(Oleh Mohd Martin Kahar)
PETALING JAYA 27 Ogos: Saksi tembakan rambang polis ke atas ahli 
perniagaan, D Dinesh, 26, memberitahu, mangsa tidak memiliki senjata 
ketika dikepung, juga tidak menyerang polis sebelum dia ditembak mati.
Mosas Kanesan, 23, yang berada beberapa meter di belakang Dinesh 
mendedahkan, ketika mangsa dikepung, polis preman melepaskan beberapa 
tembakan hingga terkena leher mengsa.
Menurutnya, pada kejadian 21 Ogos lalu itu, Dinesh yang merupakan 
anak bongsu ditembak sekumpulan anggota polis terbabit ketika dalam 
perjalanan untuk makan malam bersama enam lagi rakannya.
Beliau berkata, dua buah kereta Proton Wira dan Waja mengekori mangsa
 sebelum menyekatnya di hadapan lampu isyarat berhampiran Ampang 
Waterfront.
“Saya berada selang satu kereta di belakang mangsa. Ketika itu lampu 
merah. Tiba-tiba kereta Dinesh disekat. Ada seorang keluar dari salah 
satu kenderaan.
“Dinesh kemudian keluar dari keretanya dan ketika tembakan 
dilepaskan, mangsa berlari semula ke kereta. Lelaki itu terus melepaskan
 tembakan rambang.
“Saya terus memecut tetapi satu peluru terkena kereta saya. Cara dia menembak, kelihatan seperti mahu membunuh seseorang.
Jika saya tahu mereka adalah polis, saya tidak akan lari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; Ahli Parlimen 
Subang R Sivasara; Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dan beberapa 
anggota keluarga Dinesh.
Versi polis
Polis bagaimanapun mendakwa dalam kejadian jam 2.00 pagi itu, mangsa 
dan beberapa rakan lain cuba meyerang polis menggunakan parang dan besi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi 
mendakwa, mangsa adalah anggota kumpulan Geng Viva Nanda 36 diburu polis
 berikutan terbabit dalam kejadian pergaduhan dengan kumpulan lain di 
kawasan Flat 700, Pandan Indah.
Nazri mendakwa, pihaknya melancarkan gerakan mengesan suspek terbabit
 susulan laporan mengenai pergaduhan bersenjatakan parang di flat 
berkenaan hingga mencederakan tiga individu.
Dakwa Nazri lagi, dua kereta terbabit berjaya dihalang dan dikepung 
namun sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan itu dan cuba menyerang 
anggota polis dengan bersenjatakan parang, besi dan buluh.
Akibat tembakan itu, Dinesh dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum 
meninggal dunia dua hari kemudian selepas mengalami pendarahan otak. 
Dalam kejadian itu polis menahan empat lelaki.
Dinesh tak pernah terlibat jenayah
Seorang lagi saksi, Y Ilavarasen, 24, yang berada dalam kereta 
berlainan, menolak dakwaan kononnya Dinesh adalah kumpulan  Geng Viva 
Nanda 36, sebaliknya menegaskan mangsa merupakan remaja yang baik dan 
tidak pernah terlibat  jenayah.
Ilavarasen berkata, pada malam kejadian, mereka merancang untuk makan
 malam di sekitar Ampang selepas mendapat panggilan daripada Dinesh.
“Kami belum memutuskan untuk makan di mana. Mungkin di Restoran 
Steven Corner. Kami hanya mengekori kereta Dinesh untuk ke sana,” 
katanya.
Bapa mahu pembunuh dihukum setimpal
Sementara itu, bapa Dinesh, W Darmasena menggesa polis melakukan 
siasatan kematian anaknya dan mahu pembunuh tersebut diheret ke muka 
pengadilan.
“Saya mahukan keadilan untuk anak saya! Saya mahu mereka yang menembak anak saya dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35021
Tauke durian maut, tertekan buah tak laku
7 minutes ago


