.

Tuesday 13 October 2009

Risiko internet | Nizar Info

KETIKA ibu bapa mula menutup lampu bilik untuk tidur, sedarkan mereka bahawa anak remaja mereka masih berjaga, lampu bilik masih menyala dan komputer masih terpasang. Apa yang mereka lakukan di dalam bilik ialah melayari dunia siber tanpa sempadan bersendirian.

Jika diacukan kepada ibu bapa soalan ‘Adakah anda tahu di mana anak anda di dalam talian - jawapannya ialah tidak tahu’.

Itulah kelemahan dan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kepelbagaian aktiviti dalam talian dilayari remaja hari ini yang sebenarnya datang bersama dengan pelbagai risiko.

Berdasarkan kajian ‘Norton Online Living Report (NOLR) di Malaysia’ mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, pasti ibu bapa terkejut kerana remaja di negara ini sebenarnya menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet.

Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia juga empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka.

Hakikatnya, itulah yang tidak disedari ibu bapa yang menyangkakan anak mereka cuma melayari internet pada masa tertentu saja, sedangkan kajian mendapati mereka sebenarnya menghabiskan masa dua kali lebih banyak daripada apa yang difikirkan mereka.

Walaupun di rumah dan sekolah, remaja hanya dibenarkan memasuki akses internet popular iaitu yang dibenarkan saja. Keadaan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin ghairah mencari persekitaran alternatif yang jauh dari pandangan ibu bapa, terutama keluarga yang sentiasa sibuk.

Disebabkan itulah, 31 peratus daripada mereka melayari internet di kafe siber yang boleh didapati di mana-mana, manakala bagi remaja yang mempunyai rakan atau komputer riba persendirian, kajian mendapati 26 peratus daripada mereka gemar melepak di rumah rakan melayari internet.

Isu yang menarik dibincangkan ialah apa sebenarnya yang dilakukan remaja di dalam talian, adakah mereka memanfaatkan kemudahan itu untuk sesuatu yang berfaedah atau sekadar mencari keseronokan yang akhirnya memakan diri serta menjadi faktor penyumbang gejala sosial.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, berkata bagi ibu bapa yang cetek pengetahuan dan pengalaman mengenai internet berbanding anak mereka, isu itu boleh menjadi punca kebimbangan utama mereka seperti ditemui melalui hasil kajian NOLR.

“Internet ialah satu sumber yang bagus, pelbagai, peluang mencari sesuatu maklumat yang agak mustahil untuk didapati serta mempunyai sejuta peluang mencari kawan baru dan mengenai pelbagai jenis manusia di dalam talian. Namun bagaimana penggunaannya, itu yang menjadi persoalan,” katanya.

Walaupun 72 peratus ibu bapa mendakwa mengetahui aktiviti anak mereka ketika melayari internet, bukti kajian menunjukkan daripada senarai aktiviti yang dipilih, dipersetujui bersama ia sebenarnya berlawanan, berbeza daripada tanggapan serta realiti apa yang dilakukan anak mereka.

Dengan kata mudah, lain yang dibenarkan, lain pula yang dicari. Itu yang ditegah, itulah yang akan diselongkar dan dibongkar kerana melakukan sesuatu yang terlarang itu memang godaan kuat.

Jika ibu bapa bersikap sambil lewa dan tidak begitu menghiraukan aktiviti internet anak mereka, sudah pasti mereka terkejut dengan hasil laporan NOLR kerana 60 peratus daripada mereka cuma menghabiskan masa melayari laman sembang dan berbual di dalam talian dengan individu tidak dikenali.

Effendy berkata, ia berlaku lebih daripada sekali dalam tempoh seminggu dan 51 peratus daripada mereka berdepan risiko tanpa disedari kerana mendedahkan maklumat peribadi di dalam talian.

“Empat daripada lima remaja didapati mengakses bahan haram atau tidak berlesen. Ibu bapa percaya sebahagian besar aktiviti di dalam talian yang dilayari anak cuma terbatas kepada elemen hiburan dan aktiviti perjudian komputer (games) tetapi elemen itu bukan keutamaan remaja.

“Hakikatnya, mereka melayari sesuatu di luar batasan dan kawalan kerana internet boleh dilayari tanpa sempadan. Mereka melayari aktiviti yang dikategorikan berfrekuensi tinggi iaitu video (91 peratus), rangkaian sosial (89 peratus) dan muat turun pelbagai fail (91 peratus),” katanya. -BH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist