skip to main |
skip to sidebar
Jimat cermat: Najib ‘dikangkungkan’ adiknya pula
Najib Dikangkungkan Lagi, Kali Ini Adiknya Sendiri Mengingatkannya Tentang Jimat-Cermat
Oleh: Shahbudin Husin
Selepas Najib Rasak melalui episod yang memalukan dan menjadi bahan
persendaan sehingga ke peringkat antarabangsa berkaitan penurunan harga
sayur kangkung, di waktu yang sama beliau juga menerima tamparan apabila
adiknya, Nazir Razak yang merupakan CEO CIMB Bank, telah menulis satu
rencana untuk memperingati pemergian ayahnya, Allahyarham Tun Razak
tetapi turut mengandungi beberapa peringatan yang ditujukan kepada
abangnya yang sedang memimpin negara ketika ini.
Dalam rencana yang ditulis sempena 38 tahun pemergian Tun Razak, selain
beliau menceritakan tentang ayahnya yang banyak berjasa kepada bangsa
dan negara, Nazir juga menceritakan tentang sikap jimat cermatnya dalam
mengurus wang negara di mana akan memastikan beliau mengeluarkan wang
daripada poketnya sendiri untuk ahli keluarga yang ikut serta ketika ke
luar negara.
Tidak itu saja, diceritakan juga bagaimana ketika Tun Razak mendapat
rawatan kali terakhirnya di London, beliau tidak membenarkan isterinya,
Tun Rahah ikut sama berikutan kekurangan biaya serta kebimbangan tentang
masalah kewangan yang mungkin timbul setelah pemergiannya nanti. Tun
Rahah hanya dibenarkan ke London tidak lama selepas itu, itu pun selepas
kabinet mempertimbangkan kewajarannya untuk bersama-sama dengan Tun
Razak yang sedang menerima rawatan penyakit leukimia yang sedang
dihadapinya.
Nazir juga turut bercerita tentang permintaannya bersama adik-beradiknya
yang lain agar dibina kolam renang di kediaman rasmi Perdana Menteri
ketika itu iaitu Seri Taman tetapi telah ditolak oleh ayahnya kerana
tidak mahu wang rakyat dibelanjakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan
keluarganya sendiri.
Walaupun tulisan Nazir ini adalah ditujukan untuk memperingati bapanya,
tetapi apabila beliau menulis sama tentang sikap jimat-cermat dan
penggunaan wang rakyat yang ketat untuk ahli keluarga, tidak dapat
tidak, beliau sebenarnya sedang menujukan juga tulisannya itu kepada
abangnya, Najib Razak, kakak iparnya, Rosmah Mansor serta anak-anak
Perdana Menteri.
Ini berikutan Najib ketika ini sedang dipertikaikan daripada segenap
sudut mengenai kemewahan, pemborosan, penggunaan wang rakyat sesuka hati
dan mudah tunduk kepada kehendak ahli keluarganya dalam mengurus negara
sehingga bukan saja menyebabkan bertambah suburnya kebencian rakyat,
malah menyebabkan hutang negara terus menimbun.
Nazir yang tetap mempunyai hubungan mesra dengan Najib tetapi difahamkan
tidak mempunyai hubungan baik dengan Rosmah Mansor, mungkin tidak
mempunyai cara untuk memberi nasihat dan pandangan kepada abangnya
supaya dalam menyanjung jasa Tun Razak, apa yang seharusnya diteladani
ialah mengikuti juga segala sikap baik, berjimat cermat dan berhemah
ayah mereka dalam mengurus wang rakyat.
Oleh itu, sempena 38 tahun pemergian bapanya, Nazir telah menggunakan
peluang tersebut bukan saja untuk memperingatI pemergian bapanya, tetapi
secara tidak langsung memberi pesanan kepada abangnya yang ketika ini
sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut dalam menguruskan negara.
Jika seorang abang menegur dan memberi nasihat kepada seorang adik
mungkin boleh dianggap sebagai perkara biasa tetapi apabila seorang adik
bongsu mengambil keputusan memberi nasihat kepada abang sulungnya, ini
menandakan pada penilaian Nazir, kepimpinan abangnya sudah berada di
tahap teruk dan kronik serta perlu diperingatkan.
Selain rakyat sudah banyak kali mempertikaikan tentang sikap boros dan
mewah Najib sekeluarga walaupun sudah banyak kali didedahkan, malahan
bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga juga menasihatkan kerajaan
agar menjimatkan kos dan bukannya menaikkan harga barang, namun semua
itu tidak pernah diambil peduli oleh Najib.
Dalam hal ini, Nazir mungkin masih mempunyai simpati kepada abangnya,
lalu mengambil peluang untuk turut memberi nasihat secara tidak
langsung. Tentunya tidak ada maksud lain apabila Nazir memperkatakan
tentang sikap jimat cermat dan belanjawan berhemah Tun Razak melainkan
untuk memperingati abangnya kerana Najiblah yang sedang memimpin negara
ketika ini.
Lagi pula, sebelum ini Nazir tidak pernah menulis apa-apa rencana
tentang Tun Razak walaupun beliau juga berpeluang berbuat demikian pada
tahun lalu atau tahun-tahun sebelumnya untuk berbuat demikian. Beliau
memilih tahun ini untuk menulis tentulah ada kaitan dengan kepimpinan
Najib yang boros dan sedang dipertikaikan oleh hampir semua lapisan
rakyat.
Walaupun tindakan Nazir ini seperti mengangkungkan abangnya sendiri yang
sudah cukup sarat dengan pelbagai kecaman, cacian, dijadikan bahan
jenaka dan sebagainya, hakikatnya Nazir telah bersikap wajar dan turut
bersikap pro rakyat dalam hal ehwal yang melibatkan penggunaan wang
negara.
Atas keberanian dan kewarasannya, rakyat Malaysia harus memberi sekalung
tahniah kepada Nazir Razak yang ternyaa lebih memahami prinsip
perjungan Tun Razak berbanding abangnya, Najib. (SH 15/01/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/