.

Tuesday, 6 March 2012

GEMPAR! : PEGAWAI JPN DEDAH KOMPLOT IC PROJEK?

Oleh : MUTALIB M.D

YAKUP DAMSAH, Pembantu Pendaftaran Kanan Jabatan Pendaftaran Sabah merupakan salah seorang daripada 15 Pegawai Pendaftaran yang diberkas setelah mereka berjaya melaksanakan 'OPS GEMBLENG', iaitu pengeluaran IC Projek kepada PATI dengan tujuan 'murni' untuk menumbangkan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau diberkas oleh sepasukan polis seramai 10 orang daripada Unit Cawangan Khas Bukit Aman pada jam 2 pagi di rumah sewanya di Kampung Lakang, Tamparuli pada 8 Januari 1996 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengancam keselamatan Negara dan ditahan satu tahun tujuh bulan di Kamunting.

Benarkah Yakup telah melakukan sesuatu yang mengancam Keselamatan Negara? Siapakah dalang disebalik 'OPS Gembleng' ini yang didakwa telah memberi kad pengenalan biru kepada warga asing melalui jalan songsang dan kenapakah Yakup ditangkap?

Ikuti wawancara saya dengan Yakup yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH), Datuk Patrick Sindu yang juga Jaksa Pendamai (J.P).

Mutalib: Boleh perkenalkan diri saudara secara ringkas?

YAKUP: Nama saya YAKUP DAMSAH. Saya dilahirkan pada 16 Mei 1953 di Lok Kawi Estate. Saya mempunyai empat orang adik beradik. Ketika dilahirkan bapa saya bekerja sebagai penoreh getah dan ibu saya suri rumah sepenuh masa. Selepas bersekolah, saya mula bekerja sebagai kerani di Pejabat Pendaftaran Negara Kota Kinabalu pada 29 Mei 1972 dan disahkan dalam jawatan tiga tahun kemudian. Saya bernikah dengan AMISA BTE KASSIM dan mempunyai tujuh orang anak.

Sebagai kakitangan kerajaan saya hidup dalam keadaan amat sederhana dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan melainkan gaji dan elaun yang layak saya terima.

Tanpa gaji, maka dapur rumah kami tidak akan berasap dan kerana terlalu memikirkan dapur yang tidak berasap, maka saya menjadi manusia LURUS BENDUL atau Saya Yang Menurut Perintah.

Mutalib: Saya difahamkan saudara adalah seorang pegawai kerajaan yang jujur dan ikhlas berkhidmat kepada Kerajaan tetapi bagaimana pula saudara boleh terlibat dengan kegiatan yang mengancam Keselamatan Negara?

YAKUP: Pada 1990, saya sudah lupa bulan berapa, ketika itu saya sedang bertugas di Wisma Dang Bandang. Pengarah JPN Sabah, Abdul Rauf Sani telah memanggil saya ke biliknya.

Ketika saya masuk, saya dapati rakan sekerja saya, Bahrin Mojitar, Azmi Karim, Asli Sidup, Mohd Tohid Mohammad, Ramsah Mohd Yassin turut berada di dalam bilik berkenaan bersama seorang lelaki yang tidak dikenali.

Pengarah memperkenalkan lelaki yang tidak dikenali sebagai Kolonel Mohd Noor daripada Unit Risikan Tentera (MIO).

Menurut Pengarah, kami diarahkan menjalankan tugas khas yang diamanahkan kepada kami oleh Kerajaan Malaysia dan sebagai kakitangan awam, kami tidak bertanya lanjut kerana kami telah dilatih dengan cogan kata 'Saya Yang Menurut Perintah'. Kami semua diarah bersiap kerana akan berangkat ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Dalam keterangan ringkasnya, setelah berbincang dengan Kolonel Mohd Noor, Pengarah memberitahu kami terpaksa menjalankan tugas khas mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing bagi menumbangkan Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PSB) yang disifatkan sebagai Anti Federal dan kerajaan Kristian yang menindas Umat Islam.

Kami biasa menjalankan tugas Operasi Khas di luar bandar terutama membantu penduduk tempatan di luar bandar memperoleh kad pengenalan, namun inilah pertama kali kami diarahkan menjalankan tugas khas di Kuala Lumpur.

Mutalib: Tidakkah saudara merasa ada sesuatu yang tidak kena dan berdosa melakukan tugas khas berkenaan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Negara?

YAKUP: Sebagai rakyat Sabah, saya merasa tertekan, berdosa dan keliru kerana sebagai Pegawai Pendaftaran kami mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan akan menjalankan tugas demi agama, bangsa dan negara.

