AHLI Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, ribuan laporan
polis berhubung penyelewengan pilihan raya umum ke-13 telah dibuat di
seluruh negara sebagai persediaan untuk memfailkan petisyen di mahkamah.
"Saya
difahamkan laporan polis berkenaan penyelewengan pilihan raya di
seluruh negara telah mencecah beberapa ribu," katanya kepada
Keadilandaily.
Beliau berkata, KEADILAN turut
dibantu puluhan sukarelawan yang terdiri daripada profesional antaranya
peguam, auditor dan akauntan.
"Kita masih dalam
proses mengumpul bahan bukti oleh saudara Wong Chen (ahli parlimen
Kelana Jaya). KEADILAN juga sedang mendapatkan nasihat undang-undang,"
tambahnya yang juga Naib Presiden KEADILAN.
Sivarasa
memaklumkan, beliau sendiri akan mengetuai laporan polis oleh anggota
KEADILAN Cabang Subang melibatkan kawasannya di IPD Subang Jaya esok.
Terdahulu,
pengarah strategi KEADILAN, Rafizi Ramli yang mengetuai pasukan 'Siasat
PRU 13′ mendedahkan pelbagai penyelewengan pilihan raya oleh Suruhan
Jaya Pilihan Raya (SPR).
Antara penyelewengan
yang berlaku ialah dakwat yang tidak kekal, kejadian lampu padam di
Pusat Pengiraan Undi, kertas undi didalam peti melebihi undi yang
dikeluarkan, pengundian berulang dan warga asing yang dibenarkan
mengundi pada pilihan raya umum yang lalu.
Terbaru,
Rafizi mendedahkan kewujudan pengundi hantu apabila borang 10A
dikeluarkan pegawai SPR, mengesahkan pengundi dinafikan hak kerana ada
orang lain telah mengundi bagi dirinya.
Dalam
pada itu Sivarasa berkata, KEADILAN akan turut memfokuskkan kepada isu
persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangkakan dibuat
sebelum akhir tahun ini.
Perkara ini pernah
dibangkitkan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam
ucapannya di program 'Suara Rakyat 505′ bahawa persempadanan semula
melalui penggabungan atau pemisahan kawasan parlimen akan memberi
kelebihan kepada Umno-BN.
Sumber: http://www.keadilandaily.com/?p=52845