JAWATAN Menteri Dalam Negeri benar-benar membawa untung lumayan buat
Ahmad Zahid Hamidi. Berbanding jawatan Menteri Pertahanan yang
membuatnya hampir tenggelam dan kurang menonjol, Ahmad Zahid sebaliknya
menuai publisiti hampir setiap hari melalui jawatan yang disandangnya
sekarang.
Daripada penentangannya terhadap pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan
Darurat, peningkatan kejadian jenayah, kekurangan anggota polis,
jangkaannya mengenai rangkaian jenayah bekas pesalah Ordinan Darurat,
cabarannya kepada Waythamoorthy dan sehinggalah kepada tindakannya mahu
mendedahkan senarai nama-nama kongsi gelap, semuanya mengundang sorotan
publisiti di pelbagai media massa.
Malah, ketika memberitahu secara bergurau bahawa kumpulan samseng turut
datang ke rumah terbukanya dan meminta wang perlindungan pun turut
dijadikan berita besar.
Pendeknya, apa sahaja yang keluar dari mulut Ahmad Zahid sekarang pasti merupakan bahan yang boleh diolah menjadi berita.
Semua publisiti yang melimpah ini secara automatiknya menjadikan Ahmad Zahid paling popular.
Di mata perwakilan Umno pula, beliau dianggap sebagai menteri yang
sedang membuat kerja dengan betul dan dilihat lebih baik daripada
Menteri Dalam Negeri sebelumnya iaitu Hishammuddin Hussein.
Secara kasarnya, dalam pemilihan Umno 19 Oktober ini Ahmad Zahid
ternampak tiada masalah untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden
nombor satu yang diraihnya dalam pemilihan 2009 lalu.
Sehingga ini, selain Ahmad Zahid yang sudah mengumumkan akan
mempertahankan jawatannya, dua lagi Naib Presiden Umno iaitu
Hishammuddin dan Shafie Apdal turut mengumumkan akan mempertahankan
jawatan masing-masing.
Pemimpin lain yang sudah mengumumkan akan menyertai persaingan ialah
Isa Samad, Pengerusi Felda manakala Ketua Menteri Sabah, Musa Aman,
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Menteri Melaka,
Ali Rustam dijangka akan turut menyertai perebutan kerusi Naib Presiden
dan akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi.
Ini menjadikan sekurang-kurangnya tujuh orang akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden Umno kali ini.
Walaupun Ahmad Zahid terlihat paling popular berbanding lain-lain
pesaingnya manakala wajah serta berita mengenainya juga muncul hampir
setiap hari di akhbar dan tv, peluang beliau tidaklah semudah yang
dijangka, apatah lagi untuk mendapatkan kemenangan bergaya dengan
memperolehi undi tertinggi.
Sosek-sosek dalam UMNO mulai kedengaran bahawa Zahid seolah-olah
sengaja menonjol-nonjolkan diri untuk kepentingan pemilihan Umno. Beliau
dilihat sengaja bersuara mengenai Akta Hasutan dan Ordinan Darurat
sekarang sedangkan ketika Najib mengusulkan mahu memansuhkannya dulu,
tidak pula suaranya kedengaran.
Bahkan ketika Najib mengatakan bahawa cadangan memansuhkan kedua-dua
akta itu mendapat persetujuan Kabinet, pendirian Ahmad Zahid yang
sebenarnya turut menjadi tanda-tanya.
Apatah lagi dengan adanya seruan pelbagai pihak, termasuk Mahathir agar
pemimpin muda diberi peluang dalam pemilihan Umno kali ini bagi
menghadapi PRU14, sentimen ini seolah-olah kekangan buat Ahmad Zahid.
Saranan agar lebih ramai pemimpin muda atau pelapis ditonjolkan nyata
memberi kelebihan kepada Hishammuddin dan Mukhriz untuk mengungguli
jawatan tersebut manakala Ahmad Zahid dianggap bukan lagi sebagai
pelapis untuk tempoh lima tahun akan datang memandangkan beliau lebih
berusia daripada Najib dan hanya muda sedikit daripada Muhyiddin.
