Oleh: Shahbudin Husin
Pilihanraya kecil DUN Kajang sudah pun diketahui keputusannya.
Sebagaimana yang dijangka, calon PKR, Dr Wan Azizah wan Ismail berjaya
memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Chew Mei Fun dengan
majoriti 5,397 undi berbanding 6,824 undi yang diperolehi oleh calon PKR
dalam PRU 13 lalu, Lee Chin Cheh.
Kekurangan majoriti undi ini walaupun agak mengejutkan tetapi dapat
difahami berikutan peratusan yang turun mengundi kali ini agak
berkurangan iaitu hanya 72 peratus berbanding 88.4 peratus dalam
pilihanraya umum lalu. Kekurangan peratusan ini mungkin disebabkan
pengundi agak kecewa kerana Anwar Ibrahim tidak bertanding, selain turut
menjangka Wan Azizah tidak banyak masalah untuk memenangi kerusi itu.
Lagi pula, apalah penting sangat dengan berkurangnya majoriti itu kerana
sepertimana yang selalu disebutkan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir
Mohamad, menang dengan kelebihan satu undi pun tetap dikira menang
juga. Yang penting ialah menang, bukan berapa banyak majoriti!
Selepas Anwar "dikejangkan" daripada bertanding di Kajang dengan
keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun
keatasnya, BN melakukan banyak usaha untuk memenangi pilihanraya ini.
Selain Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri, Noh Omar selaku
Pengerusi UMNO Selangor dan ramai pemimpin lagi yang turun berkempen di
Kajang, Mahathir juga turut berkempen di saat-saat akhir.
Melihat asakan BN yang semakin kuat berikutan telah berjaya menggagalkan
hasrat Anwar menjadi calon, Lim Kit Siang telah mengutus surat terbuka
kepada pengundi Kajang agar memberikan sokongan penuh kepada Wan Azizah
sebagai tanda keyakinan bahawa Presiden PKR itu bakal menjadi Perdana
Menteri wanita pertama negara ini.
Keyakinan Lim Kit Siang ialah bersandarkan hujah bahawa sekiranya PR
memenangi pilihanraya akan datang sementara Anwar pula direhatkan
dipenjara, maka sudah tentu pilihan untuk menjadi Perdana Menteri ialah
Wan Azizah.
Sementara Mahathir menyindir slogan kempen Wan Azizah yang bertulis Dari
Kajang ke Putrajaya dengan mengatakan cakon PKR itu tersesat jalan
kerana sebenarnya pilihanraya kecil ini hanya untuk memilih wakil di DUN
Selangor dan tiada kaitan dengan Putrajaya, Zahid Hamidi yang pernah
menjadi "budak Anwar" pula berkata, jangan bermimpi di siang hari untuk
menjadikan Wan Azizah Perdana Menteri wanita pertama.
Tidak layakkah Wan Azizah jadi Perdana Menteri?
Selepas kemenangannya diumumkan, walaupun Wan Azizah berkata, semua
orang berpotensi menjadi Perdana Menteri tetapi sokongan yang diberikan
oleh pengundi Kajang terhadapnya membuktikan mereka tidak sesat
perkiraan dalam membuat keputusan. Pengundi Kajang telah menghantar
mesej yang jelas bahawa mereka mahukan perubahan dan ini seharusnya
menjadi ikutan pengundi seluruh negara dalam PRU 14 nanti.
Menukar parti dan menukar Perdana Menteri adalah lumrah dalam politik.
Untuk Wan Azizah menjadi Perdana Menteri bukan saja tidak mustahil jika
PR berjaya mendapat majoriti kerusi dalam pilihanraya umum akan datang,
tetapi juga kerana sumbangan dan ketabahannya dalam perjuangan reformasi
sejak 1998 lagi.
Tidak ada wanita yang setabah dah sesabar beliau di negara ini dalam
mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran. Dari suami diaibkan, dipukul,
dipenjara, difitnah, dimalukan dan bermacam-macam lagi cabaran yang
dihadapkan kepadanya, di sebalik wajah lembut dan tudung yang menutup
rambutnya, sebenarnya terselit jiwa tabah dan kental yang mungkin tidak
sanggup dilalui oleh ramai wanita lain.
Berdasarkan cabaran dan pengorbanan yang telah dilaluinya, Wan Azizah
amat layak untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Anwar hilang
kelayakan dan bakal menghuni bilik penjara sekali lagi. Tetapi yang
penting, PR haruslah memastikan mereka memperolehi majoriti kerusi dalam
PRU 14 nanti.
Lagi pula dalam dunia moden ini sudah ramai wanita yang menjadi Perdana
Menteri. Di Britain, Margaret Thatcer pernah menjadi Perdana Menteri. Di
Pakistan, Benazir Ali Bhutto juga pernah menjadi Perdana Menteri. Di
Bangladesh, Perdana Menterinya sekarang, Sheikh Hasina adalah wanita.
Beberapa tahun sebelum itu, Khaleda Zia, juga seorang wanita pernah
menjadi Perdana Menteri Bangladesh.
Di negara jiran kita pula, Indonesia, Filipina dan Thailand pernah
menaikkan wanita sebagai Presiden atau Perdana Menteri iaitu Megawati
Sukarno, Gloria Arroyo dan Yingluck Sinawatra.
Beberapa negara Barat juga sekarang ini sedang dipimpin oleh kaum
wanita. Jadi, apa yang peliknya kalau giliran Malaysia pula menerima
wanita sebagai Perdana Menteri?
Jangan terlalu angkuh dan takbur seolah-olah perkara itu mustahil
berlaku. Bukankah sejarah itu sentiasa mencipta sesuatu yang baru?
Mungkin dengan Anwar dipenjarakan, ia sebenarnya membuka ruang untuk
tercipta suatu sejarah baru untuk negara kita yang sudah ditentukan
Tuhan begitu kehendakNya. Siapa tahu Kajang adalah laluan ke arah itu.
Lagi pula, daripada memiliki seorang Perdana Menteri lelaki tetapi
dikuasai oleh wanita juga, lebih baiklah kali ini diberikan kepada
wanita yang benar-benar sejati wanitanya. (SH 23/03/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/