Oleh kerana Kolonel Mohd Noor berjaya meyakinkan kami bahawa Kerajaan PBS menindas Umat Islam terutama berhubung perlantikan, kenaikan pangkat dan membina banyak gereja, maka kami merasakan tugas kami amat diperlukan oleh untuk membela Agama dan Negara ketika itu.

"Kami tidak berasa bersalah kerana ia arahan Kerajaan Persekutuan terutama setelah memikirkan peristiwa Tunku Abdul Rahman Alhaj bersetuju memberi kerakyatan kepada Warga India dan China demi untuk mencapai kemerdekaan tanah air."

Oleh kerana terpengaruh oleh ledakan semangat kebangsaan yang dicetuskan oleh Pengarah dan Kolonel Mohd Noor, maka kami bersetuju menjalankan tugas rahsia berkenaan demi mempetahankan agama, bangsa dan tanah air kami daripada penindasan Kerajaan Kristian PBS.

Jika Tunku boleh memberi kerakyatan kepada orang India dan China yang bukan Islam, maka kami amat berbangga kerana dapat meramaikan umat Islam di Sabah untuk menumbangkan Kerajaan Kristian PBS.

Mutalib: Bilakah saudara dan rakan bertolak ke Kuala Lumpur dan kenapa tidak dilakukan di Sabah?

YAKUP: Kami bertolak beberapa hari kemudian selepas mesyuarat khas tersebut. Kata Pengarah, tugas ini rahsia dan perlukan dilakukan di Kuala Lumpur demi untuk menjaga kerahsiaan operasi ini dan keselamatan kami. Kami menaiki penerbangan MAS ke Kuala Lumpur dan apabila tiba di sana kami di bawa ke Kampung Kerinchi dan bermalam di sebuah Flat, Tingkat 14 dan saya diberitahu rumah tersebut milik lelaki bernama Jabbar dan Tohar.

Pada keesokan harinya kami dihantar ke sebuah rumah No.18, Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang dipercayai rumah kerajaan yang diperuntukkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, Datuk Aziz Samsuddin.

Mutalib: Adakah saudara yakin rumah tersebut milik Datuk Aziz Samsuddin, SETPOL Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir (Tun)?

YAKUP: Ya, saya yakin rumahnya kerana dia pernah datang melihat kami dan katanya buatlah rumahnya seperti rumah sendiri. Dia tidak tinggal di situ tetapi membenarkan rumahnya digunakan sebagai pejabat dalam opersi khas.

Mutalib: Maksud saudara, Datuk Aziz terlibat dan Perdana Menteri memberi restu?

YAKUP: Ya, tetapi saya tidak tahu sejauh mana penglibatannya dan yakin Perdana Menteri merestui kerja khas yang akan kami jalankan. Kerana itu kami tidak takut.

Mutalib: Tidakkah saudara sedar bahawa menuduh Datuk Aziz terlibat dan Dr Mahathir memberi restu adalah tuduhan yang paling berat dan saudara boleh didakwa di mahkamah?

YAKUP: Saya kurang pasti sejauh mana Datuk Aziz terlibat atau direstui oleh Perdana Menteri. Tetapi rumahnya digunakan sebagai Pusat Operasi membuat Kad Pengenalan untuk diberikan kepada PATI.

Mutalib: Berbalik kepada tugas saudara selama di rumah Datuk Aziz Samsuddin, apakah yang saudara dan rakan lakukan?

YAKUP: Tugas biasa kami di Kota Kinabalu. Menandatangani kad pengenalan biru, HNR 1. Semua kad pengenalan Sabah yang bernombor siri H05XXXXX.

Memang kami diberi kuasa oleh Pengarah JPN Sabah untuk menandatangani kad pengenalan biru. Itu sahaja kerja kami. Kami tidak tahu siapa yang memproses borang HNR 5 dan HNR 6 yang dikirimkan daripada Ibu Pejabat Kami di Kota Kinabalu. Kami hanya menandatangani HNR 1 berdasarkan HNR 5 dan HNR 6.

Mutalib: Jadi saudara tidak terlibat dengan menandatangani borang permohonan kad pengenalan dan dokumen berkaitan?

YAKUP: Tidak. Kami tidak terlibat. Tidak ada borang yang kami sediakan. Kami terima borang kuning HNR 5 dan HNR 6 yang lazimnya digunakan untuk menggantikan kad pengenalan yang rosak atau hilang.

Borang itu telah lengkap diisi oleh Cawangan Kota Kinabalu yang mempunyai gambar pemohon, alamat, tarikh lahir dan butir ringkas pemohon serta tiga pasang cap jari (kiri/kanan), iaitu dua pasang di bawah dan sepasang di tepi sebelah kanan. Tugas kami hanya HNR 1.

Mutalib: Tidak ada sebarang surat akuan atau dokumen yang dilampirkan seperti kad pengenalan yang hilang atau rosak atau sijil lahir?

YAKUP: Tidak ada. Tidak ada dokumen yang diperlukan. Tidak ada tandatangan. Tetapi semua borang itu bertulis tangan kerana belum ada operasi komputer. Semua guna pen khas iaitu BIRO. Kami tidak boleh kesan siapa yang isi borang itu kerana yang kami tahu dihantar oleh cawangan Kota Kinabalu.

Kami tidak perlu tanya kerana tugas kami tandatangan kad pengenalan biru, bukan dokumen atau surat akuan. Saya nampak ada juga dua tiga surat akuan yang disertakan, tetapi oleh kerana bukan tugas kami, kami tidak ambil peduli. Yang penting semua kad pengenalan biru kami tandatangan dengan betul.

Mutalib: Siapa yang menulis data kad pengenalan biru?

YAKUP: Saya tidak kenal. Tetapi kami diberitahu kerani lantikan sementara sahaja untuk menulis butiran kad pengenalan biru (HNR 1), melekat gambar dan cap jari. Lebih kurang 10 orang semuanya, lelaki dan perempuan. Mereka tidak tinggal di situ. Datang pagi dan balik petang.

Mutalib: Berapa lama saudara menjalankan kerja menandatangani kad pengenalan biru untuk PATI di rumah Datuk Aziz tersebut?

YAKUP: On and Off. Lebih kurang sebulan kami di sana. Ada juga kami balik dan rehat selepas dua minggu. Lepas itu datang balik dan teruskan tugas. Sehari saya menandatangani antara 1,000 hingga 1,500 kad pengenalan biru.

Mutalib: Saudara ingat berapa banyak kad pengenalan biru yang saudara tandatangani sepanjang satu bulan menjalankan operasi khas tersebut?

YAKUP: Seingat saya, saya telah menandatangani lebih kurang 10,000 kad pengenalan biru. Begitu juga dengan empat orang rakan saya yang terlibat dalam tugas rahsia ini. Jumlah itu tidak begitu penting, tetapi yang penting memastikan PBS tumbang dalam pilihanraya akan datang. BN hanya perlu menang walaupun majoriti kecil.

Mutalib: Saudara kata awal tadi sehari lebih kurang 1,000 hingga 1,500 saudara tandatangan kad pengenalan biru dan penduanya, tetapi kenapa hanya sepuluh ribu sahaja? Katakanlah sehari purata 1,000 jadi dalam sebulan sepatutnya 30,000. Katakan saudara balik tiga hari, bermakna patut ada 27,000 kad pengenalan biru?

YAKUP: Memang sehari saya boleh tandatangani sebanyak itu. Tetapi saya juga perlu rehat kerana ada tugas lain lagi di malam hari. Kadang-kadang siang saya tidur kerana pada jam 5 petang saya perlu ke Ibu Pejabat JPN di Petaling Jaya untuk menyalut kad pengenalan biru dengan dengan pembungkus plastik.

Biasanya selepas semua kakitangan JPN pulang, baru saya sampai untuk menjalankan tugas menyalut kad pengenalan biru dengan plastik pembalut.

Kadang-kadang dengan bantuan beberapa kakitangan JPN Petaling Jaya. Mesin itu cepat, 1,000 boleh salut satu jam. Tetapi kami kena berhati-hati kerana jika silap dan rosak, kami kena bertanggungjawab. Ada kaunterfoil. Tak boleh hilang walau sekeping. Rakan lain banyak tandatangan. Tetapi oleh kerana saya ada tugasan tambahan menyalut, maka saya kurang menandatangani kad pengenalan biru berkenaan.

Mutalib: Selepas selesai tugas khas tersebut saudara ke mana? Apakah kerajaan ada memberikan sebarang imbuhan? Berapa?

YAKUP: Selepas selesai tugas khas tersebut, kami semua balik ke Kota Kinabalu menjalankan tugas biasa. Kami anggap ke KL hanya out-station sahaja. HARAM kami tidak terima walau satu sen daripada opersi khas tersebut melainkan tuntutan elaun sub-sisten, lodjing, makan dan reimbursement sebagaimana jumlah yang layak dituntut oleh pegawai kerajaan mengikut skil dan jawatan hakiki.

Mutalib: Orang ramai mendakwa bahawa mereka yang terlibat dalam operasi khas ini kaya raya kerana menerima antara RM100,000 hingga RM1 juta, mengikut jumlah kad pengenalan biru yang ditandatangani?

YAKUP: Siapa cakap?. Kami hanya jalankan tugas biasa dan kami tidak berurusan denga orang ramai. Kami hanya menandatangani kad pengenalan biru dan bukannya menjual kerakyatan kepada orang asing.

Kami tidak tahu siapa pemilik kad pengenalan tersebut. Macam mana mau dapat wang atau jadi kaya? Semua tuduhan itu tidak berasas. Kami tidak dibayar atau menerima imbuhan melainkan gaji dan subsisten. Kami pegawai kerajaan bukan agen sindiket kad pengenalan palsu. Kami tidak menerima apa-apa.

Mutalib: Saya dimaklumkan selepas saudara kembali bertugas ke Kota Kinabalu saudara meneruskan gerakan merekrut PATI sebagai warganegara?

YAKUP: Saya tidak bersetuju pandangan saudara. Saya tidak pernah memberi walau sekeping kad pengenalan kepada warga asing. Saya cuma menandatangani kad pengenalan biru yang telah disediakan dan saya diarah menandatanganinya. Tidak lebih daripada itu.

Seingat saya seorang pegawai kanan saya Mohd Tohid Mohammad telah mengarahkan saya menandatangani sepuluh buah buku HNR 1. Setiap sebuah 100 helai. Tetapi saya tidak tahu diberikan kepada siapa.

Saya cuma tandatangan borang HNR 1 yang kosong sebagaimana yang diarahkan oleh pegawai kanan saya. Saya tidak perlu tanya. Tugas saya sign sahaja walaupun saya sedar menandatangani borang kosong menyalahi etika kerja saya. Saya pegawai bawahan dan menurut perintah.

Mutalib: Selain daripada Kota Kinabalu, apakah saudara ada ditugaskan di tempat lain?

YAKUP: Ada. Tamparuli. Pengarah JPN Sabah ketika itu, Ramli Kamaruddin. Dia mengarahkan saya berpindah ke JPN Tamparuli yang ketika itu di Tingkat 1, Bangunan Ting Hui. Sebagai seorang pegawai awam, saya tidak boleh menolak arahan perpindahan.

Mutalib: Saya dimaklumkan bahawa saudara terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen kad pengenalan di Tamparuli? Benarkah begitu?

YAKUP: Tidak benar. Tidak berasas sama sekali. Saya hanya menerima arahan daripada Pengarah JPN Sabah iaitu Ramli Kamaruddin. Dia mengarahkan dua orang lelaki, Tanis Mansur dan Andi Zakaria mendatangi saya untuk mendaftarkan orang asing seramai 300 orang dengan menggunakan borang HNR 5 dan HNR 6 dan dikeluarkan resit JPN 1/9 dan JPN 1/11 (dokumen sementara). Saya hanya menjalankan tugas berdasarkan Memo yang ditandatangani oleh Pengarah JPN. Tidak lebih daripada itu.

Sepanjang tempoh tersebut, saya telah menerima banyak borang HNR 5 dan HNR 6 yang dihantar oleh Ramli melalui Tanis dan Andi Zakaria untuk diproses dan dikembalikan kepada Ramli sendiri. Ketika bertugas di Tamparuli, Ahli Parlimen Tuaran, Yunof Maringking telah menghantar surat layang kepada saya.

Ketika itu, Pengarah JPN Sabah Shukri Salleh (Datuk) arahkan saya menjawab surat layang tersebut dengan mengatakan bahawa ianya proses pendaftaran biasa.

Mutalib: Selain surat bantahan, surat layang, adakah saudara pernah menerima ugutan?

YAKUP: Tidak, cuma saya menerima panggilan telefon. Mereka selalu kata, tunggulah. Tidak lama lagi kamu akan makan kangkung. Maksud mereka saya akan ditangkap. Tetapi saya tidak peduli kerana saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya.

Mutalib: Mengikut dakwaan surat layang dan orang awam, saudara meminta antara R300 hingga RM1,000 bagi setiap HNR 7?

YAKUP: Tak betul. Saya cuma diarah oleh Pengarah meminta RM50 bagi setiap HNR 5 dan HNR 6 iaitu untuk stem. Lebih daripada itu tidak ada.

WAWANCARA penuh boleh diikuti di dalam buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir? yang boleh dipesan terus daripada sabahkini.net dengan menghantar email ke sabahkini.net@gmail.com. Buku tersebut berharga RM111 (Belanja Pos PERCUMA)

-sabahkini.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist