Pasukan pentadbiran Najib lebih banyak dipenuhi oleh individu yang tidak cekap dan kurang upaya.
PETALING
JAYA: Blogger Shahbudin Husin (gambar) mendakwa misteri kehilangan
pesawat MH370 yang sudah memasuki hari keenam tanpa sebarang jawapan
kini sudah beransur-ansur bertukar menjadi tekanan terhadap kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Menurut beliau, pelbagai pihak sama ada dalam negara, mahu pun antarabangsa mulai melihat aspek kecelaruan, tiada kesepakatan dan saling tuduh-menuduh dalam proses mencari jawapan pesawat yang hilang itu.
“Sementara waris mangsa turut merungut kerana sejak hari pertama lagi tiada keselarasan dalam menyampaikan maklumat sehingga ada yang meluahkan kemarahan dengan membaling air kepada petugas MAS di Beijing,” tulis beliau dalam posting terbaru blognya www.shahbudindotcom.blogspot.com
Beliau yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju berkata walaupun pelbagai pihak daripada semua keturunan, agama dan kepercayaan tidak putus-putus mendoakan agar pesawat yang ditakrifkan hilang itu segera ditemui dan semua penumpangnya selamat, mereka juga sebenarnya ingin mendapatkan maklumat terkini yang pantas dan tepat.
Beliau mendakwa namun hari demi hari yang berlalu sebenarnya lebih membuktikan kita tidak cukup bersedia untuk menghadapi krisis dan bencana yang menimpa.
“Daripada pimpinan kerajaan, jabatan kerajaan dan ketua-ketua jabatan yang berkaitan terlihat seperti hilang punca dalam menangani dan menyalurkan maklumat mengenai insiden ini,” katanya lagi.
Shahbudin yang telah menulis tiga buah buku politik iaitu Najib PM Terakhir, Kesilapan-Kesilapan Najib dan Asalkan Bukan Najib berkata Datuk Seri Hishammuddin Hussein seharusnya bertanggungjawab penuh dalam menyeleras dan memastikan maklumat yang tepat disalurkan kepada pelbagai pihak, ternyata gagal berbuat demikian.
“Bloomberg secara terbuka mengkritik ketidakselarasan dan ketidakcekapan Malaysia dalam mengurus krisis yang digambarkan sebagai salah satu kelemahan kepimpinan Perdana Menteri kerana masih terbelenggu dengan kawalan ketat terhadap maklumat yang diamalkan kerajaan sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya lagi.
Katanya, di samping Bloomberg melaporkan kebimbangan China yang meminta Najib supaya lebih bersikap telus dalam menangani krisis yang menjadi perhatian dunia ini, peranan sepupunya, Hishammuddin dalam mengamalkan ketelusan dan tidak menjadikan usaha mengendalikan isu global seperti menguruskan isu politik domestik, nyata suatu gambaran yang memalukan negara.
“Kritikan itu tentunya bukan saja kerana peranan pemangku Menteri Pengangkutan yang tidak menyerlah sejak lima hari yang lalu dalam mengetuai operasi, tetapi juga penglibatan beberapa menteri lain yang menjadikan keadaan tambah serabut.,” katanya lagi.
Shahbudin mendakwa maklumat antara MAS, Jabatan Penerbangan Awam dan polis sering pula bercanggah antara satu sama lain.
“Dalam isu penumpang membeli tiket tetapi tidak menaiki kapalterbang dan isu pemilik pasport curi, jelas terlihat ada percanggahan memalukan antara jabatan ini,” katanya.
Jabatan Penerbangan Awam misalnya mengesahkan ada pembeli tiket yang tidak menaiki pesawat tetapi kemudiannya dinafikan oleh MAS dan polis.
Katanya, bomoh dan pawang yang membawa bubu dan tikar terbang juga terlihat menjalankan upacara peliknya di KLIA sambil mendakwa mengetahui di mana pesawat itu berada ketika ini.
“Sudahlah kelewatan dan ketidakselaran menyalurkan maklumat merupakan sesuatu yang memalukan negara di mata dunia, kemunculan bomoh ini menambahkan lagi malu yang ada,” katanya.
Katanya, daripada semua percanggahan, kecelaruan, ketidakcekapan dan kelambatan maklumat dalam krisis MH370 ini, ia secara perlahan-lahan mula menyerlahkan bahawa pasukan pentadbiran Najib lebih banyak dipenuhi oleh individu yang tidak cekap dan kurang upaya.
“Kebolehan mereka hanyalah membodek, mencium tangan dan menyerang parti-parti pembangkang,” dakwanya.
Beliau menambah lagi lambat MH370 ini ditemui, lebih banyak kelemahan yang selama ini tersembunyi akan terdedah kepada umum.
“Najib yang baru terselamat daripada tekanan dalam negeri berikutan kejayaan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, kini diburu tekanan yang tidak diduga berikutan kehilangan pesawat MH370 ini,” katanya.
Katanya lagi, tekanan terhadap keupayaan kerajaan yang sedang dipimpinnya kini mulai datang daripada banyak penjuru di dalam dan juga luar negara.
“Semakin lama kehilangan pesawat ini menjadi misteri antarabangsa, ia dipercayai semakin menggoncang kedudukan Najib,” tambahnya lagi.
Shahbudin berkata jika di Jepun atau beberapa negara lain, kejadian seperti ini pasti menyebabkan ada pemimpinnya yang berani memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan/FMT