Oleh: Shahbudin Husin
Perjalanan politik UMNO kebelakangan ini memperlihatkan bahawa Najib
seakan-akan sudah putus asa dengan pengundi bukan Melayu. Sejak tsunami
2008 yang antara sebabnya ialah beralih arahnya pengundi bukan Melayu
kepada pembangkang, Najib cuba berhempas pulas mahu menawan semula undi
mereka melalui beberapa pendekatan yang dilakukannya.
Antaranya memperkenalkan 1Malaysia, memberi lebih banyak bantuan kepada
sekolah Cina dan India, kerap turun melawat Petaling Street dan Little
India, sanggup merayakan Thaipusam di Batu Caves, cuba hadir sebanyak
mungkin program masyarakat Cina dan India serta pelbagai pendekatan ad
hoc lagi cuba dilakukan ke arah itu.
Malangnya, masyarakat Cina, India dan pengundi bukan Melayu pada
hakikatnya tetap menolak Najib dan BN. Keputusan beberapa pilihanraya
kecil, pola pilihanraya negeri Sarawak, penglibatan kaum Cina dan India
yang jelas dalam Himpunan Bersih serta respon yang diberikan terhadap
program Pakatan Rakyat, menjelaskan hakikat itu.
Pengundi bukan Melayu pada umumnya sudah sepakat untuk melakukan
perubahan dalam pilihanraya akan datang ini. Kalau pun BN menang, mereka
tidak akan memberikan kemenangan yang selesa. Dua pertiga yang menjadi
impian Najib hampir mustahil tanpa sokongan bukan Melayu.
Dalam masa yang sama UMNO juga menyedari MCA, MIC dan Gerakan akan terus
kehilangan banyak kerusi. Jumlah kerusi yang ada sekarang dipercayai
akan menurun lagi.
1Malaysia yang suatu ketika kerap diperkatakan, kini semakin sayup
kedengaran. 1Malaysia lebih kerap diperkatakan sebagai jenama bisnes
semata-mata untuk orang Melayu berbanding sebagai tiket merapatkan
hubungan BN dengan bukan Melayu. Kedai runcit 1Malaysia, kedai kain
1Malaysia, rumah rakyat 1Malaysia, menu 1Malaysia dan seumpamnya lagi
ternampak lebih ditumpukan kepada orang Melayu berbanding bukan Melayu.
Setelah hampir empat tahun berusaha, Najib pada hakikatnya gagal
menambat hati pengundi bukan Melayu. Jumlah yang meraguinya makin
melebar berbanding mereka yang meyakininya.
Meskipun pelbagai bantuan dan habuan cuba dicurahkan untuk bukan Melayu,
impaknya tidak cukup ketara. Gelombang perubahan lebih menggamit hati
bukan Melayu.
Jika dulu Najib, dalam beberapa ucapannya begitu mengharapkan undi dan
sokongan bukan Melayu tetapi kini bagaikan sudah putus harapan. Apa pun
percubaannya, undi bukan Melayu tidak hadir seperti yang diharapkannya.
Kini laungan 1Malaysia juga makin jarang diucapkan kepada kelompok bukan
Melayu. 1Malaysia umpama bisnes yang tidak mendatangkan untung bagi
Najib. Berbanding 1Malaysia yang dijaja Najib, teriakan Anwar yang
kerap menyebut bahawa negara ini milik bersama antara Melayu, Cina,
India, Kadazan dan Dusun, ternyata jauh lebih menarik dan diyakini.
Dalam perbualan dengan beberapa rakan bukan Melayu, mereka meragui
1Malaysia yang dijaja Najib kerana beliau dilihat dalam masa yang sama
dikepung rapat oleh kelompok ekstrem Melayu seperti Perkasa, Jati dan
sebagainya. Lebih dari itu, UMNO sendiri dalam beberapa keadaan atau
isu, kelihatan terlalu fanatik dengan Melayunya dan seolah-olah tidak
mahu berkongsi dengan kaum lain.
Dalam perebutan kerusi dengan MCA dan MIC misalnya, terdapat kelompok
dalam UMNO yang begitu keras dan hanya memikirkan soal UMNO saja. Ada
yang mahu merampas kouta bukan Melayu tanpa memikirkan bahawa kemenangan
tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan sama daripada bukan Melayu.
Kelompok dalam UMNO yang terlalu memikirkan kepentingan UMNO melebihi
keutamaan memenangkan BN secara keseluruhan amat merisaukan pengundi
bukan Melayu.
Dalam keadaan seperti itu, Najib lantas lebih mudah diragui. Najib
dilihat hanya boleh berkata tetapi amat sukar untuk melaksanakan apa
yang diucapkannya.
Jika ditanya ramai pengundi bukan Melayu, mereka kini tidak sabar lagi
ingin menghukum UMNO dan BN. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan
dalam hal ini.
Menyedari hakikat itu, Najib kini ingin meraih semula undi Melayu yang
agak dilupakannya sebelum ini. Mainan semula isu amanat Haji Hadi,
serangan terhadap Nik Aziz yang pernah mengaitkan UMNO sebagai golongan
murtad serta mungkar dan mainan semula isu nama Allah untuk bukan Islam
adalah percubaan Najib dan BN untuk mendapatkan sebanyak mungkin
sokongan Melayu semula.
Amanat Haji Hadi yang dikitar semula oleh Mufti Perak, Harussani Zakaria
yang meminta Presiden PAS menarik semula amanat itu, manakala Ahmad
Maslan pula mendesak Nik Aziz menarik balik fatwa murtad dan mungkar
terhadap UMNO, adalah antara percubaan awal ke arah itu.
Isu ini yang dimainkan secara besar-besaran oleh media kerajaan dan TV
dengan semua pihak yang berkepentingan dengan UMNO mula bercakap
mengenainya, ia tidak lain bertujuan untuk menjadikan pengundi Melayu
atas pagar kembali semula menyokong UMNO dan BN.
Isu kalimah Allah juga cuba dimainkan untuk menjadikan orang Melayu kembali ke jalan yang sama.
BN ingin menampung kehilangan banyak kerusi MCA, MIC dan Gerakan dengan
cuba memenangi sebanyak mungkin kerusi yang majoritinya pengundinya
terdiri daripada Melayu pula.
Jentera-jentera UMNO difahamkan sudah dikerah untuk memainkan isu ini
semaksima mungkin dan menjadikan pembangkang, terutamanya PAS kelihatan
hilang arah. Jika isu mengembalikan sokongan pengundi Melayu ini
mendatangkan kesan yang diharapkan, barulah dipercayai Najib akan
membubarkan Parlimen.
Walaupun difahamkan BN menyedari pengundi Melayu juga berpecah kepada
UMNO, PAS dan PKR tetapi pengundi Melayu atas pagar yang tidak totok
dengan mana-mana parti dipercayai agak besar jumlahnya. Kelompok ini
biasanya amat sensitif dengan isu agama, akidah dan nama Allah. Golongan
inilah yang diharapkan termakan umpan dan mata kail yang dipasang itu
dengan bantuan akhbar dan TV yang akan memainkan isu tersebut secara
besar-besaran dan berulang-ulang.
Meskipun UMNO juga dibelenggu dengan pelbagai isu semasa yang
merimaskan, di samping undi bukan Melayu yang sudah tidak boleh
diharapkan, tautan UMNO dengan kuasa kini hanya semata-mata bergantung
kepada keupayaannya mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu secara
majoriti.
Harapan untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu sudah berakhir
bagi BN memandangkan tempoh untuk mengadakan pilihanraya hanya tinggal
empat bulan sahaja lagi.
Selain isu amanat Haji Hadi, fatwa Nik Aziz dan isu kalimah Allah, apa
saja isu yang melibatkan Melayu dan Islam yang muncul selepas ini, ia
pasti akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi kepentingan memenangi
pilihanraya. Dan buat sementara juga, slogan 1Malaysia akan semakin
kurang diucapkan oleh Najib dan UMNO
Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP
5 hours ago
siapa nak pilih orang yg buruk perangai dan tingkah laku dan tak amanah fasik nak dijadikan perangai,sebagai Islam kita diharamkan memilih beliau sebagai peminpin.
ReplyDelete