.

Monday 26 October 2009

Menelusuri Bajet 2010 : Drs Harun Jaafar | Nizar News

Rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa Najet 2010 dikemukakan ketika dunia sedang menghadapi kemelesetan ekonomi yang tidak diketahui kesudahannya. Pendapatan negara menurun. Foreign Direct Investment (FDI) terus menjunam. Hutang negara semakin bertimbun.

Rakyat biasa dimomokkan oleh UMNO/BN serta media kawalannya tentang keprihatinan kerajaan kepada semua lapisan masyarakat. Hal ini bukanlah satu perkara baru dalam pembentangan bajet. Itulah tanggungjawab dan tugas yang dipikul oleh mana-mana juga kerajaan. Oleh sebab itu, tidak timbul persoalan prihatin atau tidak. Kewajipan itu mesti dilaksanakan. UMNO/BN menjadikan aspek itu untuk mencari populariti.

Namun demikian, terdapat beberapa hal yang tidak menyenangkan dalam pembentangan bajet itu. Pertama, kebergantungan pendapatan dari sumber minyak mentah dan gas dalam pelbagai bentuk sudah mencapai peringkat kritikal. Dari RM19 bilion pada tahun 2004 menjadi RM67.8 bilion pada tahun 2009, iaitu 43.5% dari pendapatan kerajaan pusat. Pendekatan ini sama sekali tidak wajar. Kerajaan tidak pernah menunjukkan komitmen untuk mengubah sumber pendapat kepada aspek selain daripada sumber asli yang pasti kehabisan suatu hari nanti. Kebergantungan itu juga menyebabkan Petronas terus diperah setiap tahun. Kalau pada tahun 2005 Petronas simpan 42.5% keuntungannya, kini hanya 21.1%. Ini bermakna kita telah membelanjakan kekayaan sumber anak cucu kita.

Kedua, dalam bajet tersebut Najib mengulang sebut tentang membawa ekonomi negara ini dari "Low-Income Economy" kepada "High-Income Economy". Anehnya, dia tidak menjelaskan tentang cara, kaedah, dan pendekatan untuk menuju ke matlamat tersebut. Hakikatnya pendapatan per kapita negara ini hanya RM15,819.00 setahun berbanding dengan Singapura atau Korea Selatan atau Taiwan yang tiga atau empat kali ganda lebihnya daripada kita. Pada masa yang sama, pendapatan negara berkurang. Dapatkah kerajaan dan swasta mengadakan aliran tunai yang banyak bagi memastikan hasrat itu tercapai? Banyak pakar ekonomi sangsi terhadap kebolehan tersebut.

Ketiga, sungguhpun IPTA diberikan autonomi bagi mendapatkan dana untuk menjadi lebih inovatif, mereka tidak pula dibebaskan daripada AUKU. Bagaimanakah IPTA hendak menjadi lebih kompetitif untuk bersaing di peringkat antarabangsa? Janganlah pula nantinya IPTA tertentu terlalu sibuk kumpul dana hingga mengabaikan pengajaran dan pembelajaran!!!

Keempat, wujud ketidakadilan dalam kadar cukai. Bagaimana industri dalam sektor knowledge economy dikenakan cukai sebanyak 26% sedangkan di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia cuma 15%. Penetapan tersebut menyanggah tema bajet yang dibentangkan, iaitu "1 Malaysia Kemakmuran Bersama".

Kelima, kesangsian terhadap keberkesanan Whistle Blower Act. Akta ini kelihatan baik. Namun demikian, tindakan kerajaan yang dilihat melindungi perasuah menjadikan akta ini tidak bermakna walaupun pemberi maklumat dilindungi.

Itulah sebahagian daripada kelemahan yang dapat di kenal pasti melalui Bajet 2010. UMNO/BN sepatutnya menyatakan kepada rakyat langkah konkrit untuk menyelesaikan masalah bukan hanya mengenali masalah dan mementingkan populariti melalui tipu daya terhadap kecetekan pengetahuan ekonomi dalam kalangan rakyat. _Pena Mutiara
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist