Oleh: Shabudin Husin
Jumaat lalu Najib sekali lagi melawat Kelantan. Ia dianggap lawatan
terakhir Perdana Menteri ke negeri yang ditadbir oleh Pas selama 23
tahun itu sebelum Parlimen dibubarkan. Jika dalam lawatan terdahulu
iaitu tidak sampai dua bulan yang lalu, Najib menaburkan 7 janji yang
akan dilaksanakan oleh BN jika berjaya menawan Kelantan, dalam
kunjungannya kali ini beliau menghuraikan pula 7 dosa yang telah
dilakukan oleh Pas sejak mentadbir negeri itu.
Walaupun huraian Najib tentang janji dan dosa itu banyak yang boleh
dipertikaikan dan tidak lebih sebagai serangan politik semata-mata
tetapi yang jelasnya ia menggambarkan kesungguhan beliau mahu menawan
kembali negeri Cik Siti Wan Kembang itu dan mengembalikannya ke pangkuan
BN.
Selain mempertahankan Putrajaya dan menawan kembali Selangor di mana
Najib juga merelakan dirinya menjadi Pengarah Pilihanraya negeri itu,
nampaknya Kelantan juga turut menjadi sasaran Najib dalam pilihanraya
kali ini.
Meskipun Najib nampak bersungguh mahu menawan kembali Kelantan tetapi
banyak pihak yang ditemui sangsi dengan sasarannya itu. Sementara beliau
menunjukkan kesungguhan ke arah itu, realitinya usaha beliau itu tidak
disambut sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan sendiri.
Kebetulannya Jumaat lalu, saya juga berada di Kelantan dan menyaksikan
dari dekat senario politik yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini.
Walaupun saya tidak hadir di mana-mana majlis yang dihadiri Najib pada
hari itu, tetapi apa yang dapat disaksikan dengan mata kepala sendiri
mengenai perilaku pemimpin UMNO sendiri sebenarnya amat menyedihkan
sekali.
Di sebalik meriahnya sambutan yang diterima Najib di Kuala Krai, Tanah
Merah dan Kota Bharu, sebenarnya sikap berpuak-puak dan politik cah
keting amat jelas dalam politik negeri Kelantan ini. Tindakan sambil
lewa, memulaukan majlis dan tidak menunjukkan komitmen amat jelas dapat
dilihat.
Dalam program Najib di Kota Bharu pada petang Jumaat itu misalnya,
didapati tidak semua Ketua UMNO Bahagian dan wakil rakyat turut
menghadirinya. Beberapa pemimpin yang tidak hadir dan seolah-olah tidak
memberi sokongan moral kepada majlis di Kota Bharu itu di mana Ketua
UMNO Bahagiannya ialah Fatmi Che Salleh yang juga Setpol Perdana
Menteri, didapati hanya duduk bersantai-santai dan berbual-bual kosong
di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Antara mereka itu termasuk Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua UMNO
Bahagian dan wakil rakyat. Mereka ini tidak menghadirkan diri di majlis
yang dihadiri Najib di Kota Bharu tetapi hanya menunggu di lapangan
terbang untuk bersalam dan menunjukkan muka ketika Najib mahu berlepas
pulang ke Kuala Lumpur selepas itu.
Beberapa ahli UMNO yang ditemui di lapangan terbang itu memberitahu,
perkara seperti ini sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu lagi dalam
politik Kelantan. Mereka ada puak-puak sendiri dan hanya menghadiri
majlis yang melibatkan puak mereka saja. Jika majlis oleh puak lain,
mereka tidak akan menghadirinya dan lebih rela menghabiskan masa
bersantai-santai bersama penyokong sendiri di tempat yang lain.
Tetapi tambahnya, dalam bab menyambut ketibaan Perdana Menteri atau
menghantarnya pulang, mereka inilah yang sering berebut-rebut
menunjukkan muka dengan harapan terus dipilih sebagai calon dalam
pilihanraya akan datang ini.
Ketika di lapangan terbang itu juga, semasa isteri Perdana Menteri tiba
kira-kira setengah jam sebelum ketibaan Najib, mereka ini turut
berebut-rebut untuk bersalam dan ada setengahnya yang turut mencium
tangan Rosmah Mansor yang pada patang itu memakai baju kurung berwarna
putih susu.
Kemudian kira-kira setengah jam kemudian apabila Najib tiba di lapangan
terbang Sultan Ismail Petra untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur,
sekali lagi pemimpin dan wakil rakyat UMNO yang tidak hadir di majlis di
Kota Bharu itu menampakkan wajah mereka di depan Najib seolah-olah
kesetiaan mereka kepada UMNO tidak perlu diragui lagi.
Daripada gambaran ini, jelas bahawa sikap berpuak-puak dalam politik
UMNO Kelantan amat sukar untuk dihapuskan. Walaupun Najib bersungguh
mahu menawan kembali negeri itu, ramai yang tidak meyakininya
berdasarkan sikap dan perangai pemimpin UMNO itu sendiri. Malah ada yang
menggambarkan harapan Najib untuk menawan Kelantan bakal menjadi
angan-angan 1Malaysia sahaja.
Dalam perbualan dengan banyak pihak di Kelantan, gambaran yang terpapar
ialah pemimpin UMNO Kelantan sebenarnya lebih gemar negeri itu dikuasai
oleh Pas berbanding daripada ia dikuasai oleh BN. Ini kerana jika
dikuasai Pas, pemimpin UMNO merasakan mereka mempunyai akses terus
dengan pemimpin Pusat berbanding jika di negeri itu kuasai oleh BN yang
tentunya menyebabkan semua pengaruh, kuasa dan peruntukan akan berpusat
di pejabat Menteri Besar pula.
Selama ini pun ramai pemimpin Kelantan menikmati kemewahan dan
keselesaan berbanding rakan-rakan mereka di negeri lain kerana kelebihan
akses terus dengan pelbagai pemimpin di peringkat Pusat itu.
Dalam masa yang sama, ada juga dakwaan mengatakan Pengerusi Perhubungan
UMNO Kelantan, Mustapa Mohamed sendiri dikatakan tidak seserius mana
untuk menawan kembali negeri itu daripada Pas. Mustapa dikatakan lebih
banyak menumpukan kepada kawasan Parlimen Jeli, dengan banyak peruntukan
dan pembangunan hanya ditumpukan di kawasan itu sahaja manakala
penglibatannya di kawasan lain dilihat hanya sebagai memenuhi syarat
semata-mata.
Yang dipentingkan bagi Mustapa ialah selagi beliau menang di Jeli,
selagi itulah beliau akan kekal sebagai menteri sekurang-kurangnya untuk
tempoh satu atau dua penggal lagi. Menang di Jeli nampaknya hasilnya
tetapi berusaha menawan semula Kelantan belum tentu untung ruginya lagi.
Sementara Najib bersungguh-sungguh mahu menawan Kelantan dan menyerang
Pas dengan pelbagai isu, hakikatnya harapan beliau itu lebih mudah
menjadi angan-angan berbanding kenyataan. Ii digagalkan oleh pemimpin
UMNO Kelantan sendiri. (SH 17/03/2013)
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
1 hour ago