PUTRAJAYA
- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Barisan Nasional
(BN) akan dikuburkan selama-lamanya pada 5 Mei ini dengan kerajaan baru
dibentuk pada keesokan hari.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dengan angin
kebangkitan rakyat negara ini yang mahukan perubahan dalam atmosfera
politik akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai peneraju kepimpinan
negara dan menolak kerajaan sekarang.
“(Pada) 5 Mei rakyat akan mengundi, keyakinan saya mereka memilih kerajaan yang berlandaskan syariat Islam.
“6 Mei seluruh negara akan merayakannya dengan tertubuhnya negara Islam
sebenar. Gelombang Islam akan hapuskan nilai-nilai sekular,” katanya
ketika menyampai ceramah perdana bertajuk ‘Pas For All’ di sini malam
tadi.
Hadir sama, calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam
Musa; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pesuruhjaya Pas
Wilayah Persekutuan, Md Nor Mohd; Yang Dipertua Pas Putrajaya, Nazir
Zakaria dan calon Pas Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.
Dalam perkembangan sama menurutnya, PR akan menerapkan konsep cara hidup Islam sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan.
“Islam datang dari ALLAH SWT, kita (manusia) hanya menumpang di dunia
ALLAH. Tibalah masanya kita amalkan sebuah negara mengikut acuan seperti
yang disyariatkan.
“Saya yakin Putrajaya ini bakal dirampas
dan kita bersama-sama menobatkan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Parlimen
Pas di sini,” katanya.
Sementara itu, di Pentas Treler Negara
Berkebajikan yang sama, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata,
sekiranya BN terus memerintah negara fitnah akan menjadi santapan rakyat
setiap hari.
“Sebelum menjelang tarikh 5 Mei, Umno-BN telah rencanakan 1,001 fitnah jahat sebagai momokan pilihan raya.
“Terkini blogger Milo Suam mendedahkan proses undi awal penjawat awam
tidak seperti dijadualkan berlangsung pada 30 April telah didakwa tetapi
Papagomo yang memihak kepada mereka dibiarkan bertanding sebagai calon
bebas di Permatang Pauh,” katanya.
Mengulas perkara sama Nurul
Izzah berkata, tanpa Pemantau Pilihan Raya (Paca) tidak mustahil BN akan
merampas keputusan pilihan raya.
“Diingatkan undi setiap rakyat adalah penting untuk masa depan negara kerana pilihan raya kali ini terpenting buat kita.
“Kita perlu kuat menahan fitnah dan tohmahan menjelang tarikh 5 Mei
kerana semua itu akan kita kuburkan pada hari berikutnya,” katanya-sn
Kelantan: Pengedar dadah menyamar jadi pegawai risik tentera
20 minutes ago