Oleh Noor Jaafar
PERTARUNGAN Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di kawasan Parlimen
Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini, dianggap
pertarungan ‘hidup mati’ beliau dalam politik negara.
Ini kerana beliau bukan saja bakal menghadapi tentangan sengit
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang dipilih bertanding di
Gelang Patah, tetapi terpaksa juga menghadapi Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri paling lama, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan bakal Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kesediaan Kit Siang bertanding di Gelang Patah membuktikan beliau
sanggup menerima risiko kerana yang penting bagi beliau adalah untuk
melengkapkan “tsunami politik” PRU 2008, yang menyaksikan BN tewas di
lima negeri sekaligus menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
Berbekalkan kejayaan itu, DAP, PAS dan PKR menguatkan gabungan mereka
dalam Pakatan Rakyat (PR) dan yakin akan memenangi lebih banyak kerusi
Parlimen, termasuk di Johor, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan
Terengganu bagi membolehkannya membentuk Kerajaan Persekutuan baru di
Putrajaya selepas PRU-13 nanti.
Atas alasan itu juga membuatkan pemimpin DAP paling berpengalaman itu
juga sanggup meninggalkan kerusi Parlimen Ipoh Timur yang dimenanginya
dua penggal iaitu pada 2004 dan 2008 dengan majoriti lebih 21,000 untuk
bertarung di Gelang Patah menentang Abdul Ghani.
Bagaimanapun pemilihan Abdul Ghani bertanding di Gelang Patah yang
sebelum ini yang menjadi milik mutlat MCA menampakkan kerakusan UMNO
sehingga sanggup mengetepikan rakannya dalam BN.
MCA pula dilihat terpaksa mengalah hingga sanggup menyerahkan
beberapa kerusi yang pernah ditandinginya bukan setakat Gelang Patah,
malah kerusi Parlimen Kuantan, di Pahang dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur
kepada UMNO.
MCA mendominasi kerusi Parlimen Gelang Patah sejak 12 kali pilihan
raya umum termasuk memenangi kerusi itu pada 2008 dengan majoriti 9,000
undi dan 31,666 pada PRU 2004.
Bagaimanapun pada PRU-13 ini, PR mensasarkan enam kerusi Parlimen dan
13 kerusi dewan Undangan Negeri (DUN) di selatan Johor iaitu Johor
Bahru, Pasir Gudang, Tebrau, Gelang Patah, Kulai dan Pulai, dan 13
kerusi DUN ialah Stulang, Tanjong Puteri, Johor Jaya, Permas, Puteri
Wangsa, Tiram, Skudai, Nusajaya, Pengkalan Rinting, Kempas, Senai, Bukit
Batu dan Bukit Permai.
Setakat ini, Johor Bahru adalah satu-satunya ibu negeri yang masih
kekal menjadi milik BN, manakala pusat bandar lain sudah dikuasai PR
termasuk Kuala Lumpur, Kajang, Ipoh, Klang, Subang Jaya, Kuching,
Petaling Jaya, Seremban, George Town, Melaka, Kota Baru, Kota Kinabalu,
Kuantan dan Sungai Patani.
Selain itu, PR juga yakin akan memenangi 19 kerusi Parlimen iaitu
Tanjong Piai, Kluang, Batu Pahat, Bakri, Labis, Segamat, Sekijang,
Ledang, Muar, Ayer Hitam, Sri Gading, Simpang Rengam dan Sembrong,
manakala kerusi DUN lain adalah Pekan Nenas, Mengkibol, Penggaram,
Layang-Layang, Parit Yaani, Maharani, Gambir, Tenang dan Pemanis.
Selain Johor, PR juga bertekad menamat dan mengubah dua lagi negeri
yang menjadi deposit tetap BN iaitu Sabah dan Sarawak pada PRU-13 ini.
Pada PRU 2008, PR hanya memenangi 82 kerusi Parlimen manakala BN
memenangi 140 kerusi. Jika PR boleh memenangi sekurang-kurangnya 40%
daripada 83 kerusi Parlimen di tiga negeri deposit tetap BN bermakna PR
akan memperoleh majoriti mudah iaitu 112 daripada 222 kerusi Parlimen di
seluruh negara.
Bagi memastikan PR boleh menang dengan majoriti yang lebih baik dan
selesa PR perlu memenangi sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen
(majoriti 28) yang 45 kerusi ditandingi PKR dan masing-masing 40 kerusi
oleh DAP dan PAS dengan mensasarkan 25 kerusi di negeri yang BN menang
kurang daripada 55% undi popular iaitu Arau, Alor Setar, Kuala Nerus,
Larut, Kuala Kangsar, Kampar, Lumut, Bentong, Raub, Jerantut, Sabak
Bernam, Pandan, Rembau dan Bukit Katil. – Roketkini.com
Remaja Australia ini disebut bakal ganti Usain Bolt
7 minutes ago