Hishammuddin walaupun dianggap lemah tetapi beliau ada pengaruhnya yang
tersendiri dalam Umno, selain kedudukannya sebagai sepupu Najib dan
anak bekas Perdana Menteri serta usianya yang lebih muda turut memberi
kelebihan buatnya.
Mukhriz juga sedang meniti pupolariti berikutan kejayaan BN menawan
semula Kedah dan pengaruh bapanya, Mahathir yang masih kukuh pastinya
memberi kelebihan jika beliau bertanding kerusi nombor tiga dalam Umno
itu.
Malah ada yang beranggapan apabila Mahathir memperkatakan perlunya Umno
memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda menonjolkan diri,
maksud tersiratnya ialah untuk menaikkan anaknya, Mukhriz di kedudukan
yang lebih kukuh dalam Umno.
Penyertaan Ali Rustam dan Isa Samad turut menjejaskan peluang Ahmad
Zahid. Walaupun kedua-dua pemimpin ini juga sudah berusia tetapi
penyertaan mereka boleh menjadi "kacau daun" dan membuatkan ada yang
mengundi kedua-dua calon ini kerana simpati.
Ali Rustam pernah dihalang daripada bertanding jawatan Timbalan
Presiden Umno pada 2009 atas dakwaan salah laku ketika berkempen,
meskipun peluangnya untuk menang ketika itu amat cerah.
Dalam pemilihan kali ini setelah kalah di Bukit Katil dan mungkin
dilantik Senator serta diberikan jawatan di peringkat Pusat, bertanding
jawatan Naib Presiden Umno akan memberi kelebihan kepada Ali Rustam
kerana gabungan undi simpati dan penyokong setia yang sedia wujud akan
lebih berpihak kepadanya.
Kelebihan Ali juga kerana sikap ramah mesra, suka membantu dan jarang
menghampakan jemputan yang diterimanya walaupun yang menjemputnya hanya
sekadar ahli Umno biasa saja.
Jika dulu ramai yang kecewa kerana tidak berpeluang menobatkan Ali
Rustam sebagai Timbalan Presiden Umno, penyertaannya dalam perebutan
kerusi Naib Presiden kali ini akan membuatkan hasrat yang tidak
kesampaian dulu bertukar menjadi undi yang melimpah-ruah.
Dalam musim rumah terbuka yang sedang berjalan sekarang, Ali Rustam
nyata sedang menggunakan kesempatan yang ada untuk hadir sebanyak
mungkin jemputan yang diterimanya di seluruh pelusuk negara. Dengan
tidak terikat sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau mempunyai luang
masa yang banyak untuk memenuhi semua jemputan dan menemui perwakilan
Umno.
Isa Samad juga boleh menggugat peluang Ahmad Zahid. Kedudukannya
sebagai Pengerusi Felda yang mana Felda mempunyai penempatan di lebih 50
bahagian Umno di seluruh negara, walaupun bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan dilihat sukar menang tetapi "kacau daunnya" akan menyusahkan
calon-calon lain.
Penyertaan Musa Aman pula dilihat hanya akan menjejaskan peluang Shafie
Apdal kerana sehingga ini majoriti pemimpin Umno Sabah menyokongnya dan
ini secara langsung akan menipiskan lagi peluang Shafie Apdal
mengekalkan jawatannya.
Dengan sentimen Umno yang mahu mewujudkan pelapis dan memberi peluang
kepada orang muda dalam pemilihan tahun ini, Hishammuddin dan Mukhriz
dijangka paling selamat untuk memenangi dua jawatan Naib Presiden Umno
kali ini manakala Ahmad Zahid, Shafie Apdal, Ali Rustam, Isa Samad dan
Musa Aman akan bersaing sesama sendiri untuk merebut satu lagi
kekosongan yang tinggal.
Jika diukur dari segi populariti dan publisiti, Ahmad Zahid ternampak
menonjol tetapi jika undi simpati menguasai jiwa perwakilan Umno,
mungkin Ali Rustam berupaya menonjolkan diri dan mengenepikan
calon-calon yang lain.
Dipetik dari blog http://shahbudindotcom.blogspot.com/