Sudah menjadi kebiasaan, bahkan tanggungjawab, kepada ahli politik untuk
menerima undangan NGO ke sesebuah acara, menyerahkan cek besar, memberi
ucapan ringkas atau bergambar sambil menggunting reben pelancaran.
Tetapi
kontroversi melibatkan tiga pemimpin kanan BN baru-baru ini yang hadir
dalam majlis yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap menimbulkan
persoalan sama ada ahli politik patut lebih berhati-hati menerima
undangan.
Pada Isnin, laporan polis dibuat ekoran penyebaran
sepucuk surat di Internet, mendakwa tiga pemimpin BN terlibat dalam
majlis "Geng 36" melibatkan 6,000 peserta di Seri Kembangan, Selangor
pada 3 Disember lalu.
Laporan itu dibuat oleh anggota NGO bergelar Tamilar Action Force S Muralis. Malaysiakini kemudiannya difahamkan bahawa beliau juga timbalan ketua cabang PKR Puchong.
Dua pemimpin yang dinamakan daripada MIC, iaitu Dr S Subramaniam (timbalan presiden) dan T Mohan (ketua Pemuda).
Seorang lagi nama pemimpin Umno tidak disebut buat masa ini sementara menunggu ulasan daripadanya.
Tiada rekod pendaftaran
Pada
Isnin, Mohan mengaku hadir ke acara itu tetapi menjelaskan tidak tahu
menahu sama ada ia berkaitan kumpulan kongsi gelap. Sebaliknya, beliau
mendapat tahu ia dianjurkan oleh "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang".
Pada
hari berikutnya, Subramaniam juga mengesahkan kehadirannya dan mengaku
tidak tahu banyak mengenai penganjur melainkan ia sebuah badan
berdaftar.
Bagaimanapun, katanya, beliau melihat laptop diedarkan
kepada kanak-kanak dan wang diberikan kepada golongan miskin dalam
majlis itu.
Semakan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Selangor
dan di ibu pejabatnya di Putrajaya mendapati tiada rekod pendaftaran
untuk "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang".
Nama terdekat ditemui,
"Kelab Rekreasi Kajang Selangor Baru" yang didaftarkan pada 1999.
Bagaimanapun rekod pendaftarannya tidak lengkap dan tanpa nombor telefon
untuk dihubungi.
Seorang pegawai The Mines, tempat majlis itu
diadakan, yang enggan namanya disebut berkata, terdapat kumpulan
dikenali sebagai "Kelab Rekeasi Kajang" menempah sebuah dewan untuk
acara "majlis makan malam Deepavali".
'Saya urus, mereka bayar pada hotel'
Ini
menjadi bertambah pelik apabila pada tahun lepas Deepavali sudah
disambut lebih sebulan daripada tarikh tempatan itu, iaitu 26 Oktober.
Sebagai
tambahan, pegawai itu juga berkata, untuk mengundang 6,000 tetamu, tiga
dewan diperlukan dengan kos sebanyak RM100,000 - jumlah yang besar
untuk sebuah "kelab rekreasi".
Pegawai itu tidak dapat memberikan maklumat perhubungan penganjur tetapi memperkenalkan Malaysiakini kepada seorang lelaki dikenali sebagai "Mr Parthiban" daripada syarikat pengurusan acara "Extreme Zone"
Ketika dihubungi, "Mr Parthiban" mengesakan bahawa acara itu dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kajang dan disertai ribuan orang.
Katanya, ini kali pertama beliau bekerja dengan kumpulan itu dan tidak dapat memberikan nombor telefon untuk dihubungi.
Ditanya berhubung dakwaan acara itu mempunyai kaitan dengan pertubuhan kongsi gelap, Parthiban berkata:
"Saya
tidak rasa begitu. Semua orang pakai pakaian tradisional India. Saya
uruskan tempat dan makanan. Mereka bayar terus pada hotel. Saya tidak
tahu selain daripada itu," tambahnya./~malaysiakini
Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP
4 hours ago