LAHAD
DATU: Kerisauan beberapa penduduk Kampung Tanjung Labian dengan
kehadiran sekumpulan ‘orang asing’ yang mendirikan rumah secara haram di
pinggir hutan berhampiran nyata berasas.
Tindakan mereka
melaporkan kehadiran ‘orang asing’ itu kepada ketua kampung Mahmud
Mallang, 72, pada 27 Feb lepas, bagaimanapun ditempelak sesetengah
penduduk yang kononnya tidak mahu berprasangka buruk.
“Lihat
apa yang telah terjadi sekarang. Ternyata apa yang saya dan rakan-rakan
risaukan sebelum ini ada asasnya. Keamanan kami dirampas malah ada
rakan memberitahu rumah mereka dibakar pengganas militan.
“Kalau
dahulu kita semua bersatu hati melaporkan kepada pihak berkuasa, sudah
tentu keadaan tidak akan jadi seperti ini,” kata Idris Abdul Kahal, 49,
dalam nada kesal kepada Bernama, di sini.
Mengimbau
kembali kejadian serangan militan pada 1 Mac lepas, Idris yang
melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang, berkata mereka dipaksa
pengganas supaya segera meninggalkan kampung itu.
“Mereka
bercakap dalam bahasa Suluk meminta semua orang kampung lari dengan
segera jika tidak mahu diapa-apakan. Saya hanya sempat mengambil dokumen
peribadi dan melarikan diri bersama penduduk kampung lain ke dalam
ladang kelapa sawit.
“Suara
pengganas sangat parau menyebabkan kami takut mendengarnya. Waktu
melarikan diri, kami juga tidak tahu ke mana kami hendak lari dan hanya
berserah kepada Allah dan lepas empat jam berjalan, kami tiba di Lok
Buani,” katanya.
Idris
yang kini ditempatkan di Dewan Fajar Harapan, sebuah pusat penempatan
sementara, berkata ekoran serangan pengganas militan itu, anak keduanya
berumur 8 tahun, sering meracau dalam tidur berkemungkinan gangguan
emosi.
Katanya
keadaan anaknya kini semakin pulih setelah melalui proses pemulihan
yang dianjur Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pertahanan Awam
(JPAM) dan dua anaknya yang berada di tingkatan dua dan lima masih
enggan ke sekolah kerana takut.
“Perkara
ini sangat menyusahkan dan saya rasa seperti tidak mahu balik lagi ke
Tanjung Labian kerana saya takut jika pengganas akan kembali semula,”
katanya yang menganggarkan mengalami kerugian hasil tanaman sawit,
ternakan dan buah-buahan kira-kira RM10,000.
Penduduk
Tanjung Labian keseluruhannya 3,500 orang merupakan antara penduduk
yang dipindahkan selepas kampung itu diklasifikasi sebagai zon merah
dalam Operasi Daulat susulan pencerobohan militan dari selatan Filipina
di Kampung Tanduo, sejak 12 Feb lepas.
Halimah
Naukan, 48, pula berkata beliau dimaklumkan rakan bahawa rumahnya yang
berdekatan Tanjung Batu dibakar pengganas militan itu.
“Saya
amat marah dan kecewa. Mereka (pengganas) ini semua bersifat binatang,
langsung tidak memikirkan bagaimana kami mahu hidup semula selepas ini,
tiada apa lagi yang tinggal untuk kami.
“Saya
dengar haiwan ternakan pun mereka ambil. Mereka langsung tiada belas
kasihan dan sepatutnya mereka ini mati. Inilah hukuman yang patut mereka
terima,” katanya sambil menitiskan air mata. (NST)