Oleh: Shahbudin Husin
Beberapa hari selepas kemenangan tipis BN dalam pilihanraya umum 5 Mei
lalu, terdedah suatu skandal yang melibatkan beberapa nama yang rapat
dengan Najib yang didakwa mengaut keuntungan atas angin lebih RM80 juta
berkaitan urusan pencetakan manifesto pilihanraya BN.
Pendedahkan skandal itu menggambarkan bahawa di ketika UMNO, BN dan para
pemimpinnya sedang bergelut antara hidup dan mati untuk memenangi
pilihanraya, rupa-rupanya ada segelintir mereka yang diamanahkan sedikit
kuasa telah bertindak rakus mengambil "kesempatan dalam kesempitan"
semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing.
Isu itu mula timbul apabila seorang yang menamakan dirinya "Hamba Allah
Yang Prihatin Dan Anti Rasuah" telah menulis surat kepada Ketua
Pesuruhjaya SPRM, meminta agar suatu siasatan dapat dilakukan terhadap
syarikat di mana beliau bekerja iaitu Zeal Hitech Solution Sdn Bhd yang
dikatakan mendapat pembekalan mencetak manifesto pilihanraya untuk BN
yang berjumlah 7 juta unit.
Pengadu mendakwa, pada mulanya kontrak itu diarahkan oleh Najib untuk
diberikan kepada Utusan tetapi melalui permainan orang-orang tertntu di
ibu pejabat UMNO serta di sekeliling Najib, kontrak itu kemudiannya
diberikan kepada Zeal Hitech Solution Sdn Bhd.
Beliau mendakwa, perencanaan untuk mengalihkan kontrak yang pada mulanya
diberikan kepada Utusan ke Zeal Hitech Solution Sdn Bhd itu didalangi
oleh beberapa nama yang rapat dengan Najib, antaranya Ketua War Room
UMNO, Alies Nor, Setiausaha Kerja UNNO, Raof Jusoh, dua penasihat media
Najib, Farid Ridzwan, Khalid Mohd serta beberapa nama yang lain.
Apa yang diketahui pengadu, setelah kontrak itu diberikan kepada
syarikat terbabit, urusan pencetakan manisfesto itu diserahkan juga
kepada Utusan. Namun, pengadu yang mendawa diarahkan oleh Zeal Hitech
Solution Sdn Bhd untuk membuat tuntutan pembayaran mendapati, kos
pencetakan kepada Utusan hanyalah RM1.17 seunit sedangkan syarikatnya
membuat tuntutan kepada UMNO pada kadar RM12.83 seunit.
Pengadu juga mendakwanya, Zeal Hitech Solution Sdn Bhd juga bukanlah
sebuah syarikat percetakan atau penerbitan dan tidak mempunyai sebarang
lesen percetakan daripada Kementerian Dalam Negeri.
Menyedari bahawa kemungkinan terdapat kecurangan dalam urusniaga itu dan
adanya pihak yang mengaut keuntungan atas angin lebih RM80 juta
daripadanya, pengadu telah menulis surat kepada SPRM meminta agar suatu
siasatan dapat dibuat untuk merungkai segala salah laku yang mungkin
wujud di sebaliknya.
Namun sehingga ini, setelah hampir tiga bulan selepas pilihanraya umum
berlalu, khabar berita mengenai perkembangan siasatan kes itu oleh SPRM
masih tidak diketahui statusnya. Sama ada kes itu sedang disiasat, telah
disiasat, akan disiasat atau sebenarnya sudah dibakulsampahkan, tiada
siapa yang tahu.
Namun keresahan ahli-ahli UMNO yang mengetahui tentang perkara itu,
mereka sering bercakap mengenainya dan akhirnya cenderung menyalahkan
kelemahan Perdana Menteri kerana membiarkan orang-orang di sekelilingnya
mengkhianati perjuangan UMNO semata-mata kerana wang dan kemudian
seperti melindungi mereka yang terbabit pula.
Ini berikutan ramai yang menyedari bahawa mereka yang terbabit dan
disebut namanya dalam aduan kepada SPRM itu masih berada bersama Najib
dan UMNO serta sering dilihat kemunculannya dalam majlis-majlis berbuka
puasa bersama Perdana Menteri sepanjang Ramadan ini.
Keadaan ini tentunya memeranjatkan kerana sebelum ini banyak blog dan
laman sosial mendedahkan mengenai perkara itu sambil ada diantaranya
yang mendakwa, beberapa nama yang disebut itu juga bergaya mewah ke
sana-sini memandu Porsche, Lamborghini, memiliki kondo mewah di
tengah-tengah ibukota serta mengubahsuai rumah dengan kos yang tinggi.
Bahkan, penerima Anugerah Wartawan Negara, A Kadir Jasin juga pernah menulis mengenainya dalam blog beliau.
Bagi kebanyakan ahli UMNO, mereka mahu perkara ini disiasat dengan telus
dan berdasarkan fakta serta sekurang-kurangnya menjelang Perhimpunan
Agung UMNO hujung tahun ini, ada jawapan mengenainya.
Bagi mereka ini, mustahil Najib yang begitu meminati dunia internet dan
laman sosial serta menggalakkan rakyat menggunakan media itu untuk
berhubung, langsung tidak mengetahui mengenai apa yang dipercakapkan
oleh kebanyakan rakyat dan ahli UMNO mengenai kecurangan orang-orang
yang rapat dengannya.
Keengganan atau kelambatan Najib mengambil tindakan bukan saja memberi
erti seolah-olah beliau merestui perbuatan salah mereka itu, bahkan
menambahkan lagi siri kebencian dan pertikaian terhadap kepimpinannya
yang dianggap lemah, lembik serta tidak tegas.
Kegagalan SPRM bertindak juga mengundang persoalan. Jika dalam kes-kes
yang melibatkan "ikan bilis" mereka didapati begitu pantas bertindak
tetapi dalam kes yang diadukan oleh Hamba Allah Yang Prihatin Dan Anti
Rasuah dan melibatkan orang-orang kepercayaan Najib ini, SPRM didapati
seperti membisu seribu bahawa sedangkan segala fakta mengenai apa yang
didakwa, sudah cukup jelas dan mencukupi untuk memulakan siasatan.
Pengadu telah menyebut mengenai kes ini dengan jelas, nama-nama yang
didakwa terbabit, syarikat yang terlibat dan jumlah penyelewengan atau
penipuan yang dilakukan terhadap UMNO. Semuanya telah lengkap.
Ia hanya terpulang kepada SPRM sama ada mereka mahu bertindak atau tidak. (SH 30/07/2013)
-http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Polis: Dua remaja hilang di Puchong malam tadi
8 minutes ago