.

Wednesday, 12 March 2014

MH370: PAS cadang PM sendiri ketuai operasi SAR

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 yang masih hilang.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kenyataan dan penjelasan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abd Rahman yang menjadi Pengarah Operasi SAR bagi pesawat MH370, dilihat bercelaru dan sangat kelam kabut.

Apatah lagi katanya isu kehilangan MH370 ini menjadikan Malaysia sedang dilihat oleh seluruh dunia.

Untuk tidak menambah kekeliruan dan menjaga nama baik Malaysia, beliau mencadangkan agar Najib sendiri mengepalai SAR ini.

"Setujukah menteri supaya Perdana Menteri sendiri yang lead (ketuai) operasi SAR agar sumber maklumat itu tepat dari mulut beliau?" soal Mujahid kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Isu kecelaruan dan percanggahan jawapan oleh Azharuddin terhadap beberapa isu berkaitan kehilangan pesawat MH370 menjadi perbualan banyak pihak termasuk di peringkat antarabangsa.

Ianya termasuk dakwaan kononnya dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu bukan dari kalangan orang Asia tapi Eropah dan terdapat lima penumpang yang sudah daftar masuk tapi tidak menaiki pesawat tersebut.

Malah dalam kes penumpang yang dikatakan mirip orang Eropah itu, Azharuddin pergi lebih spesifik apabila mengatakan salah seorang dari mereka kelihatan seperti pemain bolasepak AC Milan – Mario Barwuah Balotelli.

Walhal dari fotofit yang diedarkan polis semalam, kedua-duanya tidak langsung kelihatan seperti Mario malah salah seorang darinya dikenalpasti pula sebagai warga Iran.

Dalam isu lima penumpang yang mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat itu, MAS juga mengeluarkan kenyataan bahawa hanya empat orang yang tidak menaikinya.

Terdahulu, Mujahid dalam soalan beliau meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini kelengkapan kapal/bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara./~harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist