oleh: MSO
Benar kehilangan pesawat MH 370 yang sudah masuk hari kelima
boleh dianggap aneh dan ia mengegarkan dunia. Para pemimpin dan
ketua-ketua jabatan tertentu negara kita sendiri sudah pening dan
bingung memikirkannya. Setakat ini tidak ada apa-apa 'solusi' berhubung
kehilangan pesawat B777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal
itu.
Dari satu sudut kehilangan membingungkan semua orang itu telah membantu
usaha memperkenalkan negara ini di mata dunia. Kempen Tahun Melawat
Malaysia 2014, turut mendapat kesan kelabaan dari kejadian itu. Kenapa
tidak, dalam sekelip mata saja nama Malaysia menjadi pertuturan
negara-negara di seluruh dunia. Orang makin mengenali dan pandai
menyebut perkataan MALAYSIA dan nama Malaysia Airline System juga
menjadi butiran ratiban.
Tetapi sayangnya kehebatan nama negara kita dalam warna dan variasi yang
tidak begitu menyenangkan. Negara kita mendapat kesan langsung atas
tragedi itu. Kesan yang kita dapat ialah kesan negatif dan tidak berapa
elok untuk sesebuah negara. Reputasi pembangunan dan kemajuan negara
kita sedikit terjejas.
Dari beberapa aspek yang terkesan, ada dua aspek yang benar-benar dan
menjadi perhatian dunia. Pertama, sekiranya kehilangan itu disebabkan
perbuatan pengganas (rampasan), menyebabkan orang luar menyimpulkan
tahap keselamatan dan kawalan di lapangan terbang kita tidak begitu
ketat. Ia juga tidak profesional apabila terlolosnya orang-orang yang
disuspek berniat melakukan perbuatan jahat.
Realiti ini dikuatkan lagi dengan kenyataan atau maklumat ada dua orang
yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport palsu. Pengenalan dua
suspek yang dikatakan rakyat Iran menguatkan lagi persepsi buruk
berkenaan. Kerana ia didedahkan sendiri oleh pihak Interpol, menyebabkan
masyarakat luar tambah yakin kalau ada anggapan kawalan di lapangan
terbang kita lemah. Alasan dua passport itu tidak ada dalam senarai
Interpol tidak membantu untuk menolak kesangsian terhadap tahap kawalan
keselamatan di lapangan terbang kita.
Sebenarnya sama ada dua orang penumpang berkenaan yang dikenali dengan
nama Pouria Nour Muhammad Merdad dan Delavar Seyed Muhammad Reza masih
belum sahih apakah mereka menaiki pesawat berkenaan, dan apa lagi
bertanggungjawab dengan kehilangan itu. Jadi tanggapan buruk dan negatif
kepada keduanya yang membawa kesan buruk ke atas negara kita dan MAS,
tidak perlu diperbesar-besarkan atau 'gampang gelong' membuat kesimpulan
yang mereka adalah pengganas.
Kesan kedua ialah dari segi penyebaran dan maklumat berhubung kejadian
berkenaan yang diberi dari masa ke semasa. Apabila banyak sangat pihak
yang hendak bercakap memberi maklumat maka berlakulah suasana yang kelam
kabut dan tidak teratur. Akibat dari itu penyebaran maklumat yang palsu
menjadikan keadaan makin haru biru.
Dalam situasi kritikal seperti hari ini semua orang khasnya keluarga
mangsa terlibat sangat mendahagai maklumat. Maka kita memang memerlukan
maklumat yang pantas serta pengkronologian kejadian itu, tetapi ia perlu
dilakukan secara bersistematik dan tepat hingga tidak membedal balik
dengan perkara tidak sepatutnya.
Gara-gara kelemahan menguruskan maklumat mengundang padah. Tidak perlu
banyak pihak hendak mengambil bahagian dan diberikan ruang bercakap di
hadapan media. Ratusan wartawan yang ada di sidang akhbar kita tidak
kenal hati budi dan kulit perutnya, dan apakah tujuannya mereka membuat
liputan. Jadi maklumat yang akuret, tepat dan telah disahihkan dari
berbagai pihak sahaja perlu diberikan.
Apa yang berlaku dalam sidang akhbar semua pihak bercakap. MAS bercakap,
DCA bercakap, Polis bercakap, Imigresen bercakap, Pemangku Menteri
Pengangkutan bercakap, bahkan Menteri Pertanian dan Asas Tani yang tidak
ada kena mengena pun turut sama bercakap. Mulanya Shahidan Kassim juga
ikut sama memberi maklumat semasa. Tidak cukup dari itu Tentera yang
dianggap entiti terakhir harus bercakap, juga ikut bercakap sama.
Akibat ramai sangat mulut maka berlakulah ketumpahan maklumat
sehinggakan berbaur di antara yang palsu dengan yang benar, ilusi dan
realiti. Di sini berlakulah percanggahan yang tidak sepatutnya berlaku.
Percanggahan paling melucu dan 'menderhakakan' ialah diantara DCA dengan
Polis berhubung dengan status lima orang penumpang. Kata Pengarah DCA
Azharudin Abdul Rahman lima penumpang tidak naik ke pesawat dan bagasi
mereka dikeluarkan. Manakala kata KPN Khalid Abu Bakar pula, semua
penumpang yang tempah pesawat berkenaan semuanya naik kecuali soerang
yang terlepas kerana tersilap tarikh.
Percanggahan ini sesuatu yang tidak perlu berlaku dalam sidang akhbar
bertaraf dunia yang hanya berlaku bila ada kejadian sebesar kejadian
kehilangan pesawat itu sahaja. Apakah tidak ada penyelarasan di antara
mereka. Apakah pihak MAS tidak memberi maklumat tepat terperinchi kepada
DCA? Dan apakah perkara itu perlu dijelaskan oleh DCA yang tidak
bertanggungjawab terhadap urusan naik turun penumpang?
Apa pun mengenai lima penumpang itu sudah selesai bila Khalid
menjelaskan percanggahan itu dan selepas itu Azharuddin dirihatkan dari
memberi apa-apa kenyataan tidak muncul-muncul lagi.
Tetapi maklumat yang tidak tepat yang dipetik oleh media arus perdana Berita Harian
daripada Panglima Tentera Udara Rozali Daud konon menurut firasatnya
(radar TUDM) pesawat MH 370 berpatah balik sehingga usaha mencari dan
menyelamat terpaksa diperluas hingga ke Selat Melaka sesuatu yang sangat
buruk kepada negara dan sistem maklumat negara ini. Ia juga menjejaskan
TUDM itu sendiri.
Kenapa perkara ini boleh berlaku. Rozali menafikan yang beliau memberi penjelasan itu? Ertinya ia pandai-pandai Berita Harian
sahaja dalam mengejar skop. Betapa laporan dibuat itu mengacau bilaukan
pemikiran orang ramai. Iya lebih bahaya lagi apabila berita berkenaan
dipetik oleh agensi Reuter dimana ia disebarkan di seluruh dunia.
Kemudian laporan Reuter itu pula kita mengambilnya sebagai laporan yang
tepat dan betul.
Soal SOP atau etika ini bukan sahaja perlu dipersoalkan kepada Polis, Imigresen, MAS dan DCA, tetapi media khasnya Berita Harian juga. Wajar atas kesalahan itu mereka bertanggungjawab di Berita Harian
dihukum. Orang besar di Media Prima yang menaungi BH patut melakukan
hara kiri dan Selat Teberau. Kesalahan yang dibuat itu bukan saja
menjejaskan imej TUDM tetapi negara seluruhnya.
Sebagai sebuah akhbar yang besar yang bernaung di bawah Media Prima, Berita Harian
tidak harus tersilap melakukan kesalahan itu. Atau apakah kesilapan itu
sebagai hukum karma di atas kebiadapan akhbar berkenaan?
Seperkara lagi yang saya melihat agensi menimbulkan kacau bilau
berhubung kejadian ini yang menjadi racun ialah saluran televisyen yang
berebut-rebut membuat siaran langsung atau mengadakan slot khas
melaporkan misi pencarian dan penyelamatan (SAR) ini untuk mendapat
ranting penonton teramai. Mereka juga tidak adil memberi khidmat dan
tidak cuba membawa mesej perpaduan dalam siaran mereka. Dalam saat
negara berada dalam suasana 'darurat' dan kacau bilau minda ini mereka
masih terus dengan sikap kolot dan kejamnya berlaku diskriminasi dalam
memberi ruang.
Saya tidak tenguk media mengambil pendapat dan pandangan daripada pihak
pembangkang. Tidak ada tokoh-tokoh pembangkang yang ditanya atau diminta
pandangan. Semua golongan dan profesyen diberikan ruang melemparkan
pandangan mereka hatta ianya bertaraf sampah. Dari pakar penerbangan,
(aviation) keselamatan, pakar psykologi, tukang masak, pramugari, pilot
hatta artis diminta pandangan. Sikap terus melaku mengasingkan
pembangkang inilah satu sikap tidak profesional yang tidak wajar
diamalkan oleh media massa yang berfilsofi pembentuk pemikiran massa
rakyat.
Apakah pembangkang tidak boleh berkongsi kesusahan dengan rakyat dan
rugikah kerajaan kalau mereka turut menyatakan simpati dan komitmen
mereka? Kalau institusi media yang dianggap sebagai institusi yang adil
dan saksama, makenisme rakyat yang utama, terus bermain politik dalam
hal-hal kritikal begini, apa lagi diharap kepada institusi lain yang
selalu menafikan hak pembangkang.
Saya percaya kalau media massa bersikap adil dan terbuka dengan turut
sama memberi ruang untuk pembangkang memberi pandangan, beban berat
negara kini dapat dikongsi dengan lebih ramai lagi. Dengan menggelapkan
wajah dan suara mereka, menjadikan orang akan menganggap media Malaysia
khasnya eletronik hanya media propagandis semata-mata. Jadi apa-apa
juga maklumat termasuk mengenai kehilangan pesawat MH 370 itu akan
diragui dan disangsi kerana sifat media itu awal-awal lagi sudah diragu.
Wajarlah kalau negara luar mengecam kelemahan kita dalam menyediakan
maklumat dan melaporkan perkembangan kehilangan pesawat berkenaan
sehingga ia memberi beban kepada jutaan manusia. [wm.kl.12:34 pm 12/03/14]
- http://msomelayu.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG