Ramai pemimpin,
penulis, penganalisa politik dan pelbagai lagi pertubuhan sehari dua ini
bercakap mengenai kegagalan Najib dalam 100 hari pertama sejak
memenangi pilihan raya lalu. PAS menyebut isu harga barangan yang
melambung naik, tahap keselamatan membimbangkan dan hutang negara yang
kini sudah mencapai tahap 68 peratus daripada KDNK negara, jika diambil
kira hutang tanggungan ‘off-budget agencies’ negara.
Memang benar. Jika dipandang dari satu sudut negara kita daripada
segi teknikalnya adalah sebuah negara yang di ambang kebankrapan. Sama
ada ada pihak yang membenci pandangan ini, tidaklah menjadi hal kepada
saya dan sesiapa yang sama seperti saya. Setelah memenangi pilihan raya
sekali lagi pada 5 Mei lalu, Najib diintai segala perkembangan yang
berlaku dalam 100 hari pertama pentadbiran beliau selepas mendapat
mandat baru, walaupun dengan mandat lebih kecil.
Bagi saya adalah tidak adil untuk mengadili Najib hanya dalam 100
hari sahaja. Mana mungkin Najib boleh membuat dan menunjukkan prestasi
dalam 100 hari. Najib diberikan beberapa tahun untuk menunjukkan
kecekapannya mentadbir negara, tetapi tidak ada apa yang boleh
dibanggakan selain berbelanja wang rakyat dengan begitu ‘lavish’
sekali.
Bagi pandangan saya jika di berikan masa 100 bulan atau 100 tahun
sekali pun, keadaan negara kita akan bertambah buruk. Ia bukan kerana
negara kita miskin atau negara kita sebuah negara yang buruk. Ia
disebabkan pimpinan negara yang buruk dan kelakuan dan sikap kerajaan
yang buruk serta kerana sikap ahli Umno yang selalu memberikan sokonagn
kepada manusia bersikap buruk untuk menjadikan negara kita sebuah negara
buruk.
Apabila semua ahli Umno selama ini memilih pimpinan yang mempunyai
niat dan matlamat buruk maka buruklah hasilnya. Tetapi kebanyakan antara
ahli dan pimpinan Umno tidak tahu mana satu baik dan mana yang buruk.
Pimpinan Umno hari ini bukannya tidak mahu berbuat baik. Mereka kepingin
sangat untuk melakukan kebaikan untuk rakyat. Masalah yang mereka
hadapi, mereka tidak tahu mana buruk, mana baik.
Kenapa perkara seperti ini berlaku? Jawapannya ialah kerana
kebanyakan pemimpin yang naik tangga kepimpinan itu naik melalui jalan
buruk dan kotor. Kebanyakan pemimpin menaiki tangga kepimpinan Umno
tergolong daripada mereka yang menumpukan tenaga dan pemikiran untuk
menjadi ‘social climbers’ semata-mata, bukan untuk menawarkan tenaga dan
usaha mereka untuk memimpin negara dan rakyat ke arah kemajuan.
Apabila parti sarat dengan ‘social climbers’, parti itu akan dipenuhi
dengan mereka yang melakukan cara apa sekali pun untuk menjadi
pemimpin, waima melalui pembayaran undi dan pembelian perasaan yang
memilih. Itu sebabnya kita melihat dalam Umno terlihat pemimpin yang
menawarkan diri kebanyakannya mereka yang tidak berkeyakinan untuk
menang tanpa membeli undi. Maka terbentuklah budaya perwakilan atau
‘warlords’ dalam Umno yang diyakini boleh membawa undi menjadi
perwakilan ‘premium’ dan mendapat jumlah wang banyak. Kesempatan dalam
pemilihan ini diperguna perwakilan untuk mencari punca ‘rezeki’ melalui
pemimpin bercita-cita tinggi tetapi tidak mempunyai kepimpinan.
Budaya ini adalah salah satu penyebab kenapa 100 hari pertama Najib
selepas pilihan raya tidak berlaku apa-apa yang beliau janjikan kepada
rakyat. Najib, pertamanya sudah tidak mampu untuk berfikir dengan tenang
lagi kerana kedudukannya dalam Umno sebagai Presiden pun bukannya
stabil sangat. Najib sedar yang di belakang beliau sudah ada gerakan
untuk menjatuhkan beliau.
Ada pemimpin besar sama ada yang bersara dan belum bersara sedang
berkempen dalam perjumpaan tertutup untuk mempengaruhi kedudukan Najib.
Dalam pada itu ada desas desus mengatakan Najib mengambil langkah untuk
menyambung nyawa politiknya dengan berunding dengan musuh dan seteru
nombor satu beliau, Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Anwar pun sama, tidak berbunyi pun suaranya akhir-akhir ini dan tidak
seperti sebelum pilihan raya lalu.
Jika perkara yang dispekulasikan ini benar, belum tahu lagi siapa
yang mengelentung dan siapa yang kena kelentung. Anwar dikatakan akan
menjadi Timbalan Perdana Menteri satu dan yang Timbalan sekarang akan
menjadi Timbalan kedua. Entahkan benar atau tidak berita ini tidak pula
saya dapat pastikan. Itu sebabnya sama ada seseorang itu pemimpin besar
BN atau Pakatan, mereka sama sahaja. Apabila mendapat peluang mereka
akan lakukan dan mereka yang berpecah-pecah di bawah ini adalah cerita
remeh bagi mereka.
Umno sekarang ditambah pula dengan didikan baru oleh Dr Mahathir
seperti yang saya sebut dalam posting lalu. Umno itu benar parti yang
tidak baik pada pandangan Dr Mahathir kerana rasuah dan salah laku
pimpinan yang nyata. Tetapi orang Melayu mesti juga menyokong Umno.
Orang Melayu khususnya ahli Umno sangat keliru sekarang ini.
Satu pihak ada agama yang dibawa oleh Nabi Mohamad supaya memerangi
rasuah dan salah laku kepimpinan. Di sebelah sini pula ada pemimpin
seperti Dr Mahathir menyeru ahli Umno jangan kisah dengan rasuah asalkan
Umno itu kekal berkuasa untuk menjamin keselamatan rakyat dan orang
Melayu. Kalau mengikut seruan Dr Mahathir orang Melayu walau ditindas
oleh Umno, mereka (orang Melayu) mesti sokong Umno. Parti itu sahaja
yang boleh menjamin masa depan mereka, kata Mahathir.
Justeru orang Melayu sengaja dikelirukan oleh pimpinan supaya tidak
berdaya memilih dengan betul untuk kepentingan mereka yang berkuasa dan
hampir dengan kuasa. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu berbuat apa-apa
untuk menghidupkan kembali maruah orang Melayu.
Nabi Muhammad kata buat begini, Mahathir Mohamad pula kata buat
begitu. Rakyat keliru dan terus dikelirukan. Pemutusnya buatlah apa yang
masing-masing suka, tepuk dada tanyalah selera.
Pilihlah satu antara dua ajaran dan seruan yang ada di hadapan
mereka. Mereka boleh memilih Nabi Muhamad (saw) atau Mahathir Mohamad
(Tun). Saya seorang yang jahil segala-galanya tetapi saya memilih untuk
berusaha mengikut seruan Muhamad (saw).
Seorang yang beragama dan bertuhan akan akur bahawa tiada pilihan
selain dari memilih seruan dan anjuran Muhamad (saw). –
aspanaliasnet.blogspot.com