.

Friday 24 February 2012

AWAS! : RAWATAN AIR MANI, WANITA 21 TAHUN DIROGOL

OLEH kerana mempercayai kata-kata seorang lelaki, seorang wanita di Lahad Datu akhirnya telah menjadi mangsa rogol dalam kejadian yang berlaku di Batu 4, Jalan Segama, Lahad Datu, baru-baru ini.

Mangsa yang berumur 21 tahun dan telah berkahwin itu dikatakan telah menerima cadangan suspek untuk membawa bapanya yang menghidap sakit kurang waras supaya menjalani rawatan secara tradisional dengan seorang bomoh yang dikatakan mampu mengubati penyakit bapanya itu.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan oleh mangsa tidak berlaku seperti dirancangkan, sebaliknya wanita itu mendakwa dia telah dirogol oleh suspek yang dikatakan telah memperdayakannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah ini, ASP Ang Seow Aun, berkata berikutan kejadian itu wanita terbabit telah membuat laporan polis pada Selasa, kira-kira jam 12.15 tengah malam di Balai Polis Lahad Datu dengan ditemani ahli keluarganya.

Dalam laporan itu katanya, mangsa memberitahu pada hari kejadian iaitu kira-kira jam 11 pagi, dia bersama bapanya yang sakit itu telah dihantar oleh suspek ke rumah bomoh terbabit yang terletak di Batu 4, Jalan Segama bagi menjalani rawatan tradisional itu.

Sebaik tiba di sana katanya, wanita itu mengatakan dia telah diarahkan oleh bomoh terbabit untuk menjalani satu upacara mandian sebelum rawatan susulan dilakukan terhadap bapanya.

Ang berkata, bomoh berkenaan kemudian telah mengarahkan suspek supaya membawa mangsa untuk menjalani upacara mandian di sebatang anak sungai berhampiran.

“Pada ketika itu suspek telah mengambil kesempatan merogol mangsa dengan menyakinkan mangsa bahawa ‘air mani’ diperlukan untuk rawatan bagi mengubati bapanya itu,” katanya di sini, kelmarin.

Ang berkata, mangsa yang merasakan dirinya telah diperdaya oleh lelaki itu bagaimanapun telah bertindak membuat laporan polis.

Berikutan itu katanya, pihak polis telah menahan bomoh berbangsa Timor berusia 26 tahun itu untuk siasatan.

Sementara itu katanya, pihaknya juga kini sedang mengesan suspek terbabit seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Talib Ibnu,30-an yang dipercayai telah melarikan diri sebaik selepas kejadian itu.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit diminta agar menghubungi balai polis Lahad Datu bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya lagi sambil memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Kesiksaan.(NEWSABAHTIMES)

1 comment:

  1. bomoh tu amik kesempatan kat orang pempuan yang kurang akalnya. pengajaran pada semua orang kalau sakit teruk sangat bawak gi hospital je

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist