Wednesday, 2 April 2014

Masih ada pemimpin berdamping dengan bomoh - Ustaz Abu Bakar Hussien

IPOH: Ustaz Abu Bakar Hussien (PAS-Titi Serong) menggesa kerajaan negeri mendrafkan satu Enakmen Syariah Islam yang merangkumi semua syariat yang diwajibkan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Ia selari dengan titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal kedua Dun 31 Mac lalu yang menyarankan meningkatkan fahaman serta penghayatan Islam dengan bertunjangkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, sudah sampai masanya negeri Perak merancang dan merangka satu pelan tindakan ke arah perlaksanaan syariat Islam yang lebih menyeluruh di negeri ini.

Menurut Ustaz Abu Bakar, perancangan ini perlu sebagai tanda komitmen yang tinggi ke arah perlaksanaan syariat Islam dan mesti bermula dengan pembentukkan satu jawatankuasa khas di peringkat Exco dan jabatan bagi mendrafkan satu enakmen syariat Islam.

"Pegangan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah janganlah hanya kepada kepercayaan yang umum terhadap segala rukun iman dan perlaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam rukun Islam semata-mata.

"Pegangan ini bukan semata-mata iktikad yang kukuh di dalam hati tetapi mesti dibuktikan dengan amalan yang zahir termasuklah amalan yang berkaitan dengan perlaksanaan hukum Allah yang terbukti keadilannya," katanya ketika membahaskan titah ucapan Raja Dr Nazrin Shah semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, kerajaan negeri hendaklah tegas memerangi semua ajaran yang jelas bercanggah dengan Islam sebagaimana fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri termasuklan amalan pembomohan yang mengandungi unsur-unsur khurafat, tahyul dan syirik.

Tegas beliau, amat tidak wajar apabila fatwa sudah dikeluarkan terhadap amalan pembomohan yang salah dan sesat, tiba-tiba ada pemimpin di negeri ini berdampingan dengan pengamal bahkan khidmatnya digunakan untuk tujuan tertentu./~harakahdaily

No comments:

Post a Comment

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG