oleh : Shahbudin husin
Sebagaimana yang dijangka sebelum ini, lagi lama misteri kehilangan
pesawat MH370 berlarutan, lagi berat tekanan yang akan dihadapi oleh
Perdana Menteri, Najib Razak. Ini kerana seluruh dunia sedang memberi
tumpuan tentang bagaimana kerajaan menyelesaikan krisis tersebut yang
sudah berlangsung selama hampir seminggu tanpa sebarang petunjuk
positif.
Jika di awal bermulanya tragedi ini, kerajaan dipertikai kerana sering
memberikan maklumat yang tidak telus dan tidak tepat dan beberapa agensi
kerajaan yang berkaitan dengan penerbangan dan keselamatan pula saling
bercanggah dalam memberi maklumat, keadaan kini bertambah buruk dengan
imej Najib mula dipertikai dan diperlekeh di peringkat antarabangsa.
Ketika episod pesawat hilang ini juga, terdedah pelbagai kelemahan
kerajaan seperti pintu masuk negara yang mudah dibolosi walau dengan
pasport curi, ketiadaan persiapan menghadapi krisis dan lebih buruk lagi
ia turut menyerlahkan sikap pimpinan politik dan kerajaan yang turut
tidak berwibawa dengan bukan saja memberi maklumat tidak tepat,
bercanggah dengan anak buah sendiri serta menempelak kakitangan agensi
di bawah kementerian sendiri tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.
Sementara pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjalankan
tugasnya dan melebarkan lagi lingkungan pencarian, kehadiran seorang
bomoh silat yang bernama Ibrahim Mat Zain melakukan upacara ritual di
KLIA kononnya untuk membantu mencari pesawat yang hilang itu, bukan saja
mengundang kritikan dalam negara, bahkan juga melebar sehingga ke
peringkat antarabangsa.
Dengan ritual pertama menggunakan teropong buluh dan bubu manakala
ritual kedua pula menggunakan tikar terbang dan buah kelapa serta
mendakwa dijemput untuk melakukan ucapaca itu oleh seorang VIP, Najib
segera dikritik oleh media Arab sebagai mengamalkan ilmu sihir untuk
mencari pesawat yang hilang itu.
Di Barat pula, pengguna media sosialnya melabelkan Najib sebagai
pemimpin yang tiada otak serta memalukan rakyat Malaysia kerana
membenarkan upacara yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan
kemajuan manusia itu diadakan sebanyak dua kali di KLIA tanpa sebarang
halangan.
Di Parlimen pula, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut menyelar
kehadiran bomoh beserta amalan syirik dan berlawanan dengan ajaran agama
itu serta menuntut kerajaan menjelaskan, siapakah yang membenarkan dan
membayar untuk bomoh tersebut menjalankan kerjanya.
Walaupun beberapa pemimpin kerajaan seperti Shahidan Kassim dan Khairy
Jamaluddin menafikan penglibatan kerajaan dalam menaja bomoh tersebut
tetapi yang menimbulkan persoalan ialah bagaimana kerajaan yang
mempunyai pelbagai agensi penguatkuasaan dan beribu-ribu anggota, tetapi
tiada satu pun yang berani menyentuh raja bomoh itu sehingga ini.
Ia seolah-olah ada benarnya pengakuannya sebelum ini bahawa kehadirannya
itu adalah atas jemputan seorang VIP yang mempercayai kebolehan dan
kemampuan ilmu perbomohannya.
Tindakan raja bomoh ini, jika berdasarkan cemuhan di peringkat
antarabangsa dan media Arab, jelas sudah memalu serta mengaibkan Najib
dan kerajaan. Najib akan dipandang buruk di peringkat antarabangsa
selepas ini dan kehadirannya di mata dunia seolah-olah sudah tercabut
wibawanya. Bagaimana Najib mahu berhadapan dengan pemimpin dunia selepas
ini?
Dengan media Arab pula menuduh Najib mengamalkan ilmu sihir,
bagaimanakah negara mahu berhadapan dengan pemimpin dan masyarakat Teluk
itu sedangkan sebelum ini mereka begitu menyanjung amalan dan
perkembangan Islam kita.
Tetapi mengapa masih tiada tindakan diambil? Kenapa juga tiada laporan polis dibuat terhadap raja bomoh itu?
Jika dalam isu kangkung misalnya, begitu ramai yang tampil membuat
laporan polis terhadap individu tertentu yang dianggap memalukan Perdana
Menteri, kenapa pula dalam isu raja bomoh ini semua berdiam diri
sedangkan aib yang dilakukannya kepada Najib meluas sehingga ke seluruh
dunia?
Kenapa pihak polis dan Jakim tidak menangkap saja raja bomoh itu? Kalau
sebelum ini mereka yang terlibat dengan syiah dan anti hadis juga gagal
ditangkap, walaupun ada menteri yang bercakap berdegar-degar
mengenainya, kegagalan bertindak terhadap raja bomoh yang jelas
melakukan perbuatan syirik lagi sesat ini, jelas merupakan satu lagi
episod yang memalukan negara.
Dalam hal ini, kerajaan yang dipimpin Najib langsung tidak diyakini
untuk bertindak terhadap perkara yang kecil sekali pun tetapi jelas
sesatnya kepada masyarakat. Selagi raja bomoh yang bernama Ibrahim Mat
Zain ini tidak ditangkap atau tidak diambil tindakan, selagi itulah
masyarakat mempercayai bahawa pihak kerajaan di belakangnya sambil
negara dan pemimpin kita akan terus ditertawakan oleh dunia. (SH
14/03/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG