KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari
ini mengesahkan seorang anggotanya dari Johor antara yang ditahan pihak
polis atas tuduhan berkait kegiatan militan.
Ketua penyelarasnya
Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan berkata, Saiden Muslimin
Ismail, 24, telah ditahan di bawah Seksyen 4(1), Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) atau Sosma.
Saiden,
anggota SAMM Muar, baru sahaja mendirikan rumahtangga pada akhir tahun
2013 bergerak aktif dalam menjayakan banyak program anjuran SAMM.
Menurut seorang aktivis SAMM Muar, penahanan Saiden hanya dimaklumkan kepada isterinya selepas 48 jam.
Semalam,
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepuluh
individu ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit
Aman.
Penahanan itu termasuk seorang wanita, tiga ditahan di Kedah dan enam di Selangor.
Difahamkan,
Saiden Muslimin Ismail ditahan dengan pertuduhan disyaki sebagai
pengganas yang ingin menjalankan misi jihad di beberapa negara yang
sedang bergolak.
Badrul
Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, beliau tidak
menolak kemungkinan penahanan yang melibatkan anggota SAMM Johor adalah
satu asakan politik untuk mengaitkan gerakan anak muda yang menentang
dasar kerajaan dengan aktiviti militan.
"SAMM menuntut
perbicaraan segera dan SAMM juga ingin memperingatkan pihak PDRM agar
tidak mengabaikan hak-hak Orang Kena Tahan ini sepanjang kes ini
disiasat.
"SAMM akan terus memerhati dari dekat akan perjalanan
kes ini dan mengambil tanggungjawab penuh dalam usaha membebaskan
aktivis kami daripada pertuduhan ini serta kebajikan isteri dan waris
beliau," kata Badrul./~harakahdaily
No comments:
Post a Comment
ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG