oleh : shahbudin husin
Di sebalik serangan PKR terhadap kekayaan serta pemilikan bank di
beberapa negara luar, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin tidak
melihat semua itu sebagai halangan untuknya terus menegur kepimpinan
kerajaan dan pengurusan ekonomi negara yang disifatkannya lemah dan
tidak betul.
Sambil meminta mereka yang menuduhnya mempunyai kekayaan dan terlibat
dengan rasuah itu mengemukakan bukti serta menyifatkan Anwar Ibrahim
yang membangkitkan pelbagai dakwaan terhadapnya sebagai "kaki goreng",
Daim nampaknya lebih berminat untuk menegur kepimpinan Najib Razak dari
segi segi pengurusan ekonomi dan menjaga kepentingan orang-orang Melayu
daripada menjawab tuduhan-tuduhan yang dikatkan mengenai dirinya.
Dalam teguran terbarunya yang dilontarkan dalam sebuah program bual
bicara semalam, Daim berkata, kerajaan perlu segera mencari jalan
membangunkan ekonomi negara dan memajukan kehidupan orang-orang Melayu
serta memperbetulkan semula dasar ekonominya yang salah ketika ini.
Katanya lagi, dasar kerajaan sekarang bukan saja tidak memberi faedah
dan manfaat kepada rakyat, bahkan juga membebankan mereka dari segi
peningkatan pengurusan ekonomi seharian.
Beliau juga mengkritik Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
sebagai tidak pandai mengurus ekonomi kerana meningkatkan hutang
sehingga RM600 billion yang mengakibatkan belanjawan menjadi tinggi dan
rakyat menjadi mangsa.
Bagaimanapun kata bekas Menteri Kewangan itu, beliau bukanlah anti
kerajaan tetapi hanyalah anti kepada dasar kerajaan yang lompong dan
tidak betul. Dalam erti kata lain, Daim sebenarnya menzahirkan beliau
hanyalah anti kepada kepimpinan Najib yang tidak pandai, tidak betul dan
tidak bijak dalam mengurus kerajaan serta ekonomi.
Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan tidak boleh marah jika semakin ramai
rakyat berpihak dan menyokong Pakatan Rakyat sekarang ini.
Sejak pilihanraya umum lalu, ini merupakan teguran kali ketiga yang
dibuat oleh Daim terhadap Najib. Teguran pertamanya adalah berkaitan
beberapa dasar yang disifatkannya tidak betul seperti subsidi, tol,
kenaikan harga barang, ketidakcekapan menjawab isu, tidak bijak mengurus
perbelanjaan, terlalu bergantung kepada penasihat dan pelbagai lagi.
Teguran ini dibuatnya dalam satu majlis di Merbok, kawasan Parlimen yang
pernah diwakilinya suatu ketika dahulu.
Kemudian dalam satu wawancara dengan Kinibiz pula, beliau menyifatkan
kepimpinan Najib sebagai rapuh dan tidak tegas serta membayangkan jika
pilihanraya umum akan datang diadakan dalam keadaan seperti sekarang, ia
lebih memungkinkan BN menerima kekalahan serta kehilangan kuasanya di
peringkat Pusat.
Kini, tanpa menunggu lama dan tidak menghiraukan beban yang ditanggung
Najib seperti misteri kehilangan MH370, pertikaian mengenai GST dan
sebagainya, Daim memuntahkan lagi peluru serangannya terhadap Najib.
Mengapakah Daim terus bersuara?
Sebagai pemimpin veteran yang pernah membina ekonomi negara bersama-sama
dengan Mahathir sebelum ini, Daim tentunya dapat merasakan banyak
kepincangan ekonomi dan pengurusan negara sekarang ini. Seperti rakyat
biasa yang lain yang sudah banyak mengeluh mengenai banyak isu yang
melanda negara, Daim juga nampaknya tidak dapat menahan dirinya untuk
turut sama bersuara.
Hutang negara yang meningkat daripada lebih RM300 bilion ketika Najib
mengambil alih kerajaan pada 2009 tetapi meningkat sehingga RM600
biliion serta menghampairi paras 55 peratus KDNK adalah bukti yang jelas
tentang kelemahan, ketidakcekapan dan mungkin pembaziran yang melampau.
Kebimbangan Daim sebenarnya bukan saja berkaitan pengurusan negara,
terutama tentang kepentingan Melayu dan hal ehwal ekonomi tetapi yang
jauh lebih dibimbanginya ialah kekalahan BN dalam pilihanraya umum akan
datang. Sebab itu, kritikan beliau lebih ditujukan kepada Najib dan
bukannya kepada kerajaan. Daim hakikatnya masih mahu BN kekal sebagai
kerajaan tetapi menolak cara dan pendekatan oleh kepimpinan Perdana
Menteri yang ada sekarang.
Kritikan terbaru Daim ini bukan saja akan menggoncang lagi keyakinan
rakyat terhadap Najib, bahkan juga menyebabkan sokongan UMNO sendiri
jadi berbelah-bagi. Hanya setelah kira-kira 10 bulan selepas pilihanraya
umum lalu, Daim sudah membuat teguran terbuka sebanyak tiga kali dan
mungkin sudah bercakap dengan ratusan orang yang menemuinya mengenai
kepimpinan salah dan tidak betul oleh Najib.
Penulis sendiri pernah bertemu dan berbual-bual dengan Daim beberapa
bulan lalu dan ternampak begitu banyak yang tidak betul dan ditegurnya
mengenai kepimpinan Najib, ekonomi, barisan menteri, campurtangan
keluarga, peranan penasihat dan sebagainya.
Apa yang jelas, Daim adalah seorang yang kukuh dan bebas serta akan
terus memberikan tegurannya. Tegurannya mungkin lebih kerap dan lebih
keras. Berikutan hubungannya yang sangat akrab dengan Mahathir, tidak
mustahil mereka akan menjadi pasangan bergu yang silih berganti
melakukan serangan terhadap Najib dalam tempoh berbaki empat tahun lagi
menjelang pilihanraya umum akan datang.
Matlamat Daim dalam melakukan teguran mungkin sama ada Najib perlu
segera berubah dan membetulkan kesilapannya, berundur atau diundurkan
tetapi jika semua itu tidak mendatangkan hasil, kritikan dan tegurannya
mungkin juga memudahkan lagi kejatuhan BN dalam PRU 14 nanti. (SH
23/04/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Guru ditahan miliki ganja bernilai RM6,300
5 hours ago