Oleh : shahbudin husin
Sementara
kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri sedang dipertikai dan
diasak agar segera berundur bagi mengelakkan BN menerima kekalahan dalam
PRU 14 nanti, Anwar Ibrahim nyata telah mengambil langkah yang jauh
lebih ke depan dengan kemungkinan besar menjadikan dirinya sebagai
Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Khalid Ibrahim.
Sejak akhbar The Star mendedahkan kemungkinan Khalid Ibrahim meletakkan
jawatan pada Rabu ini bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim memgambil
tempatnya, atmosfera politik negara agak kalut seketika dengan
perbincangan pro dan kontra mengenai perkara itu. Walaupun Anwar dan
Khalid masing-masing menafikan perkara itu dan menganggapnya hanya
khabar angin semata-mata tetapi dengan keluarnya berita perletakan
jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menjelang jam 5.00 petang, semakin
ramai yang meyakini perletakan itu adalah semata-mata untuk memberi
laluan Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dan seterusnya menjadi MB
Selangor.
Dengan kemenangan besar Lee dalam pilihanraya umum lalu iaitu majoriti
6,824 undi, jika Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil yang mesti
diadakan dalam tempoh 60 hari, tentulah tiada masalah besar untuk beliau
mencipta kemenangan di kawasan itu. Lebih-lebih lagi dengan keyakinan
bahawa Anwar bakal menjadi MB Selangor, tidak mustahil kemenangan yang
lebih besar mampu dicapainya.
Langkah Anwar mengambil alih jawatan MB Selangor ini tidak diragui lagi
adalah langkah bijaknya dalam menyelesaikan krisis di Selangor yang
melibatkan antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Dengan Anwar menjadi
MB Selangor, ia adalah jalan tengah yang mendamaikan antara kedua-dua
kumpulan itu sehingga pilihanraya akan datang dan Khalid serta Azmin
juga tentunya tiada halangan terhadapnya.
Tidak dinafikan bahawa krisis Khalid dengan Azmin, jika dibiarkan
berlarutan bukan saja boleh menjejaskan peluang PR mengekalkan
kemenangan di Selangor dalam pilihanraya umum akan datang, bahkan tidak
mustahil selepas pilihanraya umum akan datang jumlah kerusi kemenangan
PKR makin berkurangan dan ini tentunya memberi lebih peluang kepada ADUN
Pas pula untuk menduduki kerusi MB Selangor.
Namun dengan Anwar menjadi MB Selangor, tidak saja ketegangan kumpulan
Khalid dan Azmin dapat diredakan, malah juga menyebabkab tiada lagi
keributan dalam Pakatan Rakyat dalam penentuan jawatan MB Selangor
selepas ini. Seperti yang diakui, Pas dan DAP tentunya akan memberi
sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dalam perhitungan ini.
Dalam masa yang sama, dengan melonjakkan isu beliau bakal mengisi
jawatan MB Selangor, isu perceraian Nurul Izzah yang cuba
dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk memberi gambaran buruk
terhadap imej anaknya, dengan sendirinya telah menemui jalan matinya.
Selepas ini, semua orang hanya akan memperkatakan tentang Anwar saja dan
melupakan Nurul Izzah.
Dengan menjadi MB Selangor selama empat tahun menjelang pilihanraya umum
akan datang, kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat secara realitinya akan
bertambah kukuh lagi di mata rakyat jika beliau berjaya mentadbir negeri
itu dengan jayanya dalam tempoh tersebut.
Dengan pengalaman sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor dan
kedudukan rizab Selangor yang kukuh iaitu hampir RM3 bilion serta
Selangor sendiri sebagai negeri yang paling maju, Anwar rasanya tidak
menghadapi banyak masalah untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan
kejutan untuk negeri itu. Jika itu dapat dilakukan, kedudukan sebagai MB
Selangor akan menjadi laluan lebih selesa menuju Putrajaya.
Dalam masa yang sama, selain kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat akan
bertambah kukuh menuju laluan ke Putrajaya setelah menjadi MB Selangor
nanti, Noh Omar juga bolehlah melupakan hasratnya untuk menawan negeri
itu dalam pilihanraya umum nanti dan sebaiknya mulai merangka surat
persaraannya daripada arena politik.
Yang paling menarik dengan Anwar menjadi MB Selangor ini ialah berkenaan
kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri. Sementara beliau sedang
dipertikaikan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga barang, kos
sara hidup, kalimah Allah dan sebagainya, dalam masa yang sama tekanan
supaya beliau berundur juga semakin kuat kedengaran.
Beberapa blogger pro UMNO dan Mahathir seperti Outsyed The Box, Apanama,
Unspinners dan Kadir Jasin sedang mempertingkatkan tekanan agar Najib
berundur dan memberi bayangan bahawa BN akan tewas jika beliau terus
kekal sebagai PM. Terbaru pula, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin
sudah mula mengkritik Najib secara terbuka dengan menggariskan beberapa
kelemahannya serta turut meramalkan BN akan tumbang jika pilihanraya
diadakan dalam suasana seperti sekarang ini.
Terdapat juga maklumat yang mengatakan dalam beberapa perjumpaan dengan
kumpulan tertentu, Mahathir juga turut mengkritik Najib secara agak
lantang dan tanpa segan silu. Maklumat lain pula menyebut, seiring
dengan pendirian Mahathir bersetuju dengan pandangan Daim, bekas PM itu
juga dikatakan sudah tidak lagi memberi sokongannya kepada Najib.
Bersama dengan tekanan dan asakan yang semakin kuat itu, bertambah
kukuhnya kedudukan Anwar dengan menjadi MB Selangor pula, tidak dapat
tidak, kedudukan Najib pastinya kian terhimpit. Dengan menjadi Ketua
Pembangkang dan kuasa sebagai MB Selangor dalam masa yang sama, aura
Anwar dan kestabilan Pakatan Rakyat dalam menghadapi BN dalam PRU 14
juga turut meningkat.
Ini akan menjadikan tekanan daripada dalam UMNO terhadap Najib turut
meningkat. Menunggu Najib berubah, menjadi lebih tegas dan menyelesaikan
semua isu berbangkit, mungkin hanya tindakan membuang masa. Tindakan
terbaik pastinya memaksa beliau berundur dan digantikan dengan pemimpin
lain.
Hanya dengan pengunduran Najib dalam kadar yang lebih segera mungkin
memberi sedikit peluang kepada BN dalam pilihanraya umum nanti. (SH
27/01/2014)
by
Shahbudin Husin