2009, jam 1.30 tengah hari selepas menjalani soal siasat.

Mendiang adalah setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah. - Harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)