KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan penerbangan MH370
milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi
menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa
penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan
rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang
dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.
Perdana
Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan
Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh
Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan
kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
"Kawasan
ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan.
Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan
bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan
Lautan Hindi," kata Najib.
Pesawat itu yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor
hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
Pada
Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa
objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.
Pihak
berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media hari ini untuk
menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu. - Bernama
Guru ditahan miliki ganja bernilai RM6,300
7 hours ago