BERSALAH....Dr
Mahathir dipersalahkan kerana menjadi orang bertanggungjawab memberi
taraf kerakyatan melalui 'Projek IC' di Sabah.
By : JAMILAH KAMARUDIN
KUALA
LUMPUR: Rata-rata panelis forum ‘Mahkamah Rakyat : Kisah dari Lahad
Datu, Siapa Pengkhianat Sebenar?’ menyimpulkan mantan Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai individu yang menjadi punca sehingga
timbulnya krisis terbabit.
Dr Mahathir
dipersalahkan kerana menjadi orang bertanggungjawab memberi taraf
kerakyatan melalui ‘Projek IC’ di Sabah sejak awal tahun 80-an.
Bekas
tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Hassnar Ebrahim dalam
ucapannya mengakui, beliau pernah menandatangani 500 borang kosong dalam
satu masa semasa menjadi Ketua Daerah Sandakan.
Terlibat
dalam Projek IC tanpa sedar, Hasnar berkata borang kosong terbabit
kemudiannya disahkan dan dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
sebelum diubah menjadi sijil kelahiran.
Katanya,
semasa Sabah di bawah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) antara
1979 sehingga 1984, tidak kurang daripada 125,000 jumlah kad pengenalan
yang dikeluarkan kerajaan persekutuan kepada sebilangan besar pendatang
haram.
“Gunung
berapi dalam dada saya sudah mahu meletup. Kalau ini fitnah dakwa saya
kita jumpa di mahkamah,” katanya di hadapan kira-kira 1, 000 orang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.
Peranan Megat Junid
Beliau
turut mengakui wujud pertemuan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri
Almarhum Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dengan 15 pegawai tertinggi
kerajaan ketika itu termasuk Ketua Pengarah Imegresen, polis, dan
Timbalan Ketua Pengarah JPN di pejabat Jabatan Perdana Menteri.
Beliau
mendakwa, semasa pertemuan itu Megat Junid memberitahu mereka Dr
Mahathir sendiri meluluskannya dan mahu meminta RM 2 juta untuk kos
projek terbabit.
“Berikutan
itu saya ditahan ISA selama 59 hari namun tidak diseksa atau dipukul,”
katanya yang juga pernah menjadi saksi penting kes petisyen Pilihan Raya
Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada tahun 1999.
Sementara
itu, Siti Aminah Mahmud berkata dirinya tidak sedar terlibat dalam
Projek IC di Sabah ketika menjadi ahli Umno dan bertugas di Pejabat Umno
Bahagian Sembulan.
Katanya,
pada tahun 1990 sehingga 1995 beliau membantu mendapatkan gambar dan
cap jari pendatang asing untuk dihantar ke pejabat Umno.
“Saya tak tahu di mana mereka cetak kad pengenalan…saya bantu Umno di Sabah dan menambahkan undi Melayu,” katanya.
Beliau juga ditahan di bawah ISA dan disiasat selama 10 hari.
Turut
hadir berucap pemimpin Sabah Datuk Kalakau Untol, ahli parlimen Tuaran
Datuk Seri Wilfred Bumburing, bekas Timbalan Panglima Tentera Darat
Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid dan sasterawan negara Tan
Sri A Samad Said.
Suasana
forum tersebut juga meriah dengan jualan baju, buku, termasuk produk
makanan bijirin sarapan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
super hero yang laris dijual dengan harga RM15.