JOHOR BAHRU - Pembangkang menaruh keyakinan akan dapat menumbangkan kerajaan BN termasuk menerusi cadangan memfailkan petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi parti pemerintah.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, jika usaha itu berjaya, kerajaan BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya.
"BN sekarang ada 133 kerusi Parlimen. Sekiranya daripada petisyen yang kita akan buat, kita berjaya dapat 22 kerusi, yang akan tinggal pada BN hanya 111 kerusi. Ini bermakna kita akan dapat majoriti dan jadi kerajaan," katanya di sini, semalam.
Kit Siang berkata, mengambil kira undi popular, PR sudah dapat 51 peratus berbanding BN yang hanya dapat 47 peratus.
"BN dapat sokongan minoriti daripada undi popular," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai petisyen yang akan dikemukakan, Kit Siang berkata, DAP sudah melantik Gobind Singh Deo untuk mengetuai jawatankuasa yang akan meneliti perkara itu.
"Kita tunggu keputusan PRU13 diwartakan, selepas itu dalam tempoh 21 hari, kita boleh buat petisyen. Kita jangka boleh kemuka petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN," katanya.
Ditanya mengenai cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan supaya 89 calon PR yang memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu tidak angkat sumpah kerana menolak keputusan PRU13, Kit Siang berkata: "Tidak perlu hirau cabaran ini. Kita tak perlu jawab apa-apa cabaran." -sinarharian