.

Saturday, 22 March 2014

10,000 sertai Reformasi 2, 'Kajang Move' diteruskan

KAJANG: Perhimpunan Reformasi 2.0 menyaksikan hampir 10,000 penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Stadium Kajang malam tadi.

Lebih 23 orang pimpinan Pakatan Rakyat daripada PAS, PKR dan DAP tampil di atas pentas memberi ucapan berapi-api membidas kezaliman kerajaan Umno BN terhadap rakyat.

Orang ramai mula membanjiri Stadium Kajang seawal jam 8.00 malam menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas di semua arah.

Walaupun masa yang diperuntukan hanya tiga minit bagi setiap pimpinan berucap namun masing-masing memberi ucapan singkat tetapi padat.

Antara pimpinan yang tampil di pentas dua Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang digadingkan dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng.

Manakala Penasihat DAP Lim Kit Siang bergandingan dengan Ahli Parlimen Puchong Gobin Singh Deo bagi menggantikan bapanya Karpal Singh yang keuzuran.

Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat digandingkan dengan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar digandingkan bersama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Penampilan Ahli Parlimen Kepong Tan Seng Giaw yang jarang dilihat lantang tetapi malam tadi beliau tidak kurang hebatnya menyampaikan ucapan penuh semangat.

Turut bersama memberi ucapan  Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ketua PKR Sabah Datuk Lajim Ukin, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Sharif Omar.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan oleh Pengarah Program Tian Chua Sebagai 'ikon untuk perubahan dan semangat berjuang'.

Beliau yang naik ke pentas dengan berbaju hitam terus mendapatkan tepukan gemuruh hadirin yang turut melaungkan 'reformasi' memberi gambaran beliau masih seorang pemimpin yang disegani.

Anwar menamatkan ucapannya 20 minit itu, dengan berkata beliau tetap mempertahankan 'Kajang Move' kerana ia akan membuka jalan untuk Pakatan mengambil alih Putrajaya tidak kira apa yang berlaku kepadanya.

Beliau kemudian melaungkan 'Reformasi', sebelum hadirin bersurai kira- kira jam 12.04 malam.

Calon N25 Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut naik pentas dan menggesa penduduk Kajang mengundi beliau dan memberi keadilan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu jam 11.20, spotlight stadium dimatikan masing-masing hadirin menyalakan lampu telefon dan pemetik api sambil menyanyikan lagu nasyid 'Teman Sejati' yang cukup memberi makna bahawa Pakatan Rakyat masih utuh bersatu./~harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist