Umno menyingkirkan seramai 61 orang anggotanya, termasuk timbalan
ketua sayap Wanita Datuk Kamilia Ibrahim dan penyanyi pop 80-an Herman
Tino, atas kesalahan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya
umum 5 Mei.
Lidah parti berkenaan, Umno Online menyebut, individu
yang dipecat itu tidak akan diterima semula ke dalam Umno untuk
selama-lamanya.
Laporan organ tersebut memetik kenyataan
pengerusi jawatankuasa khas lembaga disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad
Rithauddeen yang berkata, keputusan itu dibuat mengikut fasal 201.10
perlembagaan parti itu.
“Surat-surat pemecatan keahlian yang
telah ditandatangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas
Lembaga Disiplin telah dihantar pada hari ini juga untuk dimaklumkan
secara rasmi kepada mereka yang terlibat,” katanya seperti dipetik laman
berkenaan.
Kamilia menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad
Khairil Anuar Wan Ahmad dan juga calon PAS, Idham Lim dalam pertandingan
untuk merebut kerusi Kuala Kangsar.
Herman, atau nama sebenarnya
Masrun Tamsir pula menentang ketua bahagiannya Datuk Seri Noh Omar yang
mewakili kerusi Tanjong Karang selama empat penggal sejak 1995.
Seorang
lagi pencabar di kerusi tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua PAS
Tanjong Karang, yang juga bekas guru, Mohamad Rashdi Deraman, 49.
Selain
itu, Umno turut menyingkirkan bekas timbalan menteri pertanian Datuk
Seri Mohd Shariff Omar, yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor.
Ketua pemuda Umno Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang bertanding kerusi Parlimen Sepang juga disingkirkan.
Selain
itu, Umno juga akan memanggil anggotanya yang menjadi pencadang dan
penyokong calon terbabit, serta individu yang gagal menyerahkan borang
pencalonan selepas diberi tanggungjawab untuk bertanding.
Tindakan itu diambil mengikut fasal 20.9 perlembagaan parti berkenaan menurut laporan Bernama.
Jumlah
61 orang anggota Umno itu merupakan lebih 20 peratus daripada sejumlah
270 orang calon bebas dalam pilihan raya kali ini – jumlah yang dianggap
paling besar dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Sejumlah besar
dari Umno itu tetap bertanding sebagai calon bebas walau diberi amaran
berkali-kali oleh pucuk pimpinan parti sejak perhimpunan agung parti itu
berlangsung akhir tahun lalu./malaysiakini