Oleh : Shahbudin Husin
Sudah dua kali bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bersuara
mengkritik kepimpinan Najib secara terbuka di tahun 2014 ini. Kali
pertama ketika berucap di suatu majlis di Merbok, kawasan Parlimen yang
pernah diwakilinya pada pertengahan Januari lalu, Daim mengkritik
beberapa dasar tidak betul kerajaan seperti subsidi, tol, kenaikan harga
barang, menteri tidak pandai menjawab isu, Najib tidak bijak mengurus
perbelanjaan, terlalu bergantung kepada penasihat dan berbagai lagi.
Selain melabelkan Najib sebagai Perdana Menteri yang lemah, Daim juga
membayangkan jika pilihanraya akan datang diadakan dalam situasi seperti
ini, ia lebih mengundang kemungkinan BN tewas dan hilang kuasa di
peringkat pusat.
Namun, belum pun sempat kritikan beliau itu dibahas dan diperbualkan
dengan lebih meluas, ia kemudian tenggelam dengan isu pilihanraya kecil
DUN Kajang dan strategi Anwar Ibrahim mahu menjadi MB Selangor yang
tiba-tiba muncul.
Sebelum ini, Daim dan Mahathir dilihat sudah pun memulakan langkah
mengkritik beberapa dasar dan pendekatan Najib atas kebimbangan bahawa
kelemahan Najib yang berterusan itu akan membahayakan kedudukan UMNO dan
BN dalam pilihanraya 2018 nanti.
Kritikan Mahathir dan Daim mengenai pelbagai kelemahan Najib, walaupun
belum lagi menjurus secara khusus untuk menggantinya dengan pemimpin
lain tetapi secara umumnya telah mendapat respon yang positif daripada
golongan konservatif yang rata-rata turut bersetuju bahawa peluang BN
dalam PRU 14 nanti hanya mungkin lebih baik kiranya Najib sedia berundur
atau diundurkan.
Pengakuan mengenai pelbagai kelemahan Najib dan kedudukannya yang mula
dilihat sebagai liabiliti berikutan terlalu banyak isu yang gagal
diselesaikan, kini sudah mulai merebak di peringkat yang lebih meluas ke
seluruh negara.
Kritikan dan serangan terhadap pelbagai kelemahannya hanya reda seketika
ketika ini berikutan pilihanraya kecil Kajang yang menjadikan semua
orang memikirkan kepentingan parti, mahu melihat BN menang dan
menumpukan serangan terhadap Anwar.
Sebaik keputusan Kajang diketahui yang mana Anwar diramalkan tidak
mungkin ditewaskan oleh BN, kritikan terhadap Najib diramalkan akan
memuncak kembali. Sepertimana yang diketahui, dengan Anwar selepas ini
berjawatan MB Selangor manakala Najib kekal tidak berubah serta berlumut
dengan masalah, kedudukan BN menjadi lebih bahaya lagi.
Bagaimanapun Daim nampaknya tidak menunggu sehingga keputusan
pilihanraya Kajang diketahui untuk meneruskan kritikannya terhadap
Najib. Dalam wawancaranya dengan Kinibiz, Daim meneruskan kritikannya
dengan menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang rapuh dan kurang tegas.
Beliau juga dilihat cuba menyampaikan mesej yang jelas kepada Najib
dengan berkata, sementara rakyat masih selesa dengan kerajaan tetapi
secara majoritinya, luahan yang kedengaran di peringkat bawahan ialah
seperti masih banyak yang tidak betul di mana-mana serta perlu
diperbetulkan dengan segera.
Kritikan terbaru Daim ini dengan jelas menunjukkan bahawa sesuatu perlu
dilakukan tanpa menunggu keputusan Kajang. Kritikan yang dilakukan
ketika bahang kempen baru saja bermula boleh juga digambarkan sebagai
isyarat bahawa jika beliau berdiam diri dan tidak mengkritik Najib pun,
BN tetap mustahil untuk mencapai kemenangan.
Oleh itu, sementara kekalahan BN sudah dijangka, Daim seperti ingin
mengukuhkan lagi keyakinan umum bahawa kelemahan Najib adalah sesuatu
yang sukar diperbaiki, meskipun sudah banyak kali diperingatkan
mengenainya.
Kritikan dan mendedahkan secara berterusan mengenai kelemahan Najib
dalam mengurus negara dan membayangkan potensi kekalahan dalam PRU 14
secara tidak langsung akan mendorong ahli UMNO khususnya agar lebih
menyayangi parti dan masa depannya berbanding batang tubuh presidennya.
Sekiranya semangat sayangkan parti melebihi presiden itu dapat meresap
dengan lebih mendalam lagi, menggantikan Najib bukanlah suatu masalah
lagi kerana mengekalkan pemimpin yang sudah menjadi liabiliti adalah
malapetaka kepada parti. Ini nyata berbeza dengah pendekatan Najib sejak
sekian lama yang cuba menebalkan sokongan ahli parti serta rakyat
terhadap kepimpinannya lebih kepada aspek peribadi, malah cara gerak
kempennya dalam PRU 13 lalu yang mirip pemilihan Presiden Amerika adalah
jelas ke arah matlamat itu.
Meskipun Najib masih mendapat sokongan daripada majoriti Ketua-Ketua
UMNO Bahagian tetapi kepimpinannya yang rapuh yang dijelmakan antaranya
melalui kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang kian meninggi,
turut menyebabkan kerapuhan sokongan rakyat. Dalam masa sama kebimbangan
bahawa BN akan hilang kuasa ketika teraju kepimpinan ditangannya juga
kian meningkat sekarang ini.
Oleh itu, meskipun ternampak sukar tetapi jika perasaan sayangkan parti
dan ketakutan BN hilang kuasa berjaya ditebalkan serta bagaimana
seharusnya kerajaan berperanan menjaga rakyat, menggantikan Najib
sebelum PRU 14 dan bagi mengelakkan BN kehilangan kuasa akan menjadi
suatu keperluan yang tidak perlu ditangguhkan lagi.
Melalui pelbagai kritikannya, Daim terlihat sedang berusaha ke arah itu. (SH 26/02/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Berang kena kacau, warga asing korek mata lelaki tempatan
59 minutes ago