Thursday, 16 March 2017

Cerita' PAS, BERSATU selesai

Umpama kasih beralih arah, lalu PAS bagaikan tidak mungkin berpaling lagi.

Ekoran pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa partinya akan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN), PAS menegaskan tidak lagi berminat berada sepentas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata jika BERSATU sudah membuat keputusan rasmi, PAS menganggap mereka tidak lagi ada hubungan dengan parti berkenaan.

“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan sertai Pakatan Harapan,” katanya dilapor Harakahdaily hari ini.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS ditemui media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, Kota Bharu Kelantan.

Semalam Malaysiakini melaporkan, BERSATU bakal mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai HARAPAN.

Mengumumkan perkara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU berkata, pihaknya berharap ada beberapa aspek perlu diubah suai, termasuk nama pakatan itu serta logo.

Masing-masing ada pendirian

Menurut Dr Mahahir, pemimpin HARAPAN sudah mengetahui niat BERSATU mahu menyertai gabungan berkenaan.

HARAPAN dibentuk oleh gabungan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sebelum ini PAS menyatakan pendirian mereka untuk tidak akan bekerjasama sama sekali dengan DAP dan AMANAH.

Justeru, kata Mohd Amar, PAS beranggapan tidak perlu lagi ada sebarang perbincangan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya diadakan di antara parti berkenaan dengan BERSATU.

"Ia dianggap sudah selesai,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Amar berkata, PAS tetap menghormati BERSATU untuk menyertai HARAPAN.
“Kita ada pendirian kita dan orang lain juga ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa ikut kita,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan, ketika ini PAS sudah membentuk pakatan dengan beberapa pihak bagi mewujudkan "blok ketiga" yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Katanya, gerakan itu akan dilancar secara rasmi pada muktamar PAS yang bakal diadakan di Alor Setar, Kedah, hujung April ini.
-malaysiakini

3 comments:

  1. Pegi mampus lah lebai..sombong..bongkak..ego..x islamik langsung..

    ReplyDelete
  2. Jiks 3 penjuru di kelantan PAS akan out..

    ReplyDelete
  3. Kalau ada lah Pimimpin Pakatan Harapan yang masih nak berbaik baik dengan Pas aku harap para pengundi yang mengundi dikawasan anda lupekan lah calon tu.

